"Teman Dani. Papa tak ada hari ini. Semalam dia kata ada hal sampai esok."

Asyraff hanya menurut. Kereta dialih masuk ke dalam perkarangan rumah. Gear diletakkan pada P apabila sudah masuk di tempat letak kereta yang tersedia. Asyraff laju keluar dari perut kereta untuk membuka pintu Dani.

"Terima kasih." Dani ucap lemah.

Masing-masing membawa diri ke ruang tamu yang terletak di tengah tingkat paling bawah rumah. Dani mengarahkan pembantu rumah untuk membawa sedikit makanan ringan, buah dan air untuk dia dan Asyraff. Pembantu rumah itu terus menurut tanpa berlengah.

"Dani dah sedia nak cerita?" Lembut sahaja nada yang digunakan oleh Asyraff kepada Dani. Dani yang mendekat melabuhkan diri di atas sofa empuk di ruang tamu itu. Persoalan Asyraff dibalas dengan satu anggukan.

Dani cuba mencari tenang dalam diri. Ayat mula disusun di dalam kepala. Tapi malang fikirannya masih bercelaru. Keluhan kasar dilepaskan.

"Tak apa. Relaks. Satu-satu, abang tunggu," ucap Asyraff apabila melihat Dani yang sedikit tertekan dengan diri sendiri. Pertama kali dia melihat Dani sedemikian rupa.

Sunyi untuk beberapa ketika.

"Abang ingat Dani pernah cerita yang Dani dulu ada dua kawan baik?" soal Dani memula bicara.

"Irfan dan Syah?" soal Asyraff kembali.

"Ya, minggu lepas Syah baru sahaja meninggal dunia," jelas Dani. Wajah menunduk memandang kaki yang menguis lantai.

"Innalillahi wa inna ilaihi raji'un." Lafaz istirja' disebut halus oleh Asyraff.

"Budak yang Dani selalu bantai tu... Syah," jujur Dani. Asyraff yang sedikit terkejut dipandang. Dia tidak pernah tahu Dani membuli kawan baik sendiri. Terkelu lidahnya tidak tahu apa yang patut dikatakan pada waktu itu.

"Dani kecewa. Dani tak sempat minta maaf pada dia. Dia tak pernah benci Dani. Walaupun Dani pukul dia sampai nak mati. Tiap kali itu juga lah Syah akan maafkan segala perbuatan Dani."

Asyraff menepuk perlahan dan mengusap belakang Dani apabila terlihat air mata mula bertakung di tubir matanya.

"Walaupun Syah dah maafkan, tapi Dani masih rasa bersalah sebab Dani tak sempat minta maaf pada dia. Dani banyak dosa dengan dia. Kenapa Allah ambil dia dulu, bang? Dani tak sempat balas jasa Syah. Allah tak sayang Dani ke? Sebab Dani jahat." Air mata jatuh menyembah bumi. Muka ditutup dengan tapak tangan sambil tangan ditongkat di atas lutut.

Dani rasa dirinya yang semakin melemah.

"Dani, jahat macam mana pun kita. Allah tak benci kita, Allah tak akan uji hamba-Nya kalau hamba-Nya tak mampu lalui ujian itu. Selagi pintu taubat masih terbuka Dani masih ada masa. Dani kuatkan diri." Asyraff memujuk lembut. Walaupun dia tahu dia juga hamba yang penuh dosa tetapi itu sahaja nasihat yang dirasakan paling tepat untuk diberikan pada Dani.

"Tapi Dani tak sempat minta maaf pada Syah. Sama sahaja takkan hilang juga dosa Dani." Dani masih menafikan.

"Dani, Dani juga yang cakap Syah sudah maafkan Dani. Jadi Dani hanya perlu berserah pada Dia. Jangan hukum diri sendiri." Asyraff membalas dengan nada yang sedikit tegas.

"Tapi-"

"Dani dengar cakap abang. Tak ada tapi. Allah tak akan uji Dani kalau Dia tahu yang Dani tak mampu. Kau kuat Dani. Abang yakin." Asyraff memotong kata-kata Dani sebelum sempat dia menyoal kemampuan diri lagi.

Sunyi mula bertandang.

"Abang?" Dani memanggil halus apabila jiwanya bertemu sedikit tenang.

"Abang nak berubah sekali dengan Dani tak?"

Thanks, Mr. Boo [COMPLETED]Unde poveștirile trăiesc. Descoperă acum