❝BAB 25❞

532 65 22
                                    

────❝ HYDRA 187 ❞────

MATA tajam yang memandang tepat ke dalam mata Dyra itu langsung tidak berganjak setelah mendengar Dyra menyebut nama Qillerx seolah-olah benar dia adalah ahli Qillerx yang datang untuk membunuhnya.

Tiba-tiba kedengaran bunyi pintu kayu rumahnya dibuka dan pandangan Dyra segera dialihkan apabila dia terdengar suara seorang perempuan menjerit kuat di kawasan ruang tamu.

Membulat mata Dyra.

Rayna?!

Lelaki di hadapannya itu tidak datang seorang diri. Rayna yang baru pulang kini berhadapan dengan seorang lagi ahli Qillerx yang berada di ruang tamu.

Tanpa disedari Dyra, segalanya berlaku begitu pantas. Di saat Dyra mengalihkan pandangan kerana terkejut mendengar jeritan itu, tiba-tiba lehernya yang berlapik dengan telekung dicekik kuat oleh lelaki di hadapannya. Lehernya ditolak sehingga Dyra terundur ke belakang dan belakang badannya dihentak kuat pada dinding.

Dia amat terkejut apabila lelaki itu bertindak sebegitu.

Di bawah cahaya lampu dapur, Dyra dapat melihat dengan jelas urat-urat tangan lelaki itu menunjukkan dia sedang mencekiknya dengan kuat.

Tangan kanan Dyra yang memegang pistol pemetik api hampir terlepas dari tangan apabila tangannya mula terkapai-kapai cuba menarik tangan lelaki itu daripada mencekik lehernya. Namun, tenaganya tidak setanding dengan tenaga lelaki di hadapannya.

Nafasnya seakan terputus-putus. Air matanya mula mengalir keluar kerana kesakitan dan nafasnya tidak cukup untuk bertindak balas.

Dia terdengar bunyi barang di ruang tamu mula pecah satu persatu. Ya Allah! Rayna!

Tercungap-cungap Dyra mengumpul nafas. Nafasnya semakin hampir terhenti.

Ketika ini, Dyra mula berubah secara drastik.

Demi melepaskan diri untuk menyelamatkan Rayna, dia sekali lagi menggenggam erat pistol pemetik api di tangan kanannya. Sedang air mata Dyra bercucuran, matanya memandang tepat ke anak mata lelaki itu. Muncung lubang pemetik api pantas dihalakan tepat 0.5 cm di hadapan mata kiri lelaki itu dan jari telunjuknya terus menarik picu tanpa belas kasihan.

Api yang keluar dari pemetik api muncung panjang itu terus terkena pada anak mata kiri lelaki itu.

"AAAAHHHH!!!!"

Lelaki itu menjerit kesakitan. Tangan yang mencekik leher Dyra segera dilepaskan dan berundur untuk mengelak matanya daripada terus terkena api.

Lantas, Dyra terbatuk-batuk mencari nafas. Api di muncung pistol pemetik api terpadam sebaik Dyra melepaskan jarinya dari picu tersebut dan menurunkan tangan. Sambil nafasnya masih tidak teratur, Dyra mengesat matanya yang berair dan memandang tajam ke arah lelaki yang sedang sibuk menutup mata kirinya yang sakit dengan tapak tangan.

Daripada Dyra menjauhi lelaki itu, Dyra terus meluru ke hadapan menghampirinya dan menepis tangan lelaki itu daripada terus menutup mata kirinya. Lelaki itu terkejut.

Mata kirinya yang merah, terbuntang luas memandang Dyra yang sekali lagi mengacu dan menyalakan api dari muncung pistol pemetik api ke arah mata kirinya.

HYDRA 187Donde viven las historias. Descúbrelo ahora