Untuk Tidak Lupa: Unwritten [ Full ]

105 21 63
                                    

"You made me live." - Zanjabil


ANGIN malam menampar wajah. Dagu ditopang tangan kanan manakala tangan kirinya masih menekapkan skrin telefon pintar ke telinga. Leka memandang halaman rumah dua tingkat – bunga kertas dan anggerik ungu yang ditanam ibu masih belum mekar kuntumnya. Sudah disiram berhari-hari pun hanya sesekali terlihat tanda-tanda itu namun bukan perkara sebenar tiba.

"Betul ni?"

Bibir itu senyum.

Masuk kali ini sudah entah ke berapa kali. Diasak soalan begitu pada mulanya memang menghenyak dada namun kini dia sudah boleh stabil berdiri. Sekurang-kurangnya belajar untuk menggunakan kaki sendiri.

Bumi ini luas.

Padanya, pada semua orang.

Mana mungkin habis sumber rezeki.

"Hmm." Lelaki yang sudah tidak lagi menongkat dagu di tepi jendela berbingkai putih itu melarikan jemari kanan ke bunga segar di sisi. Diletakkan ibu biarpun sudah ditegah dan ditolak berkali-kali. Katanya, biar kena mentari.

Atau kerana ibu mahu memaksudkan...

Jendela ini, usah mahu dilihat ditutup sekali lagi.

"Kau ada hantar resume dekat tempat kerja lain?"

Dia mengangguk kecil walau tidak terlihat. "Ada."

"Kiranya nak tukar anginlah ni, kan?" Suara di corong telefon mengajukan soalan. Sejak beberapa minit yang lalu memang itu sahajalah kerja yang sedia ada. Tanpa gaji.

"Hmm."

"Angin dekat bangunan tinggi tempat kau kerja tu pun tak cukup segar lagi ke?"

Zanjabil senyum tawar, sekadar memaknakan definisi terangkat hujung bibir. Duduk pada kerusi di tepi jendela itu tidak merimaskan namun tidak juga menenangkan. Lebih elok daripada berbaring di atas katil yang bertimbun dengan kerja tidak bersentuh.

Emel bertalu-talu menerpa masuk notifikasi komputer riba tetapi satu pun tidak dibuka. Gulungan kertas yang penuh dengan nota lekat kuning sebagai peringatan sudah tidak memberikan makna ke dalam jiwa. Mata pena yang selama ini lincah dan tangkas menari di atas setiap helaian kertas dan dokumen tiada lagi melaksanakan persembahan percuma.

Hanya diam.

Sunyi.

Bagaikan tidak lagi bernyawa.

"Jab?"

Tersentak. "Ada ni."

"Kau okey?"

"Okey." Jawab tanpa fikir. "Okey aje ni."

Diam sejenak.

"Menungkan apa?"

Zanjabil ketawa halus. Sekali lagi – hanya mengisi kekosongan erti ketawa tanpa sebab di setiap tingkahnya. "Tak adalah. Tengah tengok pokok bunga yang mak aku tanam dekat halaman."

"Dalam hati ada taman," sakat lelaki di hujung talian.

"Kau tak nak tidur?"

"Bukan tak nak, tapi tak boleh. Kerja tak habis."

"Rajin," komen Zanjabil naif.

Pecah tawa. "Nak tak nak kenalah rajin. Malas sekalipun, kena jadi rajin jugak. Nak bagi makan keluarga dan perut sendiri kena guna cara halal, Jab."

Dia senyum nipis, merenung kosong ke arah kerja-kerja yang berlambak memenuhi sebahagian besar ruangan katil.

Cara halal... eh?

Hikayat HayyatWhere stories live. Discover now