Perjanjian

4.7K 37 2
                                    

Tun Sura hanya mendengar sahaja perbincangan yang dilakukan para pembesar yang lebih tua dengan wakil bangsa asing itu. Pedagang-pedagang yang lengkap bersenjata ini baginya tidak jauh beza dengan orang-orang Portugis yang dibencinya. Namun dia hanyalah pengawal peribadi kepada bapanya Tun Bija yang datang ke kapal besar bersama-sama Raja Bongsu mewakili sultan untuk mengadakan pertemuan dan seterusnya mengadakan perjanjian bersama untuk menyerang Melaka dan mengambil alih tanahnya dari tangan Portugis.

Syarat-syarat yang diberikan amat berat. Walaupun wakil Belanda yang dikenalinya sebagai Cornelis itu menjanjikan kapal-kapal besar lengkap bersenjata seperti kapal di mana pertemuan diadakan namun Sultan harus menyediakan askar-askar yang lebih ramai. Tapi syarat yang lebih berat ialah Belanda meminta untuk mengambil alih Kota Melaka kerana mereka belum mempunyai tapak untuk berdagang di Nusantara. Lain-lain wilayah yang sebelum ini di bawah kuasa Portugis akan diserahkan kembali kepada Kerajaan Johor. Sultan sebelum ini hanya bercadang mengurniakan sebuah tempat baru untuk Belanda berdagang kerana Kota Melaka adalah tapak di mana Kesultanan Melaka mula berkuasa beratus tahun dahulu dan setiap sultan berazam untuk kembali bertakhta di bumi Melaka. Kota Batu Sawar, seperti kota-kota lain hanyalah penempatan sementara.

Namun begitu apakan daya kerana akhirnya perjanjian telah dipersetujui. Bermula dengan serangan-serangan kecil yang dilakukan bersama sehinggalah kepada serangan besar semuanya telah dirancang. Sebenarnya sebelum mengadakan perjanjian orang-orang Belanda telah menyerang Portugis bersendirian dan serangan terakhir secara besar-besaran adalah dilakukan awal tahun itu dengan Belanda menghantar 11 kapal-kapal besar menyerang Melaka. Namun armada mereka telah ditewaskan Portugis di perairan Melaka sekitar Tanjung Tuan menyebabkan banyak kapal-kapal mereka terpaksa berundur.

Walaupun menang, Portugis juga kehilangan banyak kapal-kapal perangnya dan ramai tentera yang terkorban menyebabkan pertahanan mereka menjadi lemah. Belanda memikirkan bahawa serangan dari satu arah sahaja iaitu melalui laut tidak akan berjaya dan sebab itulah mereka bersetuju untuk bekerjasama dengan Kerajaan Melayu untuk sama-sama menyerang Melaka nanti dari jalan darat. Namun begitu, serangan secara besar-besaran mungkin hanya dapat dilakukan beberapa tahun lagi untuk menunggu ketibaan kapal-kapal baru. Walaupun Sultan di Johor turut memiliki beberapa kapal-kapal besar namun struktur binaannya tidak bersesuaian untuk membawa meriam yang banyak. Tembok kukuh mengelilingi Kota Melaka memerlukan meriam besar untuk menghancurkannya. Tentera-tentera sultan juga memiliki banyak meriam-meriam mudah alih yang lebih sesuai untuk dijadikan senjata medan pertempuran dari darat.

Sementara menantikan ketibaan kapal-kapal baru yang lebih besar, tentera-tentera Johor menyerang kapal-kapal peronda kecil dan juga menangkis serangan-serangan balas Portugis dari darat. Tun Sura turut menyertai tentera yang menyerang askar-askar Portugis yang meronda sekitar kawasan takluknya selama beberapa tahun sehinggalah akhirnya dia kini menjadi seorang hulubalang penting di bawah pimpinan Laksamana Tun Jamil. Dia juga berhasil untuk bekerjama dengan beberapa pembesar Melayu yang masih berada di Melaka untuk membantu dengan menyalurkan rahsia-rahsia pergerakan Portugis kepadanya melalui orang kepercayaannya Tun Khoja. Berita terakhir yang diterima adalah kapal-kapal baru dari Belanda akan tiba kira-kira setahun lagi. Persediaan haruslah bermula dari awal supaya serangan kali ini akan akhirnya dapat mengalahkan Portugis dan mengusir mereka dari bumi Melaka.

Tun Sura kini merasakan peluang mereka untuk mencuri rahsia dari Portugis semakin akan membuahkan hasil apabila mendengar berita bahawa anak pembesar Melaka bernama Megat Alam kini telah di ambil untuk bekerja di rumah Penolong Gabernor Melaka. Tentu banyak rahsia Portugis dapat dicungkil olehnya. Sekiranya gadis itu berjaya mencuri dan menyampaikan rahsia-rahsia Portugis itu nanti Tun Sura akan amat berterima kasih. Dia berazam untuk bertemu gadis itu suatu hari nanti untuk menyatakan terima kasihnya atas pengorbanan yang dilakukan oleh gadis itu.

EmbunDonde viven las historias. Descúbrelo ahora