Bab 15

12 1 0
                                    

Gelap gelita menyelubungi segenap ruang dalam rumah agam milik Prof Cullen. Terasa butanya penglihatan tanpa ada cahaya yang memandu arah. Keheningan menambah rasa seram sejuk saat kaki melangkah masuk ke dalam rumah. Jantung berdebar tanpa segan silu. Rambut halus pada kulit tegak berdiri bagaikan askar dalam posisi senang diri.

Namun yang aneh, jam hampir menginjak ke angka lima. Tetapi keadaan seakan-akan sudah larut malam. Masa berada di alam cermin bergerak pantas dari dunia asal. Syd mengemudi masuk ke dalam ruang tamu rumah Prof Cullen dengan langkah yang amat berhati-hati.

"Aku tak rasa ada orang kat sini," bisik Tyra perlahan di belakang Syd.

Dari tadi dia tertanya-tanya mengapa mereka berdua harus berhati-hari saat melangkah ke dalam rumah. Berjalan dengan amat berjaga-jaga bagai takut akan tertusuk jarum halus. Bukannya orang dapat melihat kelibat mereka berdua pun. Itulah kata hati Tyra sambil menyuluh-nyuluh keadaan sekeliling mengunakan telefon bimbit yang hampir kehabisan beteri.

"Kau lupa ke makhluk yang kejar kita dua malam tadi?" balas Syd sambil menoleh ke belakang. Cahaya terang dari telefon pintar disuluh tepat ke wajah gadis yang berjalan dibelakangnya.

"Ish! Aku ingatlah. Tapi tak payahlah suluh kat depan muka aku. Silaulah!" marah Tyra sambil menghalang cahaya dengan menggunakan lengan. Nak kena juga mamat ni. Sengaja nak cari gaduh agaknya.

"Kalau kau ingat. Baguslah. Orang memang tak nampak kita. Tapi kalau makhluk tu ada kat sini, mampus kita tau. Jadi pesan aku, kau diam je kat belakang. Ikut je aku. Okay?" balas Syd.

Lampu suluh yang dipancar ke muka Tyra tadi dialihkan kembali ke depan. Sengaja dia berbuat begitu. Seronok pula bila dapat mengusik Tyra. Gadis itu cepat saja naik angin. Makin menjadi usikan Syd.

Setelah menaiki tangga ke tingkat paling atas, Syd berhenti pada sebuah pintu yang berada di sebelah kiri. Tyra turun berhenti disebelah Syd dengan menanti arahan seterusnya.

"Aku dah periksa semua bilik malam semalam masa kau jumpa aku kat sini. Tapi..." kata-kata Syd terhenti. Tangannya memusing-musing tombol pintu namun pintu berkunci rapat. Kemudian gugusan kunci dikeluarkan dari poket seluar semula.

"Tapi apa?" Tyra menyipitkan mata. Menanti Syd menyudahkan kata-kata.

"Tak ada satu pun kunci yang dapat buka kunci ni. Aku cuba tolak pintu ni. Tapi tak dapat. Jadi aku balik dengan harapan aku balik semula ke sini hari ini untuk buka balik," terang Syd. Gugusan kunci yang menyimpan semua kunci pintu bilik Prof Cullen digoyang didepan Tyra bersama dengan helaan nafas yang panjang.

"Apa benda yang kau cari kat sini sampai kau beria sangat geledah semua bilik ni ha? Kau cari apa sebenarnya Syd?" Tyra masih tak berpuas hati. Tangannya disilangkan ke dada. Lelaki itu merahsiakan sesuatu darinya. Itu benar-benar membuatkan dirinya kurang selesa selagi Syd tidak berterus terang.

"Baiklah. Memandangkan kau saja teman aku kat sini. Aku cerita," Syd merenung anak mata Tyra.

Tyra mengangguk penuh minat. Akhirnya Syd membuka mulut tanpa perlu dipaksa.

"Aku..."

BOOM!

Bunyi rempuhan di tingkat bawah rumah membuatkan Syd dan Tyra saling berpandangan. Serentak itu mereka berdua segera berlari ke arah beranda untuk melihat punca letupan yang berlaku di tingkat bawah.

"Makhluk tadi!" jerit Tyra. Kelihatan berberapa ekor makhluk aneh yang ketinggian tiga meter berjalan dengan rakus menuju ke arah tangga. 

Peluh dingin mulai menitis kembali. Sesungguhnya, itulah sosok yang membuatkan Tyra terkaku dan degupan jantung meningkat dengan lebih kuat. Terasa jantungnya terkeluar dari rangka.

Syd pantas menarik tangan Tyra dan membawa dia masuk dalam sebuah bilik yang tidak berkunci. Mereka berdua harus segera mencari tempat persembunyian. Dia yakin makhluk itu tidak tahu keberadaan mereka berdua disitu. Jadi, pelan Syd adalah untuk bersembunyi dan keluar apabila keadaan kembali reda.

Kaki Tyra mengikut saja kemana tangan Syd mengheretnya. Makhluk itu benar-benar membuatkan Tyra cuak. Dia lebih berani melihat mayat ataupun berdepan dengan penjenayah yang mempunyai senjata api berbanding menghadap mahkluk aneh. Mujur Syd ada menjadi pelindungnya.

Sebuah almari besar yang disandarkan disudut dinding menarik perhatian Syd. Melihat ukuran almari yang hampir sebesar sebuah katil king size, Syd berpendapat bahawa disitulah tempat yang sesuai bagi mereka berdua untuk bersembunyi.

"Kau okey?" Syd memandang wajah cemas Tyra sebaik saja mereka berdua duduk di dalam almari.

Gadis itu berpeluh dengan agak banyak. Kelihatan titis-titis peluh menuruni dahi dan membuatkan rambut depannya basah kuyup. Begitu sekali ketakutan gadis itu terhadap makhluk aneh tadi. Timbul rasa simpati Syd pada Tyra. Pasti ada trauma yang menyebabkan dia ketakutan sebegitu sekali.

Tyra mengelengkan kepala. Jarinya semakin kuat menggenggam tangan Syd. Dia dapat merasakan tangan Tyra mengigil dengan sangat kuat. Sama seperti keadaan semasa di dalam bas seketika tadi.

"Rileks. Tarik nafas dalam-dalam. Aku yakin kita dua selamat kat sini. Aku akan lindungi kau tak kira apa pun. Aku janji." Syd menyakinkan Tyra dengan kata-kata yang mampu dia fikirkan pada saat itu.

Dia tahu dia akan menjaga gadis itu dari bahaya walaupun terpaksa mengadaikan nyawa. Entah apa yang membuatkan dia berfikir sedemikian sedangkan mereka berdua baru saja berjumpa. Ada sesuatu tentang Tyra yang membuatkan Syd ingin melindungi gadis itu dengan sepenuh hati.

Tyra membalas pandangan Syd. Dia tahu mereka berdua selamat disitu. Dia juga yakin, Syd akan melindungi dia dengan sedaya upaya. Disitu dia bukan lagi detektif yang kuat seperti di dunia asal. Dia benar-benar gerun apabila melihat rupa makhluk yang muncul didepan mereka sejak dari malam semalam.

***

Syd menekan punat ditepi telefon bimbit, lantas skrin telefon dihidupkan semula. Angka enam terpampang di telefon bimbit, bermakna hampir sejam mereka berdua bersembunyi di dalam almari.

Bunyi hentakan kaki dan rengusan dari makhluk tadi mulai berkurangan kedengaran dari luar. Lama kelamaan suasana sunyi sepi.

"Aku rasa makhluk tu dah pergi." Syd menoleh pada Tyra disisi.

"Kau yakin ke?" Tyra meregangkan lengan. Dia sudah tidak sabar untuk keluar. Hampir sejam duduk di dalam almari benar-benar membuatkan dia kepenatan.

"Kejap. Aku keluar dulu. Kau tunggu kat sini." Syd perlahan-lahan berdiri. Tangan kanannya bertahan pada dinding almari, sementara sebelah lagi cuba menolak daun pintu keluar dengan perlahan-lahan.

Namun, tanpa disangka dinding almari mengelonsor ke tepi saat tangan Syd bertahan pada dinding almari.

"Eh?" Syd pantas memandang Tyra yang terpaku apabila melihat dinding di dalam almari terbuka.

"Pintu apa ni?" Mulut Tyra melopong saat melihat dinding almari mempunyai sebuah pintu rahsia didalamnya. Kedua-dua tangan ditekup ke bibir.

Kaki Syd yang bersedia untuk melangkah ke luar, dimasukkan semula ke dalam almari. Niatnya untuk keluar dibatalkan. Tanpa disangka mereka berdua menemukan sebuah pintu yang bakal membawa mereka berdua merungkai misteri rumah Prof Cullen. Apa yang menarik, pintu rahsia itu bersambung di dalam sebuah almari.

"Kau nak masuk?" soal Syd sambil menyuluh ke dalam pintu rahsia menggunakan lampu picit dari telefon bimbit. Badannya pula sudah separuh masuk ke dalam pintu rahsia.

"Kau dulu. Kalau ada apa-apa nanti kau dulu kena," bisik Tyra perlahan.

"Apa kau cakap?" Kepala Syd yang sudah dimasukkan ke dalam pintu, ditolehkan ke belakang apabila mendengar jawapan Tyra. Amboi-amboi, banyak cantik jawapan Tyra. Bunyinya seperti menjadikan dirinya mangsa korban pula.

Tyra hanya ketawa kecil melihat wajah cuak Syd.

"Mana kau lah," balas Syd dengan merangkak masuk ke dalam pintu meninggalkan Tyra yang masih duduk didalam almari.

"Tunggu!" Tyra turut merangkak masuk apabila melihat badan Syd sudah tidak lagi kelihatan. Memang tidaklah dia tinggal seorang diri di dalam almari!

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: May 01 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Cermin - "who is the monster among them all?"Where stories live. Discover now