Aku menangkup mukaku dengan kedua tapak tanganku. Nafasku berasa berat. Aku menarik nafas panjang cuba memenuhkan paru-paruku dengan oksigen.

Aku bangun masuk ke bilik air untuk mandi. Lama aku duduk di bawah pancuran air hangat sambil merenung pantulan diriku di dalam cermin. Air mengalir dari rambutku menuruni tubuhku.

Apa yang aku harapkan dalam hidup aku selama ini? 

Kekayaan?

Cinta?

Keluarga?

Aku sudah punya segala-galanya. Tapi kenapa hati aku masih tidak tenang? Adakah kesemua yang aku kecapi selama ini palsu?

Aku keliru!

Aku meletakkan kedua tapak tanganku di dinding. Aku biarkan air mengalir dari atas rambutku. Mungkin dengan cara ini dapat meredakan sedikit ribut di dalam jiwaku.

Setelah siap mandi aku mencapai baju dari begku. Aku berjalan ke arah meja dan mengambil telefon pintar yang ditinggalkan oleh Afham untukku berhubung.

Aku menelefon isteriku. Walau berjauhan seketika sudah berbunga rinduku padanya.

*Click*

Hello? Siapa ni?”

Hello sayang, abang ni. Sayang buat apa tu?”

“Sayang baru nak tidur. Abang dah sampai ke?” soalnya. Disini baru pukul 3 petang. Bermakna di Malaysia sudah pukul 10 malam. Mujur Piqa belum tidur lagi.

“Ye… abang dah sampai ni. Abang kat bilik hotel. Tunggu Afham. Dia keluar kejap ada hal.” Aku menghempaskan badanku di atas katil. Bajuku masih tersangkut di bahuku.

“Abang… sayang risaukan abang,” ujarnya dengan suara terketar-ketar.

“Tak ada apa lah sayang…” aku cuba memujuknya.

“Kalau jadi apa-apa dekat abang nanti, macam mana dengan sayang?” ujarnya tersedu-sedan. “Sayang tak boleh hidup tanpa abang.”

Aku buntu. Kalau dekat boleh aku peluk tubuhnya. Bila berjauhan begini, hanya suara sahaja yang aku mampu sampaikan sebagai pengganti diriku.

Aku memujuknya hingga dia terlena.

*Creakkk*

“Kau kenapa?” soal Afham yang baru balik dari bertemu rakan-rakannya.

Aku menyeka air mataku. “Tak ada apa. Macam mana? Kau dah kumpul ke orang-orang kau?”

Afham menapak perlahan kemudian duduk menyandar di kerusi. “Dah settle dah. Esok pagi kita gerak.”

“Gerak ke mana?” soalku.

“Rumah Mommy kau lah!”

****

Afham meletakkan kereta di hadapan rumah ibuku. Anak buahnya hanya memantau dari jauh.

Aku menghampiri pintu rumah dan mengetuknya perlahan. Aku melihat kiri kanan. Tidak ramai orang yang lalu-lalang.

*Tok Tok*

Mommy?”

Aku memanggil ibuku namun tiada sahutan dari siapa-siapa. Aku mengambil kunci di dalam poket seluarku dan membuka pintu rumahnya. Aku tolak daun pintu perlahan-lahan.

Sunyi.

Seperti tiada langsung sebarang tanda manusia di dalamnya. Afham mengangguk kepalanya mengisyaratkan aku supaya masuk mendahuluinya.

DIA MILIKKU (C)Donde viven las historias. Descúbrelo ahora