Nafas Dyra semakin bercelaru. Dia terpaksa berbuat demikian untuk mempertahankan diri.

Ketika itu, Hydra menghentikan pergelutannya bersama orang-orang Qillerx dengan mencari peluang untuk menepis mereka sebelum memberikan tendangan kuat yang membuatkan mereka terjatuh dan Zorro tidak terlepas daripada melepaskan tembakan kepada mereka.

Kemudian, mata Hydra terus mencari Dyra.

Kini pandangan matanya melekat pada Dyra dan sempat memerhatikan tingkah laku Dyra yang semakin tidak terkawal seolah-olah menjadi semakin ganas demi mempertahankan dirinya.

"Berhenti Dyra! Ini kerja aku!" Hydra meninggikan suaranya supaya Dyra sedar akan tindakan itu dan berhenti serta-merta.

Dyra terus tersentak dan terkedu. Perbuatannya kini terhenti secara automatik setelah mendengar ayat Hydra yang jelas kedengaran di earbud.

"Berhenti Dyra! Ini kerja ayah!" suara ayahnya yang pernah dikatakan kepada Dyra tiba-tiba terngiang-ngiang kembali.

Hydra cepat-cepat berlari mendapatkan pistolnya semula.

Zorro turut sempat memandang Dyra dan perasan Dyra tiba-tiba diam dan terkaku tanpa bergerak manakala lelaki di hadapannya kini sudah mengangkat pisau untuk menikamnya.

Pisau itu hampir mengenai Dyra.

Pom!

Bunyi tembakan yang dilepaskan oleh Zorro mengejutkan Dyra dan menyedarkannya daripada imbasan semula.

Namun matanya yang kembali fokus di hadapan membulat apabila kedua-dua mata Dyra telah menyaksikan kesan tembakan yang mengenai bahagian tengah dahi lelaki itu. Dyra dapat melihat percikan darah keluar daripada kepala.

Dyra semakin terpaku. Langkahnya terbantut. Menggeletar seluruh badannya sehingga nafasnya hampir putus.

Kilas kembali gambaran ibunya dengan kesan tembakan di dahi terus muncul. Ibunya tidak menyedarkan diri di atas katil pengusung kecemasan ambulans. Darah pekat milik ibunya tidak berhenti mengalir.

Dyra tidak tahu kenapa kenangan ini tiba-tiba muncul semula.

Sudah 3 tahun dia cuba melupakan kepahitan yang tidak terhingga. Dia sepatutnya sudah menghilangkan trauma lamanya dan melupakan serta menerima takdir pemergian ibunya. Tetapi setelah dia menyaksikan tembakan di dahi di hadapan matanya sendiri, imbasan wajah ibunya terus kembali dan melihat kesan darah mula menggeletar tubuhnya.

Air mata Dyra mula bertakung.

"D̶y̶r̶a̶..."

"Dyra!"

Dyra tersedar kembali ke alam realiti setelah mendengar panggilan daripada Hydra. Dyra kemudian perasan seorang lelaki sedang berdiri di hadapan tidak jauh darinya. Sebelah tangan lelaki itu menahan darah dari lengan akibat terkena tembakan manakala sebelah tangan lagi sedang mengacukan pistol ke arah Dyra. Dyra tersentak dan terkaku kerana kakinya tidak sempat bertindak balas.

"Pusing belakang." Dyra kembali mendengar suara Hydra. Lalu, Dyra pantas memusingkan badannya ke belakang.

Mata Dyra kini memandang paras dada Hydra yang berdiri di hadapannya sambil tangan kiri Hydra pantas diluruskan di sebelah kepala kanan Dyra untuk mengacukan pistol sebelum dia melepaskan satu das tembakan ke arah lelaki itu.

HYDRA 187Hikayelerin yaşadığı yer. Şimdi keşfedin