Masa sekolah dulu, memang aku benci dengar perkataan pindah. Bila mak kata nak pindah rumah, maka aku juga akan berpindah sekolah. Dulu, kawan sekolah aku itu adalah segala-galanya. Kawan-kawan sekolah ni lebih tinggi priority dari adik-beradik sendiri mahupun mak bapak. Pernah tu sanggup aku pujuk Abah pergi mini market malam-malam buta, semata-mata nak carikan hadiah untuk kawan baik aku. Kawan dunia akhirat katanya.
"Siapa kasi kita hadiah time birthday kita nanti, kita balas punya hadiah best!!" - Ayu bukan nama sebenar.
Aku ni jenis mudah termakan manifesto manis kawan-kawan aku. Sampai ke sudah, satu hadiah dari kawan sekolah pun aku tak terima. Padan muka aku. Dan itulah buat pertama dan terakhir kalinya aku membeli hadiah untuk seorang yang bernama kawan. Bila aku geram tak dapat hadiah, senyap-senyap aku balas dendam. Eh, aku ni salah seorang bekas pelajar Convent Batu Pahat. Terkejut tak?Jangan nak teruja sangat. Tak semua budak convent sama macam budak convent bukit nenas yang selalu masuk tv3 tu. Sekian.
Aku suka berkawan dengan India, Cina. Sebab masa tu bukan macam sekarang. Mereka kadang-kadang lagi baik dari melayu. Tapi yang kaki pedajal tu memang aku dajal balik. Ada ke patut, aku dah parking sedap nak duduk, sorang minah cina ni tarik kerusi aku. Dah lah aku debab, serupa nangka busuk aku duduk free-free atas lantai. Satu kelas bergegar gelak. Haram jadaahh punya betina!
Dan ada juga Cina yang baik. Lee Chew Ling. Kawan Chinese aku yang paling rapat jugaklah. Siap aku suka panggil dia, bini Phua Chu Kang. Masa tu memang tengah popular series kasut kuning dia. Maka sesedap aku panggil dia lagu tu. Lagi dia marah, lagi aku panggil macam tu. Tapi dia baik. Selalu jugalah bagi aku pinjam buku dia even dia membebel. Nampak, baik aku ada makna. Kahkahkah.
Melayu pun aku kawanlah. Nadia dan Fatimah. Dua jenis homosapiens yang memang pandai sejak azali. English, Math semua dalam tangan. Nadia pandai serba-serbi. Dia ni juga kaki kartunis. Muka-muka anime jepun tu memang makanan dia. Pantang cikgu takda, mulalah melukis. Aku nampak potensi persahabatan kita berdua boleh pergi jauh.
Yang Fatimah ni pula, pengawas. Otak geliga dia sampai jadi pengawas. Memang aku bangga ada kawan pengawas time tu. Boleh minta dia belikan makanan, sebab pengawas rehat awal kan? Tapi aku just tak boleh terima bila ramai budak melayu kita, pulaukan dia sebab bau badan dia. Aku ingat lagi perempuan ni kata,
"Kau tak berbau ke duduk sebelah dia. Kitorang semua tak tahan kot. Masam semacam. Ni yang duduk sebelah sini.."
"Ha'ah. Bau masam. Tak mandi ke pergi sekolah?"
Aku pandang berbulu je perempuan ni. Macam la dorang yang duduk 'sebelah sini' badan tak berbau. Anak orang kaya memang rupa gitu. Huhh! Mana boleh mengata kawan baik aku dunia akhirat macam tu. Aku dengan lagak hero, setia duduk disebelah Fatimah. Dari darjah 4 aku setia duduk dalam kelas sebelah dia. Tiga tahun tu. Mungkin sebab itu juga aku sudah sebati dengan 'bau' itu.
Pavitrah, pulak kawan India aku. Dia ni innocent habis. Sebab tu aku suka kawan dengan dia. Tapi minah ni jenis pijak semut tak mati. Pergi kelas bawa bekal nasi lemak yang bentuk piramid tu. Aku rasa tapak tangan aku pun lagi besar dari nasi lemak tu. Dah tu, siap bahagi dua. Separuh makan pagi, separuh makan tengah hari. perghh, kedekut gila!
Gara-gara dia jugaklah, Cikgu Azlina, cikgu kelas aku popular. Hanya sebab Cikgu Azlina minta kami-kami ni kumpul duit yang ada untuk beli perhiasan kelas. Nak cantikkan kelas, baru ada feeling nak belajar. Yang minachi ni pergi beritahu Appa Amma dia, cikgu nak duit buat beli kapur kat kelas. Dah Appa Amma dia pergi serang sekolah.
Cikgu Azlina memang sedih gila aku tengok time tu. Siap belanja kitorang satu kelas, 'happy meal' nak cover balik kononya dia pakai duit pelajar. Time tuh, aku dengan geng sehati sejiwa siap pergi rumah cikgu lepas habis kelas. Niat nak minta maaf wakil dari kelas. Rindu Cikgu Azlina!
Bila masuk form 1, emak ajak pindah. Memang aku gelabah, sedih, kecewa, semua bercampur. Nak berpisah dengan kawan-kawan baik aku tu. Maisara, Nadia, Quryakin, Yasmin, Shamsiah, Perveen, Fatimah, Lee Chew Ling.. semua nama sebenar aku petik ni. Dorang semua dah tak duduk Malaysia. Boleh dikatakan semua tu berebut sambung study kat oversea haa.. untunglah mampu.
Owh aku pun pernah popular satu sekolah dulu. Aku bukanlah pengawas, ketua kelas pun bukan, budak naik pentas time perhimpunan pun bukan. Tapi aku lebih lebih popular dari mereka-mereka ni. Pengarahnya, bapak aku sendiri. Terima kasihlah Abah! Buat pertama kalinya semua cikgu-cikgu sampai guru besar sekolah ni kenal dan tahu kewujudan Along kat sekolah tu. Dulu panggil guru besar, pengetua tu belum digunakan lagi rasanya.
Siapa tak kenal sekolah convent yang sangat popular dengan nama banjir. Pantang hujan lebat sikit, sekolah ni mesti dah jadi pulau. Sampai satu petang tu, Abah dengan kasih sayang seorang bapa, taknak anaknya ini basah dek hujan, dia parking masuk ke dalam kawasan sekolah untuk menyenangkan aku. Dengan satu dan dua langkah saja aku sudah pun berada diperut Proton Abah.
Dan malang sememangnya tak berbau, bila Abah nak mengundurkan Proton dan melanggar salah sebuah kereta cikgu sekolah aku. Aku tak berapa ingat macam mana Abah settlekan dengan cikgu tu. Tapi lepas kejadian tu, semua cikgu baru berebut nak berkenalan denganku. Rasa artis jugalah.
Maka dengan terfaktablah satu undang-undang baru kat sekolah aku tu, kereta ibubapa pelajar dilarang sama sekali masuki ke kawasan sekolah. Siap ada sekolah aku hired Pak Jaga kat pintu gate sekolah tu. Hebat tak aku? Kahkahkah!
Boleh kira sebenarnya berapa ketul je yang masih lagi berhubungan dengan aku sekarang. Masing-masing sudah ada kehidupan yang lebih sempurna mengapa mahu mengimbau masa balik bukan? Aku tahu aku bukan siapa-siapa tapi pasti menarik bukan berjumpa berjenaka saling menbahan cerita sekolah kita semua. Aku hanya kawan biasa.
*****
YOU ARE READING
KENG-KAWAN
General FictionAbah pernah pesan kalau tak semua kawan boleh kita bawa masuk dalam bilik. Bukan itulah. kENG-KAWAN alkisah kompilasi berapa ramai kawan yang aku berkawan demi sebuah hubungan yang dinamakan kawan-kawan. Aku sayang kawan aku. Aku sayang kawan-kawan...
