Bab 1

429 18 0
                                    

BEG sandang diletakkan ke atas kerusi kayu di ruang tamu sebelum mata memerhati sekeliling. Dia mencari figura seseorang.

Apabila mendengar bunyi orang berbatuk di bahagian dapur, kaki menapak dengan laju ke arah itu. Kerisauan melanda diri.

“Pak long, okey tak ni? Lah, kan Elisa dah kata tunggu dalam bilik je. Ni mesti pak long nak masak, kan,” bebel gadis bernama Elisa itu. Tangan memapah pak longnya untuk duduk.

Gelas diambil lalu Elisa menuangkan air putih. Dan Elisa menyuakan gelas itu kepada lelaki yang sudah dimamah usia.

“Tak perlu pegang. Biar Elisa yang pegangkan untuk pak long. Pak long buka mulut saja.”

Gelas dipegang sehingga air putih itu habis. Dia melihat pak long terus mengusap dada.

“Pak long okey je, Elisa. Pak long nak masakkan lauk untuk Elisa. Baru balik dari kerja mesti penat,” kata Encik Rizal dengan nafas yang termengah-mengah.

Tubuh tuanya sudah tidak dapat bekerja seperti dahulu dia lakukan. Umur sudah menginjak ke usia 67 tahun.

Umur itu nampak muda tapi fizikal Encik Rizal sudah lemah. Lagi-lagi dia mendapati bahawa dirinya mempunyai penyakit kanser usus tahap tiga.

Penyakit yang dimaklumkan oleh doktor pada bulan lalu. Dia sendiri tidak pernah menyangka akan mempunyai penyakit begitu.

Namun dia siapa untuk menidakkan takdir yang tercipta kerana Allah SWT mahu mengetahui apa yang terbaik.

“Pak long ni… Elisa tengah cakap, boleh pula dia termenung.” Elisa sudah muncungkan mulutnya. Tangan naik memeluk tubuh.

Encik Rizal tertawa kecil. Tinggal bersama gadis itu, menghiburkan harinya. Elisa yang sudi menjaga dia sejak dia tak mempunyai kudrat untuk menampung kehidupan.

“Ya maaf, apa yang Elisa cakap tadi?”

Elisa mula menarik kerusi yang berhadapan dengan lelaki itu. Tatapan matanya kian berubah.

“Elisa nak pak long buat pembedahan. Buang ketumbuhan dalam badan pak long macam yang doktor jelaskan dekat kita.”

“Tapi Elisa…”

Tak sempat Encik Rizal nak membalas, gadis itu sudah memintas.

“Fasal kos pembedahan, pak long jangan risau. Elisa akan cari jalan untuk dapatkan duit. Asalkan pak long setuju nak buat pembedahan tu.”

Bersungguh-sungguh Elisa memujuk lelaki itu. Bukan dia tak tahu pak long juga keras kepala. Sama seperti dia. Tapi Elisa nak lelaki itu sihat semula.

Dia bukanlah lelah menjaga pak long. Melihat lelaki itu kembali sihat dan lebih ceria adalah kebahagiaan Elisa sendiri.

“Mahal kosnya, Elisa. Kita takkan mampu nak bayar. Kalau Elisa nak bayar, Elisa nak guna duit siapa? Nak pinjam duit dengan along, binasa Elisa nanti. Lain cerita lagi kalau pembedahan tu tak berjaya, hah…”

Setelah itu, Encik Rizal terbatuk kuat. Tangan pantas menekup mulut. Terasa ada sesuatu yang keluar dari mulutnya. Dengan terbongkok-bongkok, Encik Rizal menghampiri singki.

Pantas Elisa memimpin pak longnya. Tangan lelaki itu masih berada di mulut. Kebimbangan mengetuk hatinya. Haraplah lelaki itu tak muntah darah lagi.

Harapan Elisa berkecai selepas memandang darah di tapak tangan Encik Rizal. Dia menarik tangan lelaki itu dan membasuhnya. Kalau dia sedih, apatah lagi pak longnya yang menghadapi.

“Dah, Elisa bawa pak long naik ke atas. Pak long rehat dekat dalam bilik. Ni pak long ada makan tak bubur yang Elisa buatkan tadi?” soalnya seraya membantu lelaki itu mendaki tangga untuk pergi ke bilik.

TAKDIR TERCIPTA - CWhere stories live. Discover now