Sepanjang sebulan itu mereka bertiga bertungkus-lumus mencari lebih banyak petunjuk. Bagai nak gila dibuatnya. Rumit betul kehidupan Syah ini.

Hasil dapatan kajian mereka menunjukkan Syah juga mempunyai seorang lagi sahabat baik bernama Irfan. Farhani dan Ainan juga telah mengesahkan kesahihan informasi itu. Irfan dan Dani, dua orang yang banyak memainkan peranan dalam kehidupan Syah ketika masih bergelar manusia. Tetapi keberadaan Irfan masih tidak mereka ketahui. Jadi sekarang mereka hanya memerlukan Dani untuk mendapatkan jawapan.

Kaki mula mengorak langkah memanggil Aidan di kaunter untuk menemaninya menegur Dani yang sudah duduk di tempat biasanya. Tangan dilambai memanggil Aidan yang sedar akan kehadirannya kemudian jari telunjuk menghala ke arah Dani sorok-sorok. Aidan yang memahami apa yang Hannah maksudkan bergegas menanggalkan apron yang dipakai dan mendekati Hannah yang berada di hadapan kaunter.

Syah pula sudah terbang mengekori gerak-geri Dani yang mencari tempat duduk kesukaannya ketika Hannah pergi memanggil Aidan. Dia malas mahu tunggu Aidan jadi dia pergi dahulu.

"Macam mana nak tegur?" soal Hannah ketika Aidan menghampiri dirinya. Entah kenapa rasa gelisah mula menghantui dirinya. Mungkin kerana ada Aidan keberaniannya hilang sedikit dan mula bergantung harap pada Aidan.

"Kau buat hari itu macam mana?" soal Aidan kembali. Kepala tertunduk sedikit melihat Hannah yang tingginya separas bahu Aidan.

"A- Aku tegur aje lah. Lebih kurang macam ni. Saya nak tanya sikit boleh? " Kepala diteleng sedikit ke kiri cuba melakonkan kembali situasi hari itu.

"Hah, buat sajalah benda sama. Apa yang susahnya?" soal Aidan pelik dengan perangai Hannah yang tiba-tiba gelisah tak tentu fasal.

"Aku nervouslah." Sengihan kecil menampakkan sebaris gigi tersusun rapi diberikan pada Aidan.

"Sebab?"

"Sebab..."

"Sebab ada aku. Tahu dah." Aidan menggeleng tahu sangat dengan perangai si Hannah seorang ini. Mudah dibaca seperti buku kanak-kanak.

Kaki panjangnya itu mendekati meja Dani meninggalkan Hannah di belakang sedikit jauh. Laju langkahnya menyebabkan Hannah berlari kecil mendekatinya.

"Bang, kawan saya nak tanya sikit boleh?" Bahu Dani ditepuk halus apabila kaki berhenti melangkah.

Aidan dipandang dengan muka tidak puas hati. Kaki Aidan dipijak sedikit dengan hujung kasut. Tak guna, orang minta tolong dia, dia suruh kita balik.

Syah yang mendengar juga terlepas sedikit ketawanya. Padan muka. Itulah selalu sangat berharap pada Aidan. Hannah hanya mengerling tajam ke arah Syah yang mentertawakan dirinya.

'Sama-sama tak guna. Memang dua kali lima sepuluh,' getus hati Hannah

Dani memusingkan badan sedikit ke kiri melihat kerenah dua sahabat itu. Senyuman wajibnya diberikan kepada Hannah dan Aidan.

"Duduklah," pelawa Dani sambil tangan terarah pada kerusi yang kosong di hadapanya. Aidan mengambil tempat di sebelah Dani manakala Hannah mengambil tempat berhadapan dengan Dani.

"Nak order apa-apa? Saya belanja." Dani menyoal ramah.

"Ice lemon tea," ucap Aidan tanpa segan dan silu. Betul tak tahu malu. Adik kepada tuan kedai pun minta orang belanja. Hannah pula menggeleng sahaja.

"Betul Hannah tak nak? Tak apa, tak menyusahkan saya pun." Lembut sahaja suaranya memujuk Hannah.

"Kau order aje lah, Hannah. Dia nak sangat belanja kau itu. Mungkin dah jatuh cinta," usik Syah yang melihat Dani betul-betul bersungguh mahu belanja Hannah sesuatu.

Thanks, Mr. Boo [COMPLETED]Where stories live. Discover now