Dia tekun mencuci luka yang agak dalam di siku dan lenganku. Setelah selesai membalutnya dengan kain kasa, Piqa mengambil putik kapas dan dilapnya darah kering yang mengalir di dahiku dengan cermat.

Aku tak henti menatap wajahnya. Wajah yang sudah lama aku biarkan. Dan sudah lama aku tidak renung. Tiba-tiba mata Piqa bertentang dengan mataku. Nafasku terhenti seketika.

Aku mencengkam pergelangan tangannya yang terhenti dari menekap-nekap luka di dahiku.

“Piqa…”

“D-Dah siap,” Piqa menolak tanganku dan bangun berdiri membelakangi aku. “Saya ikut Tuan ke sini sebab saya nak kata putus dari Tuan. Kalau Tuan dah tak suka saya cakap je. Saya terima. Saya sedar siapa saya.”

Aku bangun berdiri di belakangnya. Aku mengangkat tanganku untuk mencapainya.

“Saya anggap Tuan diam ni tanda Tuan dah betul-betul tak perlukan saya lagi. Terima kasih untuk segala yang Tuan dah buat untuk saya. Terima kasih sebab pernah mengajar saya erti bahagia.”

Aku lihat Piqa seperti menyeka air matanya.

“Saya balik dulu.”

“Piqa…”

Piqa melangkah perlahan menuju ke pintu rumahku. Hati aku meronta-ronta. Kalau Piqa melangkah keluar dari pintuku bermakna aku akan kehilangan Piqa buat selama-lamanya.

Aku tak mahu! Aku lebih rela mati digilis lori dari hidup tanpa Piqa disisiku.

“Sayang!”

Aku berlari dan memeluk Piqa dari belakang. Piqa terdiam.

“Sayang. Jangan tinggalkan abang,” aku mengeratkan pelukanku.

Piqa menarik nafas panjang.

“Tapi Tuan yang tinggalkan saya!” suaranya sedikit bergetar.

“Tuan tinggalkan saya tanpa sebarang penjelasan. Tuan biarkan saya terkontang-kanting sorang-sorang,” Piqa menampar-nampar lenganku di dadanya.

Aku tidak melepaskan pelukanku. Dia nak tikam aku ke, dia nak bunuh aku ke, buatlah apa pun aku tak kisah.

“Kenapa diam?” soalnya.

“Abang nak dengarkan sayang. Sayang berhak marah, bingung, sedih, kecewa atau apa pun yang sayang rasa terhadap abang sekarang,” aku masih takut untuk melihat muka Piqa jadi aku biarkan sahaja dia membelakangi aku.

“Abang tahu abang salah sebab tak terangkan segalanya kepada sayang, dan abang minta maaf untuk itu. Abang salah,” tambahku.

Bahunya sudah mula terangkat-angkat menangis. Aku perlu buat sesuatu untuk buktikan cintaku padanya. Aku memalingkan badan Piqa menghadapku. Teriakan Piqa merobek hatiku. Dia menangis seperti seorang kanak-kanak yang tidak dapat gula-gula.

“Sayang. Abang mintak maaf. Tolong jangan pergi. Jangan tinggalkan abang, sayang,” aku mencium dahinya lembut.

Piqa perlahan-lahan mengangkat kedua belah tangannya. Aku berdebar-debar adakah dia akan menolakku lagi. Dan kalau ia pun aku pasrah. Aku menahan gelora sedih pilu sukmaku.

Dengan perlahan dia menarik bahuku  dan mencium bibirku. Satu ciuman yang mengejutkan aku, tapi cukup untuk serentak menceritakan betapa aku merindui kamu, betapa aku rasa bersalah, dan cintailah aku semula, tanpa perlu berbicara.

Semata-mata air mata kami sahaja yang menjadi saksi cinta kasih kami berdua.


****

Aku membawa segelas air koko suam untuk Piqa dari dapur.

“Minumlah sayang sementara panas lagi.”

DIA MILIKKU (C)Where stories live. Discover now