Bab 3

1.8K 40 0
                                    

BANGKIT pagi lambat. Semuanya gara-gara Hud. Mentang-mentang dia ada meeting di luar pejabat jam 10 pagi, dia ajak aku sambung tidur selepas solat subuh.

Sedar-sedar dah pukul 9.00 pagi. Terus aku terlompat.

"Kenapa tak kejut??" Aku terjerit bila lihat dia sudah kemas berpakaian dan duduk santai bersandar ke kepala katil di sebelahku. Dia dah bangkit lama tapi buat bodoh tak kejut aku. Ini memang boleh menimbulkan kemarahan.

"I kejut, tapi you sibuk peluk I. Kang dengan I sekali tak pergi meeting." Dia jawab tanpa memandangku.

Terus aku bercekak pinggang memandangnya dengan mata mengecil. Tak percaya dengan apa yang dia cakap.

Tapi dia langsung tak angkat kepala. Mata fokus pada iPad di tangan. Sahih dia menipu.

Malas nak gaduh, aku berlari anak ke bilik air.

"Sayang... jangan lari-lari. Kang licin dalam bilik air tu."

"Huh!" Kakiku mati di depan pintu menuju ke ruang wardrobe untuk ke bilik air.

"Awak la punya pasal. Confirm lambat hari ni." Aku mengomel. Tapi dia gelak-gelak.

"I gerak dulu tau. Hati-hati drive." Dia melaung sebaik aku menutup pintu bilik air.

Memanglah dari rumah nak ke pejabat tak jauh. Kalau masa praktikal dulu hari-hari tempuh jem nak ke KL. Tapi lepas SutraBina beli bangunan sendiri di Bangi dan berpindah ke situ, dekatlah pergi kerja.

Tapi, dah namanya pun perempuan. Mandi dan bersiap pun makan masa satu jam. Tu belum kira nak basahkan dan keringkan rambut lagi.

Sudahnya hari tu aku sampai ke pejabat lewat satu jam lebih.

Aku memang jarang sangat datang lambat walaupun syarikat mertua sendiri dan suami sendiri yang jadi bos. Kalau dulu-dulu masa praktikal selalulah juga sebab ikut waktu Hud. Tapi sejak menjadi pekerja tetap dan memandu sendiri, aku disiplinkan diri dengan waktu kerja.

Tak sempat nak sarapan, sampai pejabat saja aku terus menonong ke pantri. Bancuh air cicah biskut pun boleh la buat alas perut sementara tunggu makan tengah hari.

Masuk pintu pantri, terserempak dengan Zana yang kebetulan ada di situ.

"Aku ingat kau cuti. Baru sampai ke?"

"Ha'ah." Aku terus melangkah masuk menuju ke arah sinki untuk membersihkan botol air dan muk yang aku bawa.

"Mmm.... seronoklah jadi isteri bos, masuk pejabat suka hati ikut waktu sendiri." Tiba-tiba terdengar suara menyindir. Tak perlu berpaling, aku tahu itu suara Farhana, Admin Executive yang kebetulan sedang membancuh minuman di situ.

"Eh! Haruslah, company bapa mertua kut. Kan, Airis." Zana membalas bagi pihakku.

Aku senyum menyambut pembelaan Zana. Tak tahulah, sejak aku bertugas di situ, atau lebih tepat lagi sejak aku memulakan praktikal di situ, Farhana memang tak suka aku dan rasa tak suka tu sangat jelas ditunjukkan.

"Kalau kau nak jadi macam Cik Puan Airis ni, kau goda lah bos, kut-kut la sangkut, boleh jadi isteri muda, boleh la nak datang kerja ikut suka." Sinis Zana menyindir.

Farhana terus hantar jelingan pada Zana dan aku. Haih! Aku yang tak cakap apa-apa pun jadi mangsa juga.

Tapi, aku patut berterima kasih pada Zana sebab selalu pun dialah yang akan back-up aku bila kena sindir dengan Farhana. Lagipun, aku ni jenis malas nak layan, orang cakap apa pun buat bodoh jer.

Kata orang, kalau tak ada apa yang baik-baik untuk dicakapkan, diam adalah yang terbaik. Jadinya, aku ambil pendekatan begitu. Kalau tak ada kaitan dengan tugas aku, mulut aku tutup rapat. Tak adalah nak berlagak macam isteri bos yang lain.

Satu hakikat yang sentiasa aku ingat, walau aku isteri Hud, aku tetap pekerja biasa di sini.

"Kalau aku goda bos, jangan haraplah aku nak hidup bermadu. Terus aku suruh dia ceraikan bini pertama dia." Kali ini Farhana terus menjeling ke arahku. Yalah! Ayat pun ditujukan pada aku, haruslah jeling aku.

Zana pula terus ketawa lepas seolah Farhana buat lawak paling lucu walhal aku tak rasa lucu pun ayat Farhana tu.

"Budget kau hot ke yang Encik Aakif tu nak pandang kau?" Sebiji Zana bagi tepat atas muka dia.

"Alah! Bini dia pun bukannya hot mana. Kampung dan selekeh." Dia herotkan bibir dan terus berlalu dengan muk Nescafe di tangan.

Amboi! Ayat. Aku terus pandang Zana dan Zana juga pandang aku. Kemudian Zana ketawa lagi. Minah ni kalau diberi peluang bergaduh dengan Farhana memanglah dia suka sangat-sangat.

Kata Zana, dulu-dulu Farhana tu Admin Exec cum PA bos. Cuma baru-baru ni jer bos wujudkan jawatan Secretary dan Farhana sepenuhnya di bahagian Admin.

"Ada ke aku pernah cakap yang aku ni hot?" Aku angkat kening pandang Zana.

"Kau tu tak hot. Yang hotnya laki kau tu. Itu yang nak kena jaga." Ayat Zana buat aku terdiam.

Manusia hidup, macam mana nak jaga? Bukan boleh kurung macam anak kucing. Nasib badan lah bila kahwin dengan lelaki gaya hot macam Hud tu.

"Kalau dia anak kucing, dah lama aku kurung dia dalam sangkar. Manusia hidup ni susah nak jaga. Biarlah dia nak buat apa pun." Aku sisip Milo yang aku bancuh tadi.

"Yang aku mampu cakap, kau hati-hati dengan dia."

"Tak kan dia suka laki aku kut?" Aku masih tak habis fikir kenapa Farhana tu tak suka aku.

Kalau aku perasan sendiri, mungkin silap syak wasangka. Tapi Zana pun selalu cakap benda yang sama.

"Apa yang aku tahu, dia tu baik dengan skandal laki kau."

Gulp!

Liur terus tertelan mendengar ayat Zana. Skandal yang Zana panggil itu adalah Syira. Aku ni alergi sikit kalau sebut nama perempuan tu. Boleh mimpi ngeri di malam hari.

"Aku bukan apa. Sebab aku tengok kau ni baik sangat. Orang baik-baik ni selalu ujiannya getir sikit."

Tak faham simbolik Zana, aku terkelip-kelip pandang dia.

"Jangan nanti sedar-sedar kau dah ada madu. Kalau madu dalam botol yang boleh dibancuh jadikan honey lemon tea tu takpe. Aku takut madu yang boleh bagi laki kau anak." Zana tunjuk isyarat tangan pada perut sendiri gaya orang mengandung.

Kali ini, tekakku terasa kering.

Anak!

Sesuatu yang sangat sensitif untuk aku.

"Sekarang ni dah ada bisik-bisik cakap kau mandul lah... kau tak mahu mengandung lah... macam-macam versi aku dengar tau!"

Nafas aku tarik panjang. Semua orang boleh cakap macam-macam versi tapi hakikatnya, diri sendiri saja yang tahu.

"Biar lah. Mulut orang, aku tak boleh nak tutup." Akhirnya, cuma itu yang mampu aku jawab.

Aku ni memang perangainya begini sejak dulu. Orang cakap apa pun, asal tak sakitkan tubuh badan aku, buat bodoh aje.

"Mulut orang memang kau tak boleh tutup. Tapi kau boleh tampar." Ayat balas Zana buat aku tergelak.

Bercakap dengan Zana memang tak pernah habis. Sudahnya aku beri isyarat mahu keluar dari situ. Lagi lama menyembang, kang ada pula mulut yang cakap aku makan gaji buta, datang kerja asyik melepak dalam pantri. Mentang-mentang isteri bos.

LELAKI TERAGUNGWhere stories live. Discover now