BAB 02

6 0 0
                                    

MATANYA dibuka perlahan-lahan. Kantuk yang menguasai. Mimpi yang menemani tidurnya. Dahi yang berpeluh-peluh. Kepala yang masih pusing. Keadaan diri yang tidak terurus. Di ruang tamu dan di atas sofa itu dia menghabiskan waktu sepanjang hari.

Mata jatuh kepada meja kopi di depan yang berselerak dengan bekas-bekas makanan dan sisa-sisa sampah semalam. Tubuh diangkat dari perbaringan dan ditegakkan perlahan menghadap dinding kosong rumahnya di depan.

Kepala diurut lembut. Sakit. Sakit!

Mata sembap dan basah. Raut pucat dan bibir yang kering.

Badannya terasa begitu sakit. Kebas di mana-mana. Pergelangan sikunya pedih. Kesan dari semua yang dia lakukan semalam. Merah-merah dan noda-noda di tubuhnya mencemarkan. Mengotori seluruhnya.

Bunyi ketukan di pintu bersahutan.

Dengan susahnya dia bangun dari kerusi dalam keadaan terhuyung-hayang menuju ke muka pintu. Entah siapa yang datang waktu-waktu begini. Mengganggu dia yang baru terjaga dari tidur.
Perlahan-lahan kaki dihayun.

Tombol pintu dibuka dan terpampang seraut wajah yang cukup dia kenali.

“Kau baru bangun?” Suara itu menyoal. Wajah itu yang cukup dikenali meletakkan duduknya di kerusi di tepi rumahnya dan membiarkan soalannya tadi tak berjawab.

Plastik di tangan yang terisi bungkusan nasi diperhati. Sebelum sepasang matanya menuju ke wajah itu semula.

“Aku bawa kau nasi lemak. Kalau kau nak makan. Pening lagi semalam?”

Dia turut meletakkan duduk di kerusi di mana tubuh itu menghamparkan letak punggungnya. Pertanyaan itu dibiar sepi. Tak usah bertanya, kalau sosok manusia itu sendiri boleh tahu keadaan dia sekarang ini.

“Kau dari mana? Pagi-pagi lagi dah sampai?”
Wajah itu nampak tersenyum sumbing. Nampak bahagia benar hari ini. Tenang menyilang kaki di atas kerusi. Pasti baru pulang dari membereskan pekerjaannya.

“Aku macam biasalah. Baru habis kerja aku.”
Dia hanya mendengar. Sudah dapat diagak. Apa lagi yang lebih menyenangkan dan membahagiakan lelaki itu kalau bukan tentang kerjanya.

Dia memandang wajah itu sebentar. Sebelum bebola mata jatuh kepada tangan itu yang sedang meletakkan sesuatu di atas kerusi panjang di tepinya.

“Ambillah. Aku bagi hadiah untuk kau.” Dengan senyuman gembiranya.

“Serius?”

“Ya. Kau macam tak biasa pula dengan aku. Free of charge!”

Bungkusan kecil yang diletakkan itu dipandang lama sebelum dia mengambil dan menyimpannya di dalam genggaman kemas.

Berharga.

“Terima kasih,” ucapnya perlahan. Hidung yang tersumbat dan seperti berhingus disapu dengan lengan baju panjang yang dipakai. Tidak selesa.

“Sama-sama. Kau tak kerja hari ni?”
Wajah itu memandang dirinya. Dari atas ke bawah. Lama mata itu menatap. Dia menggeleng.

Dalam seminggu, pasti ada hari di mana dia ponteng dan cuti dari kerjanya. Walaupun sudah mendapat amaran, namun dia tetap melakukannya.

“Tak. Aku cuti,” jawab dia seperti biasa.

Tubuh di tepinya kembali bangun dan berdiri menatap dia. “Okeylah kalau macam tu. Aku nak kena pergi tempat lain.”

Dia turut mengikuti wajah itu sekali lagi.
“Kau nak pergi mana?”

“Aku ada hal. Kalau kau nak benda tu, nanti beritahu aku atau Reen.” Sempat suara itu membalas. Memandang wajah dia seketika.

“Okey.”

“Aku pergi dulu.” Pamitan itu kedengaran sebelum berlalu mengorak langkah dan meninggalkan dia di situ.

Dia membawa langkahnya masuk semula ke rumah. Sebelum menutup pintu rumahnya perlahan. Kembali ke ruang tamu. Menempatkan tubuh dia ke sofa.

Dikesat matanya yang berair. Hidungnya juga kembali tidak sedap. Tersumbat.


NASI LEMAK yang dibawa oleh manusia itu sebentar tadi, dipandang lama. Dahulu, nasi lemak adalah menjadi makanan kesukaan dan kegemaran mereka adik beradik. Nasi lemak yang dimasak oleh mama mereka.

Sedap dan menyelerakan.

Namun, hari itu. Semuanya berubah. Nasi lemak yang sepatutnya menjadi makanan kesukaan mereka telah meninggalkan trauma dan kenangan pahit pada dia.

Sambal ikan bilis yang sepatutnya dimakan, menjadi mimpi ngeri pada dia. Apabila tangan kasar itu melumurkan sambal pedas itu di wajah mama mereka. Dia ingat lagi bagaimana mamanya meraung dan menjerit kepada lelaki itu supaya menghentikan tindakannya.
Namun, tak diendahkan dan didengari.

Mereka bertiga pucat di meja makan. Tak mampu membantu ibu mereka.

“Ayah...”

“Kamu bertiga jangan masuk campur urusan aku dengan mama kamu! Aku nak ajar dia cukup-cukup hari ni! Siapa dia nak tegur dan ajar aku?!”

“Abang...”

“Kau tak payah nak tegur akulah, Salina! Aku tahu apa yang aku buat. Dosa, pahala dan haram aku tahu! Aku habiskan duit dekat mana pun, itu urusan akulah, sial!”

Tengkingan dan tangan itu sama naik. Wajah Puan Salina sudah kemerahan dengan sambal bilis yang sepatutnya dimakan oleh mereka hari itu.

Bunyi tangisan yang meluruh hebat.

“Abang, jangan buat saya macam ni.”
“Kau memang patut kena macam ni pun! Menyusahkan! Bising dan menyakitkan hati akulah, bodoh!”

Sebelum lelaki itu menolak mama mereka ke lantai dan keluar dari rumah mereka. Setelah menyakiti ibu mereka semua dengan tangan kasarnya.

Meluru mereka bertiga mendapatkan wanita itu yang menangis dan kepedihan.

“Mama tak apa-apa. Anak-anak mama pergi sambung makan. Mama ambilkan sambal yang baru ya.” Menggigil-gigil suara itu terdengar.

“Mama, kami tak nak makan.”

“Janganlah macam tu. Mama dah masak nasi lemak kesukaan kamu bertiga. Makan ya.”

Tubuh itu bangun dan segera ke dapur mengambil sambal bilis yang baru untuk mereka. Dengan tubuh yang masih menggeletar.

Kesan sambal bilis yang melekat di lantai rumah mereka itu, dipandang lama. Bunyi esakan ibunya di dapur cukup menghancurkan hati dia dan mereka hari itu.

Lelaki itu memang manusia tak ada hati perut! Tak berperikemanusiaan. Tiada hati nurani dan simpati! Dia benci. Benci dengan lelaki bergelar ayah itu.

Sehinggalah ke hari ini, dia tak menjamah nasi lemak. Nasi lemak tidak lagi menjadi kesukaan dia. Kenangan buruk itu sentiasa melekat di dalam hidup dia.

Akhirnya, punggung diangkat dari kerusi. Tidak menjamah nasi lemak yang diberikan oleh lelaki itu tadi. Kaki diatur menuju ke arah bilik air. Dia mahu membersihkan diri.

Perlahan-lahan tubuhnya bergerak.

Terhuyung-hayang. Sakit. Sungguh, tubuh dia sakit.

.
.

Bab 2 is out!

BEAUTIFUL ADDICTION Where stories live. Discover now