Dani angguk.

Tidak pernah sekali dia lupa janji itu kerana dia yang meminta mereka untuk turut berjanji. Namun dia rasakan dialah juga insan yang telah memungkiri janji tersebut. Hanya Syah yang masih betul-betul berharap. Irfan dia tidak pasti, tapi dia yakin Irfan sangat membencinya atas apa yang dilakukan pada Syah.

"Aku nak kau tahu juga yang aku ikhlas dengan persahabatan kita. Tak pernah sekali aku terikir nak putuskan tali yang kita ikat bersama," sambung Syah lagi.

"Kalau satu hari nanti, kau bunuh aku. Aku nak kau tahu yang aku sudah maafkan kau. Irfan pernah cakap pada aku yang kau tak akan berubah walaupun aku mati dalam tangan kau. Aku nak buktikan Irfan salah." Tangan digenggam erat dan kemudian menumbuk angin. Tekad.

"Aku nak buktikan yang manusia layak terima peluang untuk berubah. Aku yakin jauh dalam lubuk hati kau, kau sedang merayu untuk berubah. Sebab Daniall Qays yang aku kenal sangat baik."

Dani hanya diam membisu. Tidak memberi sebarang reaksi kepada Syah yang bersemangat berkata-kata disebelahnya.

"Aku tak tahu apa yang menyebabkan kau berubah. Tak pelik sebab kita bertiga memang masing-masing buat kesedihan jadi pekasam dalam jiwa." Terhambur tawa halus dari mulut Syah. Itu satu fakta yang sangat tepat, tiga sahabat itu sangat mahir merahsiakan kesedihan masing-masing. Kesedihan itu diletak jauh dari dunia untuk diketahui.

"Tapi aku nak kau maafkan diri kau dan cuba untuk berubah jadi baik kembali. Jadi Daniall Qays yang dulu. Aku tahu dia ada sahaja dalam hati kau. Dia tak mati lagi. Aku percaya." Kata-kata terakhir itu disebut perlahan. Antara yakin dan tidak yakin. Hatinya tak serik memanjatkan doa kepada Allah untuk membuka pintu hati sahabatnya untuk berubah ke arah kebaikan. Dia rindukan persahabatan mereka yang dahulu. Sangat rindu.

Pipi terasa bahang seketika mendengar kata-kata Syah yang jelas bersuluh keikhlasannya. Tubuh mula berdiri tegak. Rokok yang digigit sejak tadi diludahkan ke muka Syah.

"Serabutlah aku dengan kau ni. Buang rokok itu." Kaki menapak jauh meninggalkan Syah yang melambai ke arahnya dengan senyuman.

Susah ke untuk benci aku?


TAWA terlepas tidak henti dari bibirnya. Puas dapat memukul Syah. Seronok melihat cecair merah yang mengalir di bibirnya yang pecah dan di beberapa kesan tikaman kecil yang dihasilkan oleh Zayden di tubuhnya. Esakan dan rayuan Syah bagaikan musik yang berkumandang di gegendang telinga.

Puas dan nikmat.

Rambut Syah direntap kasar kemudian mata merenung dalam ke dalam mata Syah yang dipenuhi air mata menahan sakit. Senyuman masih tidak lekang disebalik pelitup mukanya.

"Hai, Syah," bisik Dani halus di tepi telinga Syah. Cukup untuk Syah sahaja yang mendengarnya.

"D-Dani..." Lemah Syah membalas.

"Apa semua-"

Tidak sempat Syah menghabiskan kata-kata, datang lagi beberapa lelaki bertubuh sasa ke arah mereka.

"Apa ini Zayden? Awal betul kau lunyai budak ini." Botak menegur langkah semakin menghampiri.

Terlepas tawa Zayden.

"Target ini yang tak melawan. Lemah sangatlah, Botak. Bosan aku. Tak ada satu calar pun dekat badan aku. Peluh pun tak ada." Nada bangga jelas. Zayden menunjukkan tubuhnya yang tiada kesan calar atau luka di mana-mana bahagian.

Zayden menghampiri Botak yang memerhatikan Syah dibelasah oleh anak-anak buahnya.

"Sampai mampus?" bisik Zayden pada Botak.

"Ya, tapi mampus bukan kita. Ada team lain nanti settle. Bos suruh kita lunyai manja saja budak ini." Zayden angguk dan kembali ke arah Syah sambil melompat-lompat.


OTOT yang mula penat diregang. Syah yang masih dipukul teruk diperhati dari jauh. Syah semakin melemah. Sekejap-sekejap cuba memandang Dani sekilas, meraih simpati. Tapi Dani hanya mengabaikan sahaja pandangan itu.

"Zayden, aku gerak dulu. Penatlah pula. Lagipun lepas gian dah ni." Dani berbisik pada Zayden yang seronok menendang-nendang lutut Syah. Zayden hanya balas dengan anggukkan.

Kaki mula menapak jauh meninggalkan yang lain. Otot masih diregangkan sambil berjalan pulang.

BAMM!

Bunyi hentaman yang maha dahsyat menyebabkan tubuhnya memusing ke arah bunyi itu.

Mata menyaksikan detik hitam itu. Syah sudah tiada di tempat terakhir dia melihat Syah. Sebuah kereta meluncur laju pergi meningalkan sesuatu di atas jalan. Satu tubuh yang lemah di atas jalan raya yang berlumuran dengan cecair merah diperhati dari jauh.

Apa yang kau dah buat Dani?


BERITA kematian Syah sudah sampai ke pengetahuannya. Maka benarlah tubuh yang dia perhatikan itu tubuh Syah.

Malam itu, setelah melihat satu tubuh yang terkujur di atas jalan perasaannya berkecamuk, akal sudah memikirkan segala macam benda. Kaki terus lari menjauh dari kawasan itu. Laju, sangat laju. Gambaran tubuh itu masih segar diingatannya.

Aneh. Sehingga kini masih tiada khabar berita punca sebenar kematian Syah. Kemalangan jalan raya itu sahaja yang diperkata buah mulut orang. Masing-masing tidak menyebut langsung tentang betapa teruknya Syah dikerjakan malam itu.

Fikiran bukan-bukan dibuang jauh dari lamunannya. Keselamatan diri yang perlu diutamakan.


SATU pesanan ringkas daripada Zayden masuk di notifikasi telefonnya. Rambut basah dilap dengan tuala kering. Telefon diambil lalu dibaca pesanan tersebut.

'Kau kenal budak ni?' – Zayden

Gambar seorang remaja lelaki sebayanya diperhati lama. Kenal sangat!

'Dia orang kata budak ni kawan baik dengan budak yang mati haritu. Malam tadi dia orang buat benda sama dekat budak ni. Tapi sempat selamatkan pula. Katanya koma. Spoil betullah!' – Zayden.

Koma!

Lepas Syah, Irfan pula sasaran mereka. Gila. Kenapa orang yang rapat dengan dirinya juga yang menjadi sasaran.

Siapa dalang disebalik kes kejam ini dan mengapa sahabatnya yang menjadi mangsa. Itu benar-benar menjadi tanda tanya dalam diri Dani. Kenapa aku yang diuji begini?

'Untuk apa kau beritahu aku?' – Dani.

Pesanan ringkas itu terus dibalas selepas Dani menghantarnya.

'Saja. Hehehe' – Zayden.

'Bos macam nak bagi kerja lagi. Nak join tak? Dah lama kau tak join. Cuci tangan dah ke Dani? Awal betul.' – Zayden.

Pesanan ringkas itu dibaca sahaja tanpa balasan. Tubuh disandarkan pada kepala katil. Mata terpejam rapat mengizinkan air mata mengalir di pipi. Nafas terasa berat bagai dadanya ditimpa batu. Tubuh mengigil tanpa henti. Pelbagai perasaan diadun dalam satu tubuh.

Lengan dibawa menutup separuh wajah. Tangisan tidak dipaksa untuk berhenti malah dibiar sahaja. Dani paksakan tubuh untuk bangkit dari katil. Esakan kecil masih jelas kedengaran.

Kaki menuju ke bilik air. Pili air dibuka kemudian tangan menadah air yang mencurah keluar dari paip. Muka dibasahkan dengan air yang ditadah, kemudian wuduk diambil.

Selesai berwuduk kopiah disarungkan di atas kepala. Sejadah dibentang menghadap kiblat. Niat dibaca dan kemudian takbir diangkat. Solat sunat taubat didirikan bersama tangisan yang masih bersisa.

Ampuni aku, ya Allah.



pengajaran chapter ini :-

- Jangan belasah anak orang.

- Apa-apa kita nak buat ingat Allah sedang memerhatikan kita.

- Sentiasa check and tajdid (perbaharui) niat kita.

Yang mengarang sambil tenung dinding,

Side 📦

Thanks, Mr. Boo [COMPLETED]Where stories live. Discover now