Bab 5

158 14 0
                                    

TANGAN yang menggigil, sedaya upaya Elisa sorokkan. Kepalanya dari tadi hanya menunduk. Dia tahu dirinya menjadi tumpuan sekarang ini.

Elisa tak tahu pula keluarga ini akan makan bersama pada waktu tengah hari. Kalau dia tahu, dalam pukul dua petang dia turun. Lebih rela menahan lapar daripada menjadi tumpuan seperti ini.

“Abang, janganlah tenung adik sampai macam tu sekali. Tengok tu, adik dah tak selesa,” tegur Puan Erina kepada anak sulungnya yang dari tadi hanya merenung gadis itu. Siap dengan mulut terbuka lagi. Dah macam nampak bidadari turun dari langit pula.

“Abang rasa macam tak percaya ada adik secantik ni, ibu. Betul ke ni adik Ed, ayah?” Tak lepas mata Edrian ke arah Elisa. Dia sendiri sudah lupa bahawa dia mempunyai adik kandung yang terpisah. Padahal usia mereka hanya beza lima tahun sahaja.

Tuan Rafiq yang sedang mengunyah itu, sekadar menggelengkan kepala. Tak sangka keputusan untuk makan tengah hari di rumah adalah keputusan yang bijak. Akhirnya, mereka merasakan seperti sebuah keluarga yang lengkap.

‘Alhamdulillah, syukur kepada-Mu ya Allah. Terima kasih kerana mendengar doa-doa kami sebelum ini. Sesungguhnya hanya kepada-Mu kami berharap,’ bisik Tuan Rafiq dalam hati.

“Akak tinggal dekat kampung ke sebelum ni? Wah, mesti seronokkan tinggal dekat sana. Nanti akak bawa Elriq jalan dekat kampung ya,” pinta anak bongsu Tuan Rafiq yang berumur 20 tahun. Lelaki itu tersenyum suka sehingga mata menjadi sepet.

Bibir menayangkan senyuman kekok. Dengan terpaksa dia menjatuhkan kepala. Nasi goreng yang Elisa buat sudah tidak menarik perhatian. Dia lebih kepada ingin masuk ke dalam bilik. Nak berkurung 24 jam. Tak mahu diganggu.

“Adik selesa tak tidur semalam? Maaflah ibu tak dapat tunggu adik sampai. Ibu mengantuk sangat,” ujar Puan Erina sambil mengusap lembut tangan Elisa. Disebabkan Elriq tak mahu dipanggil adik, maka panggilan itu jatuh kepada Elisa.

Sudah lama dia mendambakan seorang anak perempuan selepas melahirkan Elriq. Namun dia tidak dibenarkan untuk mengandung lagi atas faktor kesihatan.

Kerana itu dia meminta sang suami untuk mencari anak mereka semula. Ingin dibawa masuk kembali ke dalam rumah itu.

“Err, selesa,” balas Elisa lalu menarik perlahan tangannya daripada pegangan wanita itu. Dia tak selesa diperlakukan begitu. Dengan arwah mak long saja dia selesa.

Haih, bilalah dia orang ni nak habis makan? Elisa mengadu dalam hati.

“Dah-dah, kita habiskan makan dulu. Baru kita bersembang dengan adik. Adik pun nampak macam tak selesa nak makan tu.” Tuan Rafiq meminta semua orang untuk menghabiskan makanan terlebih dahulu. Rasa tak elok berbual seraya makan.

Selesai makan tengah hari, Tuan Rafiq dan Edrian terus berbual di ruang tamu.

Tinggallah Elisa dengan Puan Erina. Mereka berdua sedang membasuh pinggan bersama. Para pembantu rumah pula diberikan cuti hari ini.

“Sedaplah nasi goreng yang Elisa masak tadi. Ayah, abang dan Elriq pun kata sedap. Pandai Elisa masak. Nanti ajarlah ibu,” kata Puan Elisa dengan tersenyum lebar. Tak lekang bibir itu mengulas senyuman. Lagi-lagi apabila berhadapan dengan gadis itu.

“Biasa-biasa je.” Ikutkan hati, Elisa tak nak pun balas apa-apa. Tapi macam tak sopan pula. Dahlah menumpang rumah orang.

‘Habis tu kau tumbuk Fakhrul, sopanlah?’

Jatuh bahu Elisa tatkala mengenangkan perbuatannya kepada lelaki itu. Mesti sakitkan. Entah bagaimana dengan keadaan Fakhrul sekarang. Risau pula andai lelaki itu pergi buat laporan polis. Sudahlah peguam, memang tak ada jalan dia nak mengelak.

TAKDIR TERCIPTA - CWhere stories live. Discover now