"Tak apalah. Lagipun, saya nak temankan awak. Saya kan nak jadi isteri solehah?" Humaira cuba berseloroh. Walaupun respons Azriel sememangnya sudah dapat diteka. Nampak meluat yang teramat.

"Merepek."

....

"BILIK kau dekat hujung sana." Jari telunjuknya menuding ke arah sebuah bilik yang berada pada hujung sudut rumah.

Terkebil-kebil Humaira memandang wajah Karl Azriel yang seolah-olah tidak berperasaan itu. Kemudian, dipandangnya pula ruangan bilik tersebut. Biar betul mamat ni?

"Kita tak tidur sebilik ke?" ajunya. Seraya menggengam kemas pemegang bagasi miliknya. Pandangan tak puas hati Azriel kepadanya buatkan dia dapat meneka jawapan apa yang akan dilontarkan oleh jejaka itu.

"Tak." Padat, ringkas, dan jelas. Memang mulut terlatih berbisa agaknya.

"Kenapa kita tak tidur sama-sama? Bilik awak, bilik saya juga. Saya rasa tak ada masalah," petah Humaira membalas. Langsung tidak mempedulikan Azriel yang sudah naik berang. Nanti kena marah pandai-pandailah dia tanggung.

"Tidur sebilik dengan dengan perempuan macam kau? Itu yang kau harapkan? Tak payah nak mimipilah." Berkerut kening langking jejaka itu. Bersama rengusan kasarnya.

"Nanti kalau famili kita tahu, awak nak jawab apa dekat dia orang?" Masih tidak mahu mengalah. Masih berkeras.

"Baguslah. Lagi cepat kita berpisah lagi bagus." Terus Azriel mengatur langkah menuju ke bilik yang berada tepat dihadapannya.

Pap!

Naik terhinjut bahu mendengar hempasan daun pintu yang kuat dek amarah Azriel. Mahu tidak mahu, diikutkan juga arahan sang suami. Bagasi diheret malas menuju ke bilik yang akan menjadi tempat dia berkabung.

....

"AWAK nak pergi mana malam-malam macam ni?" Humaira yang baru sahaja ingin menutup pintu biliknya, memandang kelibat Azriel yang kebetulan ingin menuruni tangga.

"Keluar," balasnya sepatah.

Siap dengan leather jacket yang tersarung kemas di tubuh tegapnya. Ini kalau ada perempuan lain melekat, memang undang perang dunia ketiga. Cukuplah setakat ini dia bersaing dengan cinta pertama Azriel. Bayangan yang sudah sirna itu masih menjadi pemenangnya. Entah sampai bila.

"Nak pergi mana? Saya baru nak masak." Langkah panjang Azriel menuruni anak tangga dikejar. Memastikan soalannya itu dibalas.

"Tak payah."

"Tapi masakan saya sedap tau! Tak apalah, saya tunggu awak balik. Lepas tu, kita makan sama-sama. Nak?"

Diiringi dengan senyuman manis, nada riangnya dilantun mesra.

Buatkan lagi dan lagi rengusan kasar Azriel terdengar jelas. Jejaka itu menghentikan langkahnya. Kemudian memandang dingin raut wajah Humaira yang tampak ceria. Seketika, jejaka itu bungkam.

"Kenapa?" Humaira membalas pandangan suaminya. Renungan Azriel ketika itu menerbitkan sekelumit rasa gerun dalam dirinya.

"Perempuan jenis apa kau ni?" Keras nada Azriel melibas telinga Humaira. Bahang suaranya memetir keras memasuki gegendang telinga. Buatkan gadis itu terkaku.

𝐌𝐚𝐰𝐚𝐫 𝐔𝐧𝐭𝐮𝐤 𝐇𝐮𝐦𝐚𝐢𝐫𝐚Kde žijí příběhy. Začni objevovat