Bab 10

163 8 0
                                    

FIRRAZ senyum melihat Cempaka yang sedang menghampirinya. Tak sangka pertemuan tak sengaja di sebuah restoran, membuatkan dia dan Cempaka kembali berjumpa.Meskipun antara mereka tidak lagi membincangkan soal hati. Hanya bertemu seperti dulu.

"Dah lama tunggu?" tanya Cempaka lalu melabuhkan duduknya di depan Firraz.

"Baru aje." Firraz senyum.

"Macamlah Cempaka tak kenal Fir. Semuanya dalam poket Cempaka." Cempaka gelak.

Firraz memang suka datang lebih awal.

"Hmm, tak boleh nak tipu youlahbila ada yang kenal diri I lebih daripada I sendiri." Firraz ketawa.

Cempaka sengih dan terus membelek menu. Dia kerling Firraz yang turut berbuat demikian. Cempaka akan teruskan hubungan mereka yang terputus dulu. Tak kira apa yang bakal terjadi selepas ini. Dia mahu juga memiliki Firraz.

Dia perlukan Firraz untuk meneruskan kehidupannya. Jika tidak, dia tak tahu apa yang akan jadi kepadanya. Dia sudah tak dapat fikir perkara lain selain daripada Firraz.

"Fir, seronok ke mengajar?" tanya Cempaka.

"Mestilah. Nak didik anak-anak bangsa," jawab Firraz. Walaupun hanya sebagai guru ganti, dia tetap bersungguh-sungguh.

"Mesti seronok sebab mengajar anak-anak dara kan. Anak dara bawah umur sekarang dah matang."

Ada nada cemburu dalam percakapan Cempaka. Firraz senyum.

"Ada juga tak matang. Suka lawan cakap guru pun ada." Firraz sengih.

Terbayang wajah Nadra yang suka melawannya. Walaupun sebelum tahu dia adalah tunangannya, layanan Nadra tak pernah elok. Sentiasa marah-marah. Nadra bukan hanya sekadar tak sukakan pertunangan mereka, tapi itu perangai Nadra sejak azali.

Kalau lihat daripada gayanya itu, Nadra seorang yang antilelaki.

"Tak matang pun, tetap dah boleh jadi isteri seseorang dan ibu seseorang, kan?" bidas Cempaka. Mukanya cemberut.

"You ni kenapanak marah pasal I mengajar?" tanya Firraz.

"Cemburu eh?" sambung Firraz.

Cempaka diam.

"I nak makan. Makanan dah sampai." Cempaka nampak merajuk.

Tapi, cepat pula mukanya berubah selepasmelihat makanan di depan matanya. Perutnya meminta-minta diisi sejak tadi.

"I minta maaf sebab perangai I pelik betul."

Cempaka ketawa. Rasanya dia pula yang berfikiran tidak matang. Dia dan Firraz dah putus. Mereka bertemu sekarang atas dasar persahabatan saja. Itu kata Firraz, tapi lain pada pihaknya.

"Sayang... cikgu sayang ni!" Tiba-tiba ada suara yang menyapa telinga Firraz.

Firraz mendongak. Matanya bertembung dengan mata sepet Darwin Lee. Berjodoh sungguh dengan si mata sepet ini. Firraz pandang tangan Darwin yang sedang memegang pergelangan tangan seseorang. Dia sudah tahu gerangannya.

Siapa lagi kalau bukan Nadra.

Nadra mencuka saja ketika itu.

"Hai, cikgu. Selalu juga kita bertembung ya. Cikgu suka makan kat sini ke?" tanya Darwin.

Dia memang terlalu peramah.

"Ya, awak pun sama." Firraz membalas.

"Hmm, dari dulu lagi kami suka makan kat sini. Sayang nilah, suka sangat stik kat sini. Pergi tempat lain, sini juga yang dia cakap sedap," beritahu Darwin.

Firraz anggukkan kepalanya. Matanya memandang Nadra yang tidak bersuara sejak tadi. Cuma berdiri kaku.

"Cikgu, boleh kami join cikgu makan kat sini?" tanya Darwin.

Cempaka menoleh ke arah lelaki tinggi lampai ini. Ada hati nak ganggu mereka pula. Cempaka pandang Firraz dengan pandangan menyuruh Firraz menolak.

"Duduklah." Firraz sengih.

Lebih ramai lebih meriah.

"Kau nak duduk sini? Banyak tempat lain lagilah." Nadra bersuara.

Dia rasa nak cubit Darwin sekarang juga.

"Apa salahnya kita makan dengan cikgu kau dan kekasih dia?" Darwin pandai buat spekulasi.

"Duduklah." Darwin tarik kerusi di tepi Cempaka. Menolak sedikit tubuh Nadra ke kerusi.

Nadra hempaskan punggungnya dengan muka mencuka. Dia kerling sekilas Cempaka di sisinya. Muka Cempaka juga tak manis melihat mereka.

"Payah jadi perempuan kan, cikgu, semua nak emo." Darwin merungut.

Perangai Nadra memang dalam koceknya. Tapi, Nadra satu-satunya perempuan yang boleh masuk air dengannya.

"Kau cakap baik-baik sikit." Nadra menjegil kepada Darwin.

"Kau ni, sayang. Emo tu tak sesuai dengan kau." Darwin tergelak-gelak.

Nadra gigit bibir. Benci mendengar Darwin kenakan dia.

Stik yang sudah dipotong diletakkan di depan Nadra. Darwin sudah terbiasa begitu.

"Kan I dah cakap budak-budak bawah umur sekarang terlalu ekstrem. Matang pun ekstrem." Cempaka bersuara.

Nadra yang sedang mengunyah daging stik berhenti mengunyah. Dia pandang Cempaka.

"Maksud Cik Cempaka?" tanya Nadra kerana dia merasakan kata-kata itu ditujukan kepadanya.

Cempaka kerutkan keningnya. Dari mana pula perempuan ni tahu namanya? Rasanya mereka belum lagi diperkenalkan.

"Awak tahu..."

"Normallah kalau matang tu," sampuk Firraz apabila Cempaka mahu bertanya kepada Nadra.

"Tak normallah. Cuba you tengok. Makan stik pun pakwe dia layan macam tu. You tak pernah pun layan I macam tu," kata Cempaka.

Ah, itu rupanya. Cempaka terasa dengan layanan Darwin kepada Nadra.

Nadra tahan senyuman. Itu rupanya maksud Cempaka ini. Dia sudah sedia untuk membahas.

"Sorry, akak cantik. Saya dengan Nadra sejak dulu memang macam ni. Nadra tak tahu nak potong stik. Sebab Nadra tak tahu masak dan pegang pisau." Darwin ketawa.

Amboi, sakan kenakan aku.

"Betul ke, Darwin?" tanya Firraz yang diam sejak tadi.

Terkejut sebenarnya apabila Darwin mahu duduk bersama mereka. Paling mengejutkan layanan Darwin kepada Nadra. Layanan itu menggambarkan mereka berdua masih lagi bersama.

"Betullah." Darwin angguk dua kali.

"You kena ajar anak murid you ni cara pegang pisaulah," ejek Cempaka, sengih.

"I bukan cikgu ekonomi rumah tangga." Firraz membalas.

"Jangan berdebat tentang saya ya. Saya tahulah masa bila saya akan pegang pisau."

Nadra tak senang apabila topik mereka sekarang berkisarkan dirinya.

"Lepas kahwin?" Firraz kerling sekilas kepada Nadra.

"Nadra nak kahwin lambat lagi, cikgu. Dia dah janji dengan saya habis belajar kat universiti baru nak kahwin. Masa tu saya dah boleh penuhi segala permintaan dia. Saya pun dah sedia jadi suami." Darwin ketawa galak.

"Kau ni gila ke apa?" jerkah Nadra.

"Betullah budak-budak bawah umur sekarang dah terlebih matang. Dah ada perancangan jangka panjang."

Cempaka lontarkan rasa tak puas hatinya. Matanya renung Firraz.

Nadra menyumpah dalam hati.

RINDU BERSULAM CINTADonde viven las historias. Descúbrelo ahora