Bab 4

154 15 0
                                    

RUMAH tiga tingkat itu diperhatikan sebelum menghela nafas panjang. Sepanjang perjalanan dari kampung ke KL, Elisa tak tidur. Bimbang jika lelaki itu adalah lelaki jahat.

Manalah tahu selepas kena tumbuk dekat pipi, peguam itu berdendam dengan dia. Selepas itu, berniat hendak menjualnya kepada bapa ayam. Huh, habis dia.

Pintu kereta dibuka dan muncul figura lelaki itu. “Dipersilakan tuan puteri untuk turun.”

Elisa hanya mendiamkan diri. Tahu yang Fakhrul sedang menganjing dia. Kaki dibawa keluar.

Besar dan luas rumah itu. Terdapat beberapa orang pengawal yang menjaga di kawasan luar. Heh dah macam mafia. Mafia kampung!

Mereka masuk ke dalam rumah. Mulut yang menguap dibiarkan terbuka. Inilah kesannya bila tak tidur dalam perjalanan tadi.

Sebaik memasuki rumah itu, Elisa hampir terlopong. Kawasan ruang tamu itu sangat kemas dan cantik. Ditambahkan lagi dengan perabot-perabot yang berwarna putih.

“Assalamualaikum, tuan.” Fakhrul memberi salam kepada seseorang yang sedang duduk membelakangi mereka.

Elisa bersembunyi dengan belakang lelaki itu. Dia mendengar suara garau itu membalas.

“Waalaikumussalam, eh kenapa dengan pipi kamu tu, Fakhrul?”

Tangan laju menyentuh pipi yang dimaksudkan oleh majikannya itu. Hanya sengihan yang Fakhrul boleh beri. Tak mahulah menceritakan hal yang terjadi tadi.

“Tak ada apalah tuan. Ada lalat yang cium pipi saya tadi,” ujarnya dengan tersengih panjang sehingga mata menjadi sepet.

Elisa di belakang sudah menggerakkan mata ke atas. Lalat yang dikatakan itu, dialah.

“Macam-macamlah kamu ni. Hah mana orang yang saya suruh bawa tu?”

Laju jari Fakhrul menuding ke sisi. Namun tiada sesiapa di situ. Wajah dikerutkan sebelum dia mengeluh panjang. Dekat belakang rupanya.

Fakhrul beralih ke tepi sikit. Apabila lelaki itu bergerak, Elisa turut mengikuti. Tatkala lelah, sudahnya lelaki itu menarik tali beg sandang milik Elisa.

Dia terpaksa mengikut kerana tak mahu tali begnya terputus. Sudahlah dia beli dekat pasar malam. Kelihatan figura lelaki tua yang sedang menatap ke arahnya. Tiba-tiba lelaki itu tersenyum.

Elisa jadi tak selesa. Dia nak kembali semula ke kampung. Di mana dia lebih selesa untuk tinggal.

Namun, ada sesuatu yang dia perasan. Wajah lelaki itu seperti wajah...

Pak long! Dan senyuman itu nampak sama.

“Elisa Ariana, anak ayah...” sapa Tuan Rafiq dengan perlahan kaki menghampiri anak gadisnya itu. Sungguh tak menyangka yang dia akan bertemu dengan gadis itu.

Sudah 20 tahu berlalu, namun kini peristiwa itu kembali menjelma. Terasa segar bagaikan baru berlaku. Peristiwa di mana dia meminta abang sulungnya untuk membawa seorang kanak-kanak yang berumur lima tahun pulang ke kampung halaman.

Semuanya disebabkan dia perlu menemani sang isteri untuk menjalankan rawatan di luar negara. Kewangan pada masa itu hanya mencukupi untuk tiga orang. Dia, sang isteri dan anak sulung mereka.

Elisa mengundur. Dia tak mahu lelaki itu mendekat. Tangan menggenggam kuat tali beg sandang miliknya.

Melihat sang anak berasa tidak selesa, Tuan Rafiq berhenti melangkah. Wajahnya berubah sayu.

“Cik Elisa, tu ayah kandung cik...”

“Fakhrul, tak perlu. Mungkin dia penat, lagipun dah lewat malam ni. Esok saja kami bersembang,” bicara Tuan Rafiq seraya tersenyum tipis. Tipulah kalau dia tidak terkilan dengan sikap gadis itu. Tapi semua itu disebabkan dirinya juga.

TAKDIR TERCIPTA - CWhere stories live. Discover now