Bukit Cina

5.1K 38 1
                                    

Kapitan Yui mundar-mandir sambil mengurut-urut janggutnya yang panjang. Sesekali dia melibas-libaskan tocang rambutnya yang berdandan kemas. Dia mengeluh keras sambil menghembuskan asap rokok nipah yang dihisapnya. Isteri dan anaknya hanya duduk bersimpuh di depannya sambil tunduk. Tak ada sesiapa tahu untuk berkata apa-apa. Dari Campon yang terletak dalam daerah yang dipanggil oleh Portugis sebagai Tranqueira, Kapitan Yui memandang ke arah bukit yang menjadi tempat tinggalnya turun temurun, semenjak Melaka diperintah oleh kerajaan Melayu lagi. Walaupun Maharajanya sebelum ini turut berperang dengan Portugis setelah Melaka mula jatuh dulu, namun kini perdamaian telah ditandatangani dan Portugis juga telak bertapak dan memiliki tanah di tempat asal nenek moyangnya. Dinasti yang sedang memerintah tanah asal nenek moyangnya juga kini sedang mengalami kejatuhan dan tidak mustahil ianya akan diambil alih oleh dinasti yang lebih kuat tidak lama lagi. Dinasti yang telah bertakhta lebih 300 tahun mula diancam pemberontakan dari dalam dan juga bencana alam seperti gempa bumi dan banjir besar yang menyebabkan kebuluran akibat kekurangan makanan mungkin akan berkubur tidak berapa lama lagi. Memang telah menjadi sejarah tanah nenek moyangnya setiap dinasti akan diganti dinasti yang baru apabila mereka menjadi lemah.

Tapi arahan baru pemerintah Portugis kali ini memang merunsingkannya. Sebelum ini Portugis tidak mengganggu orang-orangnya kerana memerlukan mereka untuk memperolehi barang-barang dagangan dari negeri-negeri Melayu yang lain. Pedagang-pedagang bangsanya, seperti juga pedagang-pedagang dari Bharat masih boleh menetap di Melaka walaupun telah diambil alih oleh Portugis. Mereka telah lama tinggal di Campon-Campon yang terpisah mengikut kaum masing-masing. Walaupun pada awal dulu mereka turut menentang Portugis bersama dengan orang Melayu, namun kini tentangan sudah berkurangan setelah Maharajanya sendiri berdamai dengan pihak Portugis.

"Kita cuma ada tak sampai 2 tahun lagi sebelum Yui Lan perlu diserahkan kepada mereka..." keluh Kapitan Yui sekali lagi sambil memandang isterinya.

"Tapi dalam masa 2 tahun mungkin semuanya boleh berubah..." balas isterinya yang juga bimbang akan nasib anak perempuan tunggal mereka.

Perintah terbaru Portugis adalah setiap pedagang yang mempunyai anak perempuan berusia 16 tahun hendaklah di hantar tinggal dan bekerja di rumah-rumah pegawai-pegawai Portugis selama sekurang-kurangnya 2 tahun sebelum dibenarkan pulang. Anaknya Yui Lan sudah berusia lebih 14 tahun, dan dalam masa 2 tahun lagi perlu diserahkan kepada Portugis. Kapitan Yui tahu bahawa arahan ini adalah juga dikeluarkan kepada pedagang-pedagang bangsa lain yang menetap di Melaka dan juga kepada pembesar-pembesar Melayu.

"Kita mesti bergabung kembali dengan orang Melayu untuk memastikan Portugis kalah... Kedudukan mereka sudah lemah sekarang..."

"Tidak bahayakah? Sekiranya diketahui mungkin seluruh keluarga kita dan orang-orang kita akan dibunuh?

"Itu sesuatu yang kita harus tanggung... Bagaimana jika nanti Portugis tewas dan orang Melayu membalas dendam dan menuduh kita menjadi tali barut Portugis?"

Isterinya terdiam mendengar akan jawappan Kapten Yui. Memang berat pilihan yang ada ditangan mereka. Mereka memang boleh belayar dan kemabli ke tempat asal mereka, namun sebagai ketua Kapitan Yui tak sanggup untuk meninggalkan anak-anak buahnya. Sebagai ketua yang menjadi tanggung-jawab turun temurun keluarganya, dia tidak sanggup meninggalkan mereka begitu sahaja. Lagipun menurut berita yang terkini diterimanya, keadaan di tanah tumpah darahnya juga tidak begitu aman. Pemberontakan dari timur utara telah berjaya menawan beberapa kota-kota besar dan tentera-tentera Maharaja tidak lagi mampu mengawal seluruh negara yang begitu luas. Istana juga dikuasai oleh golongan sida-sida dan Maharaja cuma menjadi boneka dalam pemerintahan sahaja. Rakyatnya memang tak pernah belajar dari sejarah yang mana antara petunjuk bahawa sesuatu dinasti itu mula menjadi lemah ialah apabila para sida-sida mula memegang kuasa lebih daripada kaum bangsawan dan tujuan utama mereka ialah untuk mengkayakan diri dan keluarga mereka dari memberikan perkhidmatan yang baik kepada Maharaja dan negara.

EmbunWhere stories live. Discover now