"Hemm. Emmmm... Ni...Yaz."

Sekali lagi suara rapuh dan dingin sayup-sayup membelai halwa. Pastinya bukan dari Zayid yang terkatup rapat bibirnya, Bukan juga dari manusia.

Niyaz meneguk liur.

Perasaan cemas mencuba meragut ketenangan Niyaz. Sarung plastik yang melindungi dakwat hitam hampir retak kerana tidak dapat menahan daya tekanan kuat daripada Niyaz.

Niyaz pasti yang menegurnya ialah entiti ghaib yang berada bersama-sama dengan mereka di sini.

"Emmmm... Ni...Yaz. HAHAHHAHAHHA."

Pen terlepas ke lantai.

Niyaz menutup lubang telinganya, gegendang berdengung kerana menerima jeritan maha kuat sebentar tadi.

Zayid mengetap bibir. Aksi Niyaz mengundang gemuruh di dada. Dia menyimpan gadgetnya ke dalam kocek seluar dan terkocoh-kocoh mendapatkan Niyaz.

"Ni..." Kata-kata itu tersendat di tenggorokan Zayid.

"Keluar!"

Zayid berpaling ke belakang. Jeritan nyaring jelas di belakangnya.

Tak semena-mena suasana dalam bilik berubah kepada tidak kondusif.

Cahaya mentari yang menjadi sumber pencahayaan bagaikan disekat oleh penghalang besar, menjadikan ruangan itu malap dan hanya bergantung pada pengcahayaan tipis dari luar pintu.

Perabot yang pegun tiba-tiba bergoncang bagaikan bumi yang dipijak mereka mengalami gempa.

Krek... Bum!

Nafas Zayid tersekat.

Pintu terhempas. Menyekat sumber cahaya mereka.

Kegelapan menyelimuti dua rakan itu dan menggetarkan tulang-temulang Niyaz hinggakan papan keratan turut meluruh dari pegangannya.

"Niyaz." Zayid memanggil. Dia mengagau-gagau, mencari Niyaz. Dia tak nampak, matanya seakan ditutup oleh kain.

"Niyaz," seru Zayid lagi. Kakinya mula lenguh dan sedikit berat, dari tadi dia berjalan ingin mendapatkan Niyaz yang berada di tengah ruangan, namun entah mengapa jarak antaranya dan Niyaz terasa begitu jauh.

Ruang terasa sempit dan padat, mereka dikepung oleh benda yang tak terlihat dari indera kasar, pelbagai bentuk dan rupa.

Pastinya Niyaz dan Ziyad tidak melihat kewujudan mereka tetapi cukup membuatkan dua manusia itu sedikit kewalahan dek udara yang terasa makin berat dan sumber oksigen mereka semakin berkurangan.

Bayangan putih merentang dan memutar di sekitar. Bisikan dan cakaran merayap di sudut-sudut, dan angin dingin menyapu leher membuatkan Niyaz semakin hanyut dalam cengkaman makhluk yang cuba mengantikan posisinya, merebut raga miliknya secara paksa.

"Niyaz kau dekat mana? Jangan senyap Niyaz. Jangan mengelamun, fokus." Zayid semakin khawatir.
Zayid tahu yang Niyaz tidak dalam keadaan yang baik dan kemungkinan lelaki itu sedang bergelut dengan makhluk ghaib. Situasi seperti ini bukan pengalaman pertama buat Zayid, dia sudah menghadap berkali-kali selama 2 tahun ia menjadi rakan sekerja Niyaz.

Niyaz membongkok, menumpukan tubuhnya pada lutut. Tercungap-cungap ia mengambil nafas, butiran sebesar biji jagung juga menempel di dahinya. Tenaganya terkuras kerana berlawan dengan makhluk jahil. Dia dengar Zayid memanggilnya tetapi dia terlalu sibuk merebut nyawa dari dihisap mereka.

Dum! Dum! Dum!

Zayid mengalih kepala ke sumber bunyi. "Satu-satu la kalau nak kacau pun. Ingat kita orang participant Ghost Buster ke! ini kalau aku nampak aku tarik rambut sekor-sekor," rungut Zayid. Geram dia. Dengan Niyaz yang tidak diketahui keadaannya lagi. Tambah pula kerenah hantu-hantu dalam ni yang tak menyabar betul! Ahhh Zayid makin serabut. Dari takut dia bertukar marah.

MANUSKRIPWhere stories live. Discover now