Kanvas & Manuskrip [ Full ]

80 12 26
                                    

First draft: 2017
Ps. Abaikan sebarang ketidakmatangan anakanda yang seorang ini. Bondanya masih hanyut mencari identiti sendiri di kala ini.

DEDAUN kuning dan jingga berguguran di luar jendela bertirai hijau, membuatkan detik waktu yang berlalu sepertinya berhenti dikira. Angin yang membawa helaian demi helaian daun kering tentunya sepoi-sepoi bahasa, lembut untuk dirasai namun halimunan untuk dilihat mata kasar. Si pembawa berita gembira kepada hidupan, sama ada panasnya berpanjangan atau wujud sang selingan hujan.

Bibir yang pecah itu tersenyum kecil. Tidak dibilang ikhlas pada hati, tidak juga diundang benci pada kalbu yang paling tinggi.

Sebakul buah berada di tepi meja.

Sejambak mawar di dalam pasu bunga.

Sebiji epal yang belum selesai kupasannya.

Nisrina kembali menolehkan kepala dari posisi kiri, kembali kepada tegak memandang siling putih kosong yang terjamah dek mata. Berputus asa dalam menghitung hari demi hari yang sudah pun berlalu. Tidak ingin dipandang setiap saat yang meminta diri untuk pergi memandangkan dia juga tidak menunjukkan sebarang komitmen untuk lari.

Terasa penat menghayun kaki.

Bening matanya basah.

Penat rasanya begini.

Jemarinya dibawa ke hujung mata untuk mengesat permata jernih yang bakal mencari kesucian lekuk pada pipi. Sebelah tangan lagi erat menggenggam selimut putih yang membaluti tubuh dari kesejukan pendingin hawa. Wad yang hanya menempatkannya seorang. Bagus juga dia tidak berkongsi bilik dengan orang lain. Setidak-tidaknya pesakit lain tidaklah akan mendengar raungannya jika dia tidak semena-mena bertindak bagai orang yang tidak siuman.

Doktor kata dia hampir mati andai sahaja tidak ada yang menyelamatkannya dan segera membawanya ke hospital.

Heh.

Lebih baik mati kalau beginilah yang perlu dihadapinya sampai bila-bila. Hidup dengan nafas baharu yang menyesakkan ini bukannya dapat mengubah apa-apa.

Dia tidak ingat apa-apa sebelum 'kemalangan' yang doktor itu maksudkan berlaku namun perasaan benci dan sakit hati yang masih bersisa ini, mengapakah tidak direntapnya bersama-sama percaya yang sudah terbang tinggi itu? Mengapa?!

Nisrina menahan bahu dari berhinjutan menahan esakan halus yang muncul. Sekali lagi tangannya yang terasa cukup berat diangkat ke wajah untuk menyeka setitis air mata yang tumpah.

Baru sahaja ibu jari hendak menyeka pipi, hujung lengan pajama hospitalnya dipegang seseorang. Kelopak mata yang terpejam dalam sekelip mata dibuka dan perkara pertama yang menjadi tatapan anak mata tanpa perasaannya ialah wajah seorang lelaki yang berada betul-betul di sisinya. Berbaju sejuk maroon dan melilitkan selendang biru gelap pada leher tanda sejuk, rambutnya tersikat rapi dengan misai yang terurus tidak bercukur.

"Qui..."

Bibirnya bergetar. Hebat.

"Qui es-tu?" tanya Nisrina dengan suara yang tertahan-tahan. Tidak langsung mengenali orang asing yang masuk ke dalam biliknya, duduk di sisi katilnya, memegang lengan bajunya, dan sedang memandang tepat ke arahnya.

Lelaki itu perlahan-lahan melepaskan pegangan, membuatkan Nisrina mengambil keputusan untuk menarik kembali lengannya dan menyorokkannya ke dalam selimut. Dari raut wajahnya begitu sukar untuk ditebak diri yang tersembunyi di sebalik riak tenang sebegitu rupa.

Ingin ditekan butang pada tepi katil untuk memanggil jururawat yang akan dapat menghalau lelaki ini pergi dari sini. Akan tetapi, boleh jadi lelaki pelik ini akan mengambil kesempatan untuk bertindak seperti tadi. Takut dia mahu mengambil sebarang langkah.

Hikayat HayyatWhere stories live. Discover now