Bab 1

95 3 0
                                    

Kitango, North Cotabato, Mindanao
21 Ogos 2018

BOOM!

Sebutir bom mortar jatuh lantas meletup sebaik sahaja mencecah tanah. Bumi bergegar dan bingit. Tanah selut terpercik ke serata tempat. Asap letupan mula mengganggu pandangan mata.

Pandangan Skuad Taring Nusa agak terhad. Agak sukar untuk menyasarkan musuh yang semakin mendekati kedudukan mereka.

"Tuan, musuh pukul 3.00!" jerit Kapten Munzir apabila melihat kedudukan mereka sudah dikesan oleh musuh.

Mejar Aidan beralih tempat ke sebelah kanan. Turut mengambil tempat di sebelahnya ialah Kapten Munzir. Kapten Rafiq bergerak ke kiri manakala Leftenan Hariz mengambil kedudukan pertahanan di belakang.

Skuad Taring Nusa terpaksa mengambil kedudukan pertahanan. Bersedia dengan sebarang kemungkinan yang akan mereka hadapi.

Sangkaan Mejar Aidan tepat, Masud Army Group (MAG) telah berjaya menjejaki mereka. Dari barisan hutan bersebelahan sawah padi, muncul berpuluh-puluh anggota bersenjata dari MAG.

Anggota Red Army pula muncul dari seberang jalan yang menjadi laluan rondaan mereka. Kali ini Skuad Taring Nusa akan berhadapan dengan dua kumpulan bersenjata yang agak terkenal dengan kekejaman dan keganasan yang membawa matlamat perjuangan masing-masing di Mindanao.

Boom!

Sebutir lagi bom mortar meletup sebaik sahaja menyentuh tanah. Kali ini berhampiran dengan kedudukan mereka.

Suara musuh daripada MAG dan Red Army riuh rendah kedengaran dari jauh. Barangkali untuk membangkitkan semangat juang mereka. Tambahan pula mereka telah tewas dalam pertempuran sebelum ini.

Musuh mula mara ke arah Skuad Taring Nusa. Tembakan daripada MAG dan Red Army mula menghujani mereka. Peluru bersimpang siur di atas kepala mereka. Masing-masing memegang erat senjata dan memandang satu sama lain.

"Taring Nusa! Mati itu pasti. Musuh terlalu ramai. Jimatkan peluru. Ingat, satu peluru satu musuh!" Mejar Aidan berpaling dan mula memetik picu M4 Carbine ke arah musuh dan menembak ke arah musuh tanpa teragak-agak.

"Taring Nusa!"

Kapten Rafiq, Kapten Munzir dan Leftenan Hariz pun mula membidik senjata mereka.

Beberapa orang musuh tumbang serta-merta apabila terkena tembakan yang dilepaskan oleh mereka.

"Tuan, unit mortar musuh pukul 5.00!" Leftenan Hariz menghalakan muncung senjata ke arah unit mortar musuh yang sedang mensasarkan mereka.

Kelihatan dua unit mortar telah diaturgerakkan oleh MAG untuk mendekati mereka. Beberapa anggota MAG mula menyelaraskan sasaran ke arah Skuad Taring Nusa yang sedang bertahan.

"Riz, kau habiskan unit mortar tu!" Mejar Aidan memberikan arahan tanpa menghentikan tembakannya.

"Kira selesai tuan!"

Leftenan Hariz melontarkan bom asap bagi melindungi pergerakannya dan mengelirukan musuh. Dia mula merangkak perlahan-lahan ke hadapan. Agak sukar untuk mencari lokasi yang sesuai bagi memusnahkan unit mortar musuh itu. Tambahan pula semakin ramai musuh yang mara dan menembak ke arah mereka.

Tiba-tiba bom mortar yang ketiga jatuh meletup dengan kuat. Kali ini hanya beberapa meter dari kawasan perlindungan mereka.

"Riz, kenapa lembap sangat ni? Tadi beria cakap kira boleh selesai! Come on, Riz!"

Mejar Aidan berang apabila melihat Leftenan Hariz masih belum menghapuskan unit mortar musuh yang sedang menembak ke arah mereka.

"Musuh terlalu ramai tuan. Kedudukan tak sesuai! Sangkut!" Leftenan Hariz cuba untuk mara lebih jauh. Peluru mortar musuh bila-bila masa boleh meragut nyawa mereka berempat.

Skuad Taring NusaWhere stories live. Discover now