LELAKI TERAGUNG

By hanifazuha

18.7K 332 14

Perkahwinan bukan hanya akan ada yang manis-manis saja. Tapi, hidup bersama Mohd Aakif Hudzairi, yang pahit b... More

PROLOG
Bab 2
Bab 3
Bab 4
Bab 5
Bab 6
Bab 7
Bab 8
Cover Rasmi

Bab 1

2K 33 0
By hanifazuha

PERKAHWINAN bukannya akhir sebuah hubungan tapi ianya permulaan satu perjalanan yang panjang.

Berapa panjang?

5 tahun?

10 tahun?

30 tahun?

Atau sehingga terhentinya denyutan nadi?

Sebenarnya, jarak masa bukanlah isunya di sini kerana di akhir ceritanya nanti, yang kita perlu tahu ialah kemampuan kita untuk memenuhi kehendak pasangan.

Ya! Kehendak pasangan.

Benar.... perkahwinan aku dan Hud belum mencecah setahun. Tapi dalam tempoh itu, aku sudah rasa penat menepis persoalan orang sekeliling.

Bila soal anak ditimbulkan, aku sudah terasa kekurangan diri. Sudah terasa yang Hud akan diberi peluang untuk membuat pilihan sekali lagi.

Sebab aku tahu, ada kehendak Hud yang masih belum mampu aku tunaikan. Cumanya, dia sangat pandai melencongkan topik bila setiap kali timbul isu tersebut.

"Belum setahun lagi, mummy. Hud belum puas bermanja dengan isteri." Selalu pun, itulah jawapan Hud apabila diasak soal anak. Dan yang selalu mengasak sudah pastilah mummynya.

"Ada anak tak semestinya tak boleh bermanja. Kalau Airis tak mahu jaga, hantar aje ke sini, biar mummy jaga."

Sudahnya, nama aku juga yang dipetik untuk menggambarkan sisi buruk. Seolah akulah yang tak mahu anak. Kalaulah anak itu boleh dibeli di mana-mana pasar, dah lama aku pergi beli.

Tapi, yang aku mampu cuma diam dan diam. Selalunya, bila setiap kali Hud beri alasan begitu, mummy akan diam. Tapi tidak untuk malam ini.

Aku dan Hud dipanggil untuk makan malam di rumah keluarganya atas sebab ada hal penting yang mahu dibincangkan.

Dan aku sudah dapat rasakan hal yang mahu dibincangkan itu ialah hal anak.

Rupanya, soal anak tidak pernah akan terhenti selagi kita yang sudah berkahwin ini masih belum dikurniakan cahaya mata.

Mungkin memang lumrahnya begitu. Kalau tak berkahwin, sibuk tanya bila nak kahwin. Bila dah kahwin, sibuk pula tanya bila nak ada anak. Agaknya bila kami dah ada anak nanti, ada lagi soalan bila nak tambah anak?

"Kalau kami dah ada anak nanti, Airis akan berhenti kerja." Jawapan Hud memanggil aku berpaling. Bila masa pula kami pernah berbincang hal tersebut?

"Nanti tu bila? Jangan nanti Adif yang bagi mummy cucu dulu."

Serentak semua mata menghala pada Adif yang sejak tadi diam. Waktu itu, kami duduk di ruang tamu menikmati kopi setelah selesai makan malam.

"Dah tetap tarikh ke?" Hud ajukan soalan dan Adif angguk sebagai jawapan.

Aku pula tercengang sendiri. Tarikh apa?

"Ni yang mummy nak bincang. Adif kata pihak perempuan nak buat dalam masa terdekat."

"Kenapa nak tergesa-gesa?"

Sekali lagi, semua mata beralih pada Adif.

"Jodoh dah sampai." Mudah sungguh jawapan Adif. Tapi kenapa aku perasan matanya menjeling ke arahku?

Kalau betul jodoh dia dah sampai, Alhamdulillah. Aku doakan moga dia bahagia dunia akhirat.

Tapi, saat ini aku terasa sikit kecil hati. Yalah! Semua orang tahu Adif akan berkahwin. Cuma aku saja yang tak tahu apa-apa.

Satu hakikat yang aku harus akui, orang luar tetap juga orang luar. Perkahwinan tak akan sesekali menukar perkataan 'orang luar' itu menjadi sebaliknya. Jadi, aku kena faham sendiri yang aku tak perlu campur urusan keluarga ini.

Tidak mahu hati lebih sakit, aku meminta diri untuk ke dapur. Buat kopi yang lain dan minum sendiri di dapur.

"Kenapa tak minum kat luar?" Tiba-tiba ada suara menegurku.

"Mereka bincang hal keluarga, Mak Pah. Saya ni orang luar." Aku merendah diri.

"Apa pulak cakap macam tu. Dah kahwin tu, dah jadi keluarga la. Mana ada istilah orang luar lagi." Mak Pah berlalu ke sinki.

Sejenak aku diam.

"Mak Pah tahu ke Adif nak kahwin?"

Terus Mak Pah berpaling mendengar soalanku dan dia angguk dua kali.

Maknanya, memang aku sorang saja lah yang yang tak tahu.

"Airis tak tahu ke?"

Aku geleng kepala.

"Mak Pah kenal ke siapa pilihan hati dia?"

"Betul ke Airis tak tahu?"

Sekali lagi aku geleng kepala.

"Saya kenal ke perempuan tu, Mak Pah?"

"Syira."

Syira????? Nama itu bagai bergema kuat di gegendang telingaku.

Aku pandang Mak Pah. Aku tak silap dengar kan?

"Takkan Airis tak kenal?"

Ya! Aku kenal. Mana mungkin aku tak kenal. Nama dan orangnya. Dulu dan kini, menyebut nama perempuan itu boleh buat aku trauma dua jam apatah lagi bila melihat orangnya.

Persoalannya di sini, kenapa Adif tiba-tiba pilih Syira? Memanglah mereka sudah lama saling kenal. Tapi, bukankah Syira itu bekas kekasih Hud?

Ada sesuatu yang aku tak tahukah? Mungkinkah sebab itu Hud tidak membuka mulut memberitahuku?

Sebabnya, suami aku tu memang tahu benar aku sangat alergi dengan nama Syira.

Entah berapa lama aku termenung di situ, sedar-sedar Mak Pah sudah tiada. Tapi yang ada di ruang tersebut ialah Adif.

Bila pula dia ni masuk ke dapur?

Aku pandang dia yang sedang memandangku. Spontan aku bangkit dari bar stool.

"Saya akan kahwin dengan Syira. Tapi, Hud tak setuju."

Tiba-tiba dadaku berdebar mendengar ayat senada yang keluar dari bibir Adif.

"Boleh awak tanya dia kenapa dia tak setuju?" Permintaan Adif buat aku kaku berdiri. Tiba-tiba aku rasa bagai disuntik ubat bius yang menyebabkan seluruh tubuhku kebas.

"Dia masih ada hati dengan Syira ke?"

Senyap!

Adif sudah berlalu pergi tetapi kenapa aku rasakan persoalan yang dia utarakan itu berulang-ulang masuk ke gegendang telingaku.

"Sayang...." Telingaku mendengar ada suara memanggil dan mataku nampak Hud sedang berdiri di depanku. Entah sejak bila dia muncul di situ.

Tapi, kenapa aku rasa bagai aku sedang koma?

"Honey.....Jom! balik." Hidungku tiba-tiba dicuit dan aku seolah tersedar dari mimpi ngeri yang panjang.

Kalau dia dah berhoney baney dan main cuit-cuit hidung tu, kena cepat-cepat bertindak. Kalau tak, ada yang botol honey tumpah atas lantai nanti.

Bagai patung yang telah diprogramkan, aku ekori langkah Hud untuk pulang.

"Kenapa termenung kat dapur tadi?" Hud ajukan soalan sebaik keretanya menjalar di atas jalan raya.

Tapi, aku diam tak menjawab.

"Airis.... kenapa diam aje ni?" Dia tak puas hati bila aku tak bertindak balas dengan soalannya.

Bukan soalan tu saja malah dua tiga lagi soalannya aku biarkan bagai angin lalu sipi-sipi melalui telingaku.

"Kenapa awak tak beritahu Adif nak kahwin?" Soalanku memanggil dia menoleh dua kali.

"Penting ke?" Dia soal aku balik.

"Kalau calon perempuannya saya tak kenal, tak adalah penting sangat. Tapi sebab calonnya saya kenal."

Kali ini dia pula yang terdiam.

"Awak setuju?"

Dia diam lagi.

"Atau... awak masih ada hati pada dia?" Aku cuba menduga. Mahu melihat reaksinya. Adakah telahan Adif tadi benar?

Namun, dia nampak biasa-biasa saja. Muka bersahaja seolah soalan mendugaku itu tak memberi kesan apa-apa.

"Kan you yang simpan."

Keningku berkerut. Kepala dari tadi terteleng ke arahnya yang sedang memandu. Apa punya jauh lencongan yang dia buat ni?

"Simpan apa pulak?"

"Hati I, you simpan dalam peti besi dan you hilangkan kuncinya." Dia senyum.

Isk! Aku tengah serius, dia boleh pulak buat main-main.

"Pick-up line tu dah biasa sangat orang guna. Harganya lebih kurang macam duit sepuluh sen aje."

Dia ketawa mendengar ayatku.

Dan persoalan tentang Syira terhenti sampai di situ. Tapi, nama perempuan itu tak pernah hilang dari ingatanku. 

Continue Reading

You'll Also Like

67.3K 2.6K 21
UYARI: Kitap içerisinde nude gönderme gibi olaylar var, etik kurallarınıza uymuyorsa okumanızı tavsiye etmem. Şahsıma edilen en ufak hakarette engell...
1.2M 72.6K 45
Hale Alkan, okulun altın çocuğu ona mesaj atana kadar onun için görünmez olduğunu düşünüyordu. 28 Temmuz 2021
766K 19.7K 81
Herkesin korkulu rüyası olan Yer altının en büyük mafyası yer yüzünün hakimi sadist sinir hastası piskopat bir adamın bir kıza aşık olması Ve haya...
334K 19.3K 6
Nisa'nın bir iş çıkışı durakta otobüs beklerken eski eşini kanlar içinde görmesi ile hikayeleri tekrardan başlar... Yanlışlıkla olan "tesadüfler" baz...