PAKCIK KEREK SEMANIS PAVLOVA

By karyaseni2u

37.5K 1K 22

PENULIS: ALIESHA KIRANA TAJUK: PAKCIK KEREK SEMANIS PAVLOVA KELUARAN: MEI 2017 MUKA SURAT: 560 HARGA: RM23 (S... More

Bab 2
Bab 3
Bab 4
Bab 5
Bab 6
Bab 7
Bab 8
Bab 9
Bab 10
Bab 11
Bab 12
Bab 13
Bab 14
Bab 15

Bab 1

5.7K 114 3
By karyaseni2u

Prolog

PUTIH telur yang sudah diasingkan daripada kuning telur, Ajda masukkan sedikit demi sedikit ke dalam mangkuk kaca sebelum dia memukul putih telur itu dengan menggunakan pengadun tangan elektrik.

Gula kastor dimasukkan berselang-seli dengan putih telur itu dan bahan-bahan itu diputar dan diadun hingga kental, menjadi meringue yang berwarna putih susu dan tidak meleleh apabila Ajda terbalikkan mangkuk kaca itu.

Tepung jagung, esen vanila dan sedikit cuka makan Ajda satukan di dalam sebuah bekas sebelum dikacau hingga sebati dan dimasukkan ke dalam adunan meringue tadi. Bahan yang sudah disatukan itu Ajda kacau rata menggunakan spatula dengan kaedah kaup balik.

Adunan yang telah tersedia itu Ajda letakkan di atas loyang yang sudah dilapik dengan baking paper dan dibakar di dalam ketuhar selama sejam.

Sebaik siap masak, pavlova itu disejukkan terlebih dahulu sebelum Ajda meletakkan whipping cream yang sudah dipukul kental ke atasnya dan menyusun buah-buahan masam seperti strawberi, anggur dan raspberi di atas whipping cream tadi.

Siap!

Ajda tersenyum puas hati apabila melihat manisan itu telah pun menjadi dengan cantiknya. Ada misi yang harus dia lakukan hari ini yang bakal melibatkan pavlovanya itu.

Dia harus pantas bergerak tanpa membuang masa lagi. Bismillah!


Bab 1

TALQISYA.

Ajda merenung papan tanda butik vendor itu dengan rasa sedikit gementar. Ini bukan kali pertama dia berurusan dengan butik vendor tetapi butik yang satu ini terasa lain macam saja debarannya. Hati rasa tak sedap macam ada awan hitam sedang menyelubungi jiwanya saat itu. Ah, dah kenapa?

Bismillahitawakkaltualallah.

Ajda mengulang ayat itu beberapa kali sebelum daun pintu utama butik itu dia tolak. Kepalanya tersembul ke dalam, memerhati dahulu segenap ruang sebelum masuk dengan gerak perlahan. Senyuman pembantu butik menyambut Ajda membuatkan gadis itu ikut mengukir senyum.

"Selamat datang ke Talqisya," ucap pembantu butik itu sebaik senyumannya berbalas. Ajda segera mendekati gadis kecil molek itu sebelum bersuara separa berbisik. Risau mengganggu pelanggan butik yang boleh tahan ramainya walaupun masih dalam waktu pejabat. Tak tahulah dari mana datangnya gadis-gadis hijabista fesyenista ni semua sampaikan waktu begini pun masih boleh melepak di butik.

"Saya dari The Jida Dessert. Nak apply jadi vendor."

"Oh, cik dari The Jida Dessert yang call semalam, eh?"

Ajda mengangguk laju.

"Okey, cik ikut saya ya?"

Pembantu butik itu melangkah laju membuatkan Ajda pantas mengekorinya dari belakang. Berjalan ke arah sudut paling hujung di dalam butik yang boleh tahan besarnya itu. Beg plastik yang dia bawa, dikemaskan dalam genggaman.

Langkah Ajda terhenti saat pembantu butik itu berhenti di hadapan pintu sebuah bilik. Kepalanya mendongak memerhati nama yang tertera di situ.

Megat Talhah bin Megat Harun.

Erk! Liurnya yang kesat ditelan dengan payah.

Dia ingat pemilik butik vendor ini seorang perempuan, tapi rupa-rupanya lelaki. Aduh, segannya! Ajda mengetap bibir.

Pintu itu diketuk.

"Masuk." Suara garau kedengaran.

"Encik Megat, cik..." Gadis kecil molek itu bersuara saat membuka pintu bilik itu sebelum memandang Ajda semula, meminta pengertian.

"Ajda." Pendek Ajda membalas. Mengerti.

"Cik Ajda dari The Jida Dessert dah sampai." Pembantu butik itu bersuara kembali sebaik dia menjenguk kepalanya ke dalam.

Dia berpaling semula ke arah Ajda sesaat kemudian sebelum tersenyum.

"Cik boleh masuk sekarang." Gadis itu bersuara lalu melangkah meninggalkan Ajda yang masih terpinga-pinga.

Perlahan Ajda memulas tombol pintu sebelum melangkah masuk ke dalam bilik itu dengan berhati-hati.

"Assalamualaikum."

"Waalaikumussalam." Lelaki itu mendongak dan memandang Ajda dengan wajah yang tidak beriak. Senyum pun tidak, masam pun tidak.

"The Jida Dessert?"

"Ya. Saya Ajda. Saya nak apply slot untuk peti makanan di butik ni." Ajda tersenyum memulakan bicara.

Dingin. Masih tidak beriak.

"Duduk," pelawanya datar.

Ajda terkedu. Perlahan dia tarik kerusi di hadapannya dan duduk menghadap lelaki itu. Beg plastik yang dia bawa sedari tadi, dia letakkan di atas meja.

"Ini saya ada bawa sample pavlova untuk pihak encik rasa."

"Tak apa, itu kemudian. Sekarang ni cik ada bawa portfolio tak?" Lelaki itu merapatkan tubuhnya ke meja sebelum menyilangkan jari-jemarinya sambil memandang Ajda dengan wajah yang tidak mampu dibaca.

Kening Ajda terangkat.

"Portfolio?"

"Ya, dekat butik ini setiap vendor yang mahu menyewa tapak kami harus bawa portfolio."

Ajda garu kepala.

"Errr... Maaf bertanya. Portfolio yang macam mana encik maksudkan?"

Lelaki itu bersandar pada kerusinya semula sambil tangannya dilipat rapat ke dada sebelum dia memandang Ajda tajam, seolah-olah soalannya tidak molek diajukan.

"Portfolio tentang business online, cik. Berapa ramai follower di media sosial, berapa banyak sales tiap bulan, dan semua perkara penting yang membuatkan pihak kami berminat untuk menyewakan tapak kepada pihak cik. You have to buy us."

Gulp! Ajda menelan liur.

Tak pernah-pernah dia berhadapan dengan situasi begini, nak mohon jadi vendor pun sampai kena buat portfolio segala. Dengan butik vendor yang dia pernah berurusan tak adalah strict begini. Butik Kak Peah tu okey aje pun, bagi sampel sembang-sembang dah jadi, butik Ferralicious yang agak gah tu pun senang saja nak apply, tak banyak songeh.

Ah padan muka kau, Ajda! Siapa suruh gatal nak try butik berprestij ni. Kan terkena sendiri.

Ajda menggaru kepalanya yang jelas tidak gatal walau berbalut tudung sedari tadi.

"Maaf, encik. Saya tak tahu pula kena bawa portfolio. Kalau esok saya bagi, boleh?"

Lelaki di hadapannya itu mendengus.

"Lain kali tanya dahulu sebelum datang ke sini. Jangan main serbu saja." Lelaki itu menyindir sinis.

Ajda menggigit bibirnya kuat, menyabarkan hatinya supaya tidak melawan. Salah dia juga tak tanya dahulu, datang tanpa usul periksa. Dah dia yang beria-ia sangat nak jadi vendor dekat butik eksklusif ini, kenalah dia tabahkan hati. Biar sampai jadi perjanjian mereka itu barulah dia boleh menarik nafas lega.

"Maafkan saya, encik. Esok confirm saya bawa portfolionya."

Lelaki itu menjeling.

"Okey, kalau macam tu cik boleh keluar. Esok datang bawa portfolio." Lelaki itu bersuara sebelum menunduk kembali, menyambung kerjanya seolah-olah tidak berminat untuk melayan Ajda lagi.

Ajda menggumam. Dia bangun lambat-lambat sambil memandang wajah lelaki itu yang langsung tidak memandang ke arahnya kembali.

"Errr... Encik. Sampel ni?" Ajda menyoal sambil mengangkat beg plastik yang terisi dua kotak kecil pavlova yang dia buat sendiri itu.

Lelaki itu menjenguk plastik tersebut sekali lalu sebelum memandang Ajda semula.

"Saya tak makan benda manis, cik serahkan dekat kaunter saja." Lelaki yang dipanggil Encik Megat itu fokus semula dengan kerjanya, membiarkan Ajda terkulat-kulat.

Ajda menghela nafasnya sebelum keluar dari bilik itu dengan hati yang sebal.

Kerek betul pak cik ni! Macam la bagus sangat! Poyo! Ajda menyumpah dalam hati sambil berlalu ke kaunter butik.

Pembantu butik tadi kembali menyambutnya dengan senyuman.

"Macam mana, cik? Dah settle?"

Ajda menggeleng.

"Saya tak bawa portfolio. Tak tahu pula kena sediakan portfolio segala." Ajda mendengus.

"Oh, cik tak tanya dulu ya sebelum datang?"

Ajda menggeleng.

"Dekat sini memang itu prosedurnya, cik. Kena bagi portfolio dulu dan Encik Megat akan tapis sebelum bagi kelulusan. Tak apa, esok cik bawa, ya?"

Ajda tersenyum seraya mengangguk.

"Tapi..." Ajda mendekati pembantu butik itu sebelum berbisik.

"Encik Megat tu memang serius macam tu ke?"

Pembantu butik itu ketawa kecil.

"Dia memang tegas sikit cik, tapi hati dia baik. Dengan staf dia okey saja, tak adalah serius memanjang."

"Mesti stres kerja dengan dia, kan?" Ajda memandang ke arah bilik tadi. Macam ternampak saja aura negatif di sekeliling bilik itu. Huh!

"Biasalah, kalau buat salah memang menggeletarlah satu badan tunggu kena marah, cik."

Ajda ketawa. Ramah pula pembantu butik ni melayan dia.

"Nama saya, Ajda. Panggil Ajda aje tak payah panggil cik."

"Saya Ati."

Ajda senyum.

"Okey Ati, esok saya bawa ya portfolio tu. Hah lagi satu, ini sampel pavlova yang saya buat, bos awak suruh bagi dekat kaunter."

Ajda menghulurkan plastik yang terisi pavlova tadi kepada pembantu butik bernama Ati itu.

"Wah, mesti sedap. Terima kasih. Nanti kami cuba." Laju saja Ati menyambut plastik itu sebelum membelek isi di dalamnya dengan rasa teruja.

"Okey, nanti bagi komen, ya? Harap menepati cita rasa." Ajda tersengih. Senang berbual dengan gadis bernama Ati itu, ramah. Tak macam bos dia, kerek nak mampus!

"Insya-Allah."

"Tapi bos awak tu tak suka benda manis, ya?"

"Haah, dia tak suka." Ati tersengih. Faham sangat dah dengan perangai Encik Megat, cerewet. Itu tak boleh, ini tak boleh. Sampaikan bab makanan pun dia nak cerewet, manis sangat tak boleh, berlemak sangat tak boleh. Macam-macam!

"Maaf. Saya nak tanya sikit, butik ni memang Encik Megat punya ke? Saya ingat bos butik ni perempuan. Macam biasalah, butik-butik vendor ni biasanya perempuan yang suka buka. Kalau ada lelaki pun pemilik bersama, suami isteri." Ajda menyoal setelah membiarkan persoalan itu terbuku sedari tadi.

"Ya, memang Encik Megat pemilik butik ni. Tapi dia ada sorang lagi share partner, perempuan. Cuma kami tak kenal, tak pernah datang sini."

Ajda mengangguk. Dah agak dah, mesti ada pemilik bersama yang perempuan. Takkan lelaki macam dia, minat nak buka butik kecuali dia tu jenis lembut-lembut sikit. Ini bukan main kasar lagi. Huh!

"Isteri Encik Megatlah, kan?"

"Eh tak, dia belum kahwin." Laju Ati menafikan.

Mata Ajda membulat.

"Belum kahwin? Berapa umur dia?"

"Tiga puluh tujuh."

"Hesy, dah tua tak kahwin lagi?" Dahi Ajda berkerut, tidak puas hati. Dia tengok segak saja Encik Megat tadi, wajahnya manis walaupun dia tidak senyum, ada janggut sejemput menghiasi wajahnya. Memang wajahnya nampak matang sikit tapi masih ada sisi yang menawan. Penampilannya juga nampak kemas bergaya, layak sangat untuk jadi calon pilihan wanita. Ini mesti sebab perangai kerek dia tu, siapa boleh tahan, kan? Huh!

"Belum jodoh kut." Ati menyengih.

"Haah yalah, kan. Jodoh ni rahsia Allah, siapa kita nak pertikai, kan?"

"Ya, betul tu."

Ajda berjeda. Pandangannya lepas ke arah bilik Megat Talhah semula.

"Eh okeylah, Ati. Maaf saya banyak soal pula padahal baru pertama kali datang sini." Ajda tersengih sambil menggaru kepalanya, saat tersedar dari jedanya. Terasa macam melebih pula menyoal Ati pasal bos kerek butik Talqisya ini.

"Tak apa, harap awak dapat slot tu nanti, ya?"

"Amin. Doakan, ya? Saya balik dulu." Ajda tersenyum sambil menepuk bahu Ati. Langkahnya kembali diatur untuk keluar dari butik itu.

Ajda mendongak memandang kembali papan tanda butik itu sebaik dia masuk ke dalam keretanya semula yang diparkir betul-betul di hadapan butik, memikirkan kembali situasi yang baru dihadapinya tadi. Satu keluhan berat dia lepaskan sebelum dia menghidupkan enjin kereta.

Aduh apalah nasib, tersilap percaturan dia kali ini. Ingat senang nak mohon slot macam butik vendor lain, rupa-rupanya kena berhadapan dengan pemilik kerek yang tak ada perasaan tu pula. Hesy, dugaan orang nak berjaya gamaknya. Bertabahlah, Ajda! Kipidap dongibab!

Continue Reading

You'll Also Like

847K 32.3K 69
Pernah dengar istilah dendam memakan diri? Istilah benci bertukar sayang? Istilah itu semua berada dalam cerita mereka. Tentang pasangan yang dahulun...
Anthem By hlovate

General Fiction

91.3K 4.7K 77
Everybody has a past. Everybody lives a present. And everybody deserves a future. Published April 2013, ISBN 9789670508629 Goodreads : https://www.g...
Rooftop Rant By hlovate

General Fiction

149K 9.1K 71
TRIGGER WARNING -substance abuse - suicide attempt - mental health Be kind. To you yourself and others. (published February 2009, ISBN : 978-967-511...
76.6K 2.9K 36
First story from sweethearttina🌹 Kisah sepasang sepupu yang disatukan tanpa kerelaan masing-masing hanya disebabkan satu peristiwa yang tidak diingi...