Bonjour, Mon Amour - Bab 5

16 0 0
                                    

Beberapa bulan kemudian, KLIA...


"ALONG, Layla nak pergi ladies kejap. Along tolong pegangkan beg laptop ni, boleh?" pinta Layla sambil menghulurkan beg galas Tumi berwarna hitam kepada Nafis yang berdiri di sebelah.

"Yalah, tapi Layla jangan silap masuk tandas lelaki pula kejap lagi," pesan Nafis lalu menyandang beg milik Layla di bahu kanan.

"Along, Layla bukannya tak reti nak baca sign tandas sampai nak masuk tandas lelaki," balas Layla sambil tergelak-gelak.

"Along tak cakap yang Layla tu tak reti membaca, tapi awak tu suka sangat berjalan menonong sambil menaip kat skrin telefon."

"Kenapa ni, Layla?" tegur Puan Laili yang sedang mendukung Medina iaitu puteri sulung Nafis yang baru berusia setahun sambil berjalan merapati Layla dan Nafis.

"Layla nak pergi toilet kejap. Nanti dah masuk dalam tu, susah pula sebab kena bawa sekali beg laptop masuk toilet," jawab Layla.

"Kami tunggu Layla dekat kerusi sanalah ya," Puan Laili menghalakan pandangan mata ke barisan kerusi yang tidak jauh dari tempat mereka berdiri.

"Okey, mommy." Terus langkah kaki diatur menuju ke arah tandas sambil sebelah tangan menatal pada skrin iPhone di tangan kiri. Tersengih-sengih Layla membaca senarai pesanan makanan daripada Dhiya yang sedang menanti ketibaannya di bumi Perancis.

Sewaktu Layla membasuh tangan di singki, dia perasan hanya ada dia sahaja di dalam kawasan tandas yang sangat bersih itu. Sebaik sahaja dia mengangkat wajah yang sejak tadi ralit membilas tangan di singki, terus dia menjerit apabila tiba-tiba ada lelaki yang berdiri di singki bersebelahan dengannya!

"Pervert! Macam mana awak boleh masuk tandas perempuan?" soal Layla dengan nada suara yang separuh menjerit. Anak matanya sudah melingas ke kiri dan ke kanan, cuba mencari orang lain di dalam tandas itu tetapi hampa. Hanya ada dia dan lelaki berkemeja denim biru tua itu sahaja. Sekali pandang, lelaki ini nampak normal sahaja daripada raut wajah dan cara pemakaiannya yang kemas.

"Siapa yang pervert? Awak tu yang pervert, tahu tak?" balas lelaki itu dengan dahi yang berkerut lebat. Tajam pandangan matanya merenung Layla yang kelihatan pucat.

"Eh, eh... dia tiru ayat kita pulak!" Layla sudah mengundurkan langkah kaki ke belakang apabila lelaki itu semakin menghampirinya. Jantungnya sudah mula berdegup laju dan dia mencongak dalam kepala sendiri sama ada sempat atau tidak untuk dia berlari ke arah pintu keluar tandas tetapi lelaki itu sudah berdiri betul-betul di hadapannya menyebabkan nafas Layla terasa sesak.

"Jangan dekat. Kalau awak datang dekat, saya jerit kuat-kuat!" Layla menarik keluar beg tangan yang sejak tadi disilangkan di bahu kanan. Dia sudah bersedia untuk membaling beg tangan ke arah lelaki itu.

"Saya nak ambil tisu kat belakang awak tu," jawab lelaki itu tanpa nada dan dia terus menarik tisu yang sememangnya terletak di belakang Layla sebelum sepasang mata milik lelaki itu hinggap lama pada wajah Layla.

"Sayangnya, awak ni nampak macam perempuan normal tapi..." Lelaki itu berjeda sebelum dia menggelengkan kepala perlahan dan menyambung ayatnya sebentar tadi.

"Pervert rupa-rupanya. Baik awak keluar sebelum ada orang lain masuk."

"Hah? Ikut sedap mulut awak mengata saya ni pervert pulak! Awak tu yang..." Terus Layla terdiam apabila anak matanya singgah pada tempat membuang air kecil yang selalunya hanya ada di tandas lelaki sahaja. Mulut Nafis memang masin ke? Dia tersalah masuk tandas lelaki lagi?

Bonjour, Mon Amour - Yumi HyraWhere stories live. Discover now