Part 13

174 15 2
                                    

SANGKAAN Nadyia tidak salah bila Tengku Reza mengheretnya ke majlis makan malam yang hanya layak dihadiri oleh golongan kelas atasan. Golongan yang tidak punya tempat untuk gadis yang datang dari kampung sepertinya.

Sungguh dia keliru dengan apa yang cuba dilakukan lelaki itu. Suka benarkah dapat menayang perempuan simpanan di hadapan ramai? Seronok dapat memalukannya begini?

Ya, kulit wajahnya terasa tebal sebaik mata-mata tetamu yang hadir mencerun ke arahnya. Dapat mengagak statusnya di sisi Tengku Reza Aliyy.

Semua orang tahu Tengku Reza Aliyy tidak punya kekasih hati. Perempuan yang muncul di sisi lelaki dingin beku itu tentu sahaja perempuan simpanan.
Itu pun jarang benar ditayang di hadapan ramai.

Namun tiada siapa akan meragui hakikat itu. Disebabkan itu pandangan yang ditujukan ke arahnya nyata tidak berniat baik. Yang perempuan menyimpan rasa iri dan jijik. Yang lelaki mungkin berfikir untuk menjadi pembeli seterusnya.

Dia tidak faham kenapa si tengku tiba-tiba mahu membawanya keluar malam ini. Menghadiri majlis makan malam di mana perempuan sepertinya tidak sesuai ditonjolkan.

Perempuan simpanan. Perempuan jalang. Perempuan murahan. Semua itu label yang membuat telinga berdesing kala diungkap.

Walau emosi hebat bergolak, wajah tetap kekal manis di hadapan ramai. Senyuman sentiasa terukir di bibir seolah cukup gembira dapat mencampuri golongan kelas atasan.

"Tengku Reza. Aku ingat kau tak datang malam ni," sapa si penganjur majlis, Tuan Aidil.

Tuan Aidil, lelaki yang hampir mencecah usia 40an, punya hubungan baik dengan Tengku Reza.

"Siapa ni?" soal Puan Ruzia mesra. Wanita anggun yang merupakan isteri Tuan Aidil. "Tak nak kenalkan dengan I?"

"My girl," balas Tengku Reza senada.

My girl, huh?

Nadyia menjongket kening. Mempersoalkan jawapan itu. Mata mengerling ke arah si tengku. Tiada emosi yang tertera di seraut wajah dingin itu. Seolah tiada apa yang pelik dengan status yang diberikan.

Lelaki itu tidak perlu menjelaskan apa-apa. Semua orang sudah membuat spekulasi sendiri sebaik melihatnya di sisi Tengku Reza.

Sejak bila dia menjadi gadis milik lelaki itu?

"Really? Your girlfriend?" soal Puan Ruzia bagai tidak percaya.

Dipandang gadis seksi di hadapan mata. Gadis yang menarik perhatian ramai sebaik melangkah masuk ke ballroom bersama Tengku Reza. Cuba menilik kesahihan kenyataan yang diberikan.

Tengku Reza tidak membalas. Soalan seperti itu tidak perlukan jawapan daripadanya. Hubungan yang wujud di antaranya dengan gadis di sisinya tidak perlu dijelaskan pada sesiapa.

"Nadyia," ucap Nadyia menghulur tangan ke arah Puan Ruzia. Cuba menceriakan keadaan dari kedinginan si tengku.

"His girl?" soal Puan Ruzia masih menginginkan kepastian.

Mana mungkin Nadyia mampu menjawab soalan seperti itu. Dia masih sedar status sendiri. Tidak perlu menutup aib dengan satu penipuan.

Dia tidak bermimpi untuk menjadi kekasih lelaki itu. Jauh sekali menyimpan rasa yang tidak sepatutnya wujud.

Dia cuma tidak suka ditayang di hadapan ramai. Tidak bermakna dia ingin menjadi seorang penipu.
Lalu hanya senyuman dipasak ke bibir untuk soalan itu. Senyuman penuh misteri. Membiarkan Puan Ruzia tertanya-tanya sendiri.

"Do you want to eat something?" soal Tengku Reza rapat di telinga si gadis.

Nadyia mengangguk perlahan. Perut yang kosong sememangnya meminta untuk diisi.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Apr 14 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Nadyia Untuk Seorang TengkuWhere stories live. Discover now