"Rayna, saya tunggu dekat tepi tau. Saya nak angkat call. Guna duit ni untuk belanja diaorang." ujarnya sambil menghulurkan wang daripada dompetnya kepada Rayna.

Selepas Emir melangkah keluar daripada barisan itu, dia mengangkat telefonnya lalu menjawab panggilan.

Dyra hanya memerhatikan langkah Emir sebelum dia mengalihkan pandangannya semula ke hadapan. Kini, mereka sudah berada di hadapan kaunter untuk memesan dan membayar.

Tiba-tiba telefon Dyra mengeluarkan bunyi notifikasi. Dia membuka skrin telefonnya dan melihat terdapat mesej diterima daripada nombor yang tidak dikenali.

'Dια ʂƚιʅʅ ϝσʅʅσɯ ƙαυ.'

Dahinya berkerut selepas membaca mesej yang diterima dengan abjad yang kelihatan pelik.

'Qιʅʅҽɾx.'

Satu lagi mesej baru diterima membuatkan mata Dyra terbuka luas apabila melihat nama Qillerx disebut dalam mesej itu. Lantas, dia menolehkan kepalanya untuk mencari seseorang yang kelihatan mencurigakan.

Dyra menundukkan pandangannya semula, sebelum kedua ibu jarinya pantas menaip papan kekunci di skrin telefon dan membalas mesej, 'Siapa ni?'

"Dyra," Dyra tersentak, "nah." lalu kornea matanya memandang Ayuni yang memanggilnya sambil menghulurkan pencuci mulut yang sudah dibeli.

Dyra terus menutup skrin telefon. "Oh, terima kasih." tangan kanannya mencapai bekas yang dipegang Ayuni. Kemudian, mereka bertiga bergerak ke arah Emir yang sedang menunggu tidak jauh daripada mereka sambil menatap skrin telefonnya.

"Tekunnya tengok telefon. Siapa call tadi?" tanya Rayna yang berjalan menghampiri Emir yang sedang tekun meleretkan jarinya di skrin telefon sebelum Emir mencapai pencuci mulut daripada Rayna.

"Kawan saya yang call. Dia suruh saya tengok group whatsapp sebab lecturer baru bagitahu kelas esok cancel. Diaorang tengah bincang untuk buat group assignment dekat luar esok." terang Emir sambil menunjukkan skrin telefonnya kepada Rayna.

Sedang mereka berbual sambil menikmati hidangan pencuci mulut masing-masing, mata Dyra kembali tertumpu pada telefonnya namun tiada lagi sebarang mesej diterima daripada nombor telefon tadi.

Sepanjang perjalanan pulang ke rumah sewa ditemani Emir, Dyra tidak putus-putus memikirkan kerisauan terhadap keselamatan rakan-rakannya.

Jika perasaannya betul tentang ada seseorang yang mengikuti dan memerhatikannya sebentar tadi dan juga tentang mesej yang diterima, adakah rakan-rakannya juga akan menjadi sasaran pembunuhan jika Qillerx melihat dia sering keluar bersama mereka?

Adakah mereka...akan selamat?

KEESOKANNYA, semua pelajar kembali ke universiti untuk belajar mengikut jadual waktu masing-masing selepas empat hari cuti.

Jam sudah menunjukkan pukul 3:00 petang. Dyra dan Ayuni kini berada di kelas Information Technology yang terletak di bangunan sains di tingkat 9. Mata pelajaran ini memerlukan pembelajaran menggunakan komputer di mana mereka hanya boleh mendapatkan kemudahan tersebut di blok sains.

"Baiklah, itu sahaja untuk kelas hari ni. Siapa dah siap tugasan dalam excel, boleh terus email dekat saya." Madam Siti mematikan suis komputer sebelum mengemas barangnya di meja hadapan kelas. Pelajar di dalam kelas juga mematikan komputer di meja masing-masing dan mengucapkan terima kasih kepada pensyarah sebelum seorang demi seorang bergegas keluar dari kelas.

"Alaa..saya ada kelas lain pulak lepas ni. Malasnya nak pergi." Ayuni mengeluh panjang apabila teringat yang dia masih perlu menghadiri kelas terakhir yang dijadualkan pada hari ini. Subjek ulangan yang Auni kena ambil.

HYDRA 187Where stories live. Discover now