BAB 6

184 10 0
                                    

SELEPAS kes Emalin terserempak mereka berada di dalam bilik, makin kuat ahli keluarga mengusik. Emalin pula jenis tak boleh simpan rahsia. Semuanya nak dicanangkan. Itupun nasib baiklah ini majlis kahwinnya. Kalau tidak mahu ditokok-tambah lagi.

Tak sabar nak kahwinlah, kata mereka. Kalau diterangkan pun tiada seorang pun yang percaya, kerana cara mereka ditemui tak kena dengan cerita Emalin. Sudahnya Nadra biarkan saja mereka dengan spekulasi mereka. Apabila menginjak ke hujung pagi itu, mereka semua sibuk melayan tetamu yang semakin ramai itu.

Dari jauh Firraz melihat Nadra dan mamanya sedang berbual. Kadang-kadang mereka berdua ketawa. Apa yang membuatkan mereka berdua terlalu ceria Firraz tidak tahu. Perlahan dia menghampiri mereka berdua.

"Amboi, bakal menantu dan mentua dah kamceng," tegur Firraz. Dia tarik kerusi lalu duduk di tepi mamanya. Nanti kalau duduk di tepi Nadra tak pasal-pasal Nadra mengamuk lagi.

"Mestilah," sahut mamanya. Matanya itu mengerling dengan penuh kasih sayang kepada Firraz.

Firraz pandang saja tangan mamanya yang sedang menggenggam jemari Nadra. Hmm, patutlah berjanji nak tunangkan mereka. Mamanya benar-benar sukakan Nadra.

"Nanti bila kat sekolah jangan buli Rara tau, Firr." Puan Zaitul sudah memberi arahan.

"Firr mana berani buli dia mama. Rara ni berapi, tak pasal-pasal nanti Firr rentung dulu," kata Firraz sambil sengih, matanya itu dikerling sekilas kepada Nadra.

"Firr ni, beli cincin pun batu merah sebab kata Rara ni berapi. Betul ke Rara?" Puan Zaitul menoleh ke arah Nadra yang diam sejak tadi. Dia kelu lidah untuk bergurau senda dengan Puan Zaitul selepas Firraz duduk dengan mereka.

"Mana ada, mama. Pandai cikgu ni buat cerita." Nadra terus menafi. Walaupun, mungkin ada benarnya dia kuat berapi walaupun dengan perkara remeh. Kalau boleh nak tengok orang rentung selepas dia marah.

"Aik, panggil cikgu lagi. Kena belajar dari awal. Panggil abang. Nanti bila dah kahwin taklah tersasul panggil." Nadra telan liur apabila Puan Zaitul sudah menyuruhnya memanggil abang kepada Firraz.

"Dengar cakap mama tu, sayang. Mama terlebih dulu makan garam dalam bab kahwin ni. Kita ikut aje apa yang dia orang nak. Boleh sayang?" Firraz kenyitkan mata walaupun di depan mamanya.

Bagaikan nak terjojol bebola mata Nadra. Dia tidak sangka di depan mamanya sendiri Firraz memanggilnya sayang. Puan Zaitul pula tak cakap apa. Memang dia suka apa yang anaknya buat sekarang.

"Kan bagus kalau Rara ikut apa yang Abang Fir cakap tu. Mama dan ibu mesti senang hati," kata Puan Zaitul sambil menepuk paha Nadra.

"Mama, entah-entah mereka perlukan Rara nak basuh periuk." Nadra mula bagi alasan. Dia tidak betah berada di situ, apabila kedua-dua beranak itu seakan-akan seia sekata.

"Rara ni mimpi ke apa. Kan katering tadi. Siapalah yang nak basuh periuk tu. Zaman dulu bolehlah, kita buli pengantin. Zaman sekarang tak ada dah pengantin yang tolong basih periuk petang-petang selepas kenduri," kata Puan Zaitul. Firraz menyimpul senyum kerana alasan Nadra tidak boleh diguna pakai. Ada hati nak larilah tu. Guna alasan itu ibarat itu hari kahwin sendiri. Firraz menggelang sambil senyum.

"Hari mama pergi rumah Rara tu nak jumpa Rara sekali. Tak sangka pula Rara tak ada."

"Ha, Rara keluar makan dengan kawan."

"Mama tahu tak, Firr makan dengan Raralah malam tu," beritahu Firraz.

"Hah, kenapa tak cakap. Jahat betul Firr ni." Puan Zaitul menampar paha Firraz. Dia tersenyum lagi memandang Nadra. Macam bakal ibu mertua pula yang jatuh cinta dengan Nadra.

RINDU BERSULAM CINTAUnde poveștirile trăiesc. Descoperă acum