K2MA I - Perantauan [ Full ]

83 15 15
                                    


BAHAGIAN I – Perantauan

SUNYI.

Sepi.

Mengapa ya?

Pertanyaan itu sudahnya dibalas dengan satu ketukan pada kepala sendiri.

Pukul tiga pagi apanya nak bunyi bising macam orang tengah cucuk langit?

Ann sempat mengerling sekilas ke arah meja sebelah. Sudah syahid nampaknya teman serumah yang sudah pun meletakkan kepala ke atas buku setebal seribu muka surat lebih itu. Masing-masing belajar macam tak ingat dunia memandangkan lagi beberapa hari lagi ada ujian yang perlu diduduki. Istilah tulang pun belum sempat khatam, nama-nama otot apatah lagi.

Bangkit dari duduk, Ann mengambil selimut dari katil sebelum diletakkan elok ke atas susuk tubuh si gadis. Tidak pula mengejutkan kerana awal-awal sudah diberi pesan jangan dekatkan dia dengan katil. Takut tak terlawan tarikan graviti persis lohong hitam petala ketujuh.

Gajet kecil di dalam kocek bergetar.

Dikeluarkan telefon bimbit dalam mod senyap itu, menatap skrin yang menyala.

'Still awake?' – Im

Telefon dicampakkan ke atas katil.

Capai bantal.

Capai baju sejuk.

Ann tidak ada hati mahu menjawab. Bersandar kepada kepala katil yang diperbuat daripada kayu, tangan juga tidak mencapai sebarang buku untuk meringankan beban otak. Kes hampir sehari tidak dapat lelap sebab menguruskan wad, oncall sentiasa – badan dia sudah biasa, cuma penat pastinya.

Secondhand Serenade – Fall For You menjadi peneman ketika pintu gelangsar ditolak. Dingin malam menyapa tanda Subuh itu dekat, bukan lagi jauh berdepa.

Kedua-dua kocek menjadi tempat tangannya yang sejuk dimasukkan. Sarung tangan yang dibelikan mak sebelum bertolak ke United Kingdom hampir setahun lalu benar-benar menghangatkan. Hanya mengingatkan dia lebih kepada mak yang curi-curi masuk ke dalam bilik, menyelimutkan tubuhnya ketika tidur. Mengimbas air kopi yang dibancuh mak semasa duduk di pangkin rumah, dihidangkan bersama ubi rebus, sambal belacan, sedikit kelapa parut dan juga ikan masin yang masih panas, baru digoreng.

Sebelah earphone ditanggalkan.

Dengan harapan, bisik merdu mak dapat didengari.

Ann membelek kalendar pada ikon di sebelah butang kamera. Menghisab baki-baki hari sebelum Aidil Adha menjelang.

Teringat suasana kampung. Abah sibuk lapah lembu. Malam-malam sudah mengasah parang di dapur selepas makan malam. Along pula sibuk tolong agihkan daging korban dekat orang kampung. Mak akan libatkan diri untuk tolong masakkan daging – hidangkan pada orang.

Selalu orang puji cara mak masak daging lain maciyamm. Sedap mengancam.

Pipi basah.

Permata jernihnya tumpah.

Cepat-cepat Ann menyeka air mata yang entah bila gugur. Dia pujuk hati sendiri – nanti embassy akan anjurkan jamuan raya pada hari itu juga. Cuma perlulah datang dan tolong apa-apa yang patut sebelumnya. Kemudian, dapatlah bersantap hidangan yang pelbagai.

"Ann..."

Toleh.

Oyin betulkan letak duduk selimut pada bahu. Kesat bawah hidung yang berair. Masih separa mamai, tangan membelek-belek kembali buku nota yang ada di atas meja studi sendiri. "Telefon bunyi."

Hikayat HayyatTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang