Takkan Ku Lepaskan Dia

By EleeMardiana

83K 1.3K 74

Cinta atau Benci? Kalau benar-benar cinta, mengapa hanya derita yang Erin rasa? Tidak cukupkah lagi luka dan... More

1
2
3
4
5
6
8
9
10
11
12

7

4.5K 82 1
By EleeMardiana

INGATKAN pagi itu dia hendak bermalas-malasan sahaja di atas katil sementara belum sibuk tetapi terpaksa dia batalkan hasratnya itu apabila namanya dijerit berkali-kali oleh emaknya dari ruang tamu.
"Sat... sat... mak. Cek tengah simpan katil ni."
"Ooo... Erin!"
"Laaa... mak ni... awat hingaq sangat pagi ni? Sat, mak... cek simpan katil ni sat."
"Erin oiii! Mai keluaq sat."
"Allah, mak ni... kalut sungguh la..." Erin tinggalkan selimut yang tidak sempat dilipat di atas katil dan bergegas ke pintu bilik.
"Awatnya, mak? Cek dengaq dah tadi. Simpan katil dulu. Awatnya?" Erin menjenguk dari balik langsir pintu bilik yang diselaknya.
"Ni hah. Ada tepon untuk hang."
Langsung kering darah dari muka Erin.
"Sapa?" soalnya dengan nada suara yang sangat perlahan. Dia masih berdiri di pintu bilik tidur yang ditumpanginya itu. Mukanya jatuh. Nampak sangat dia takut.
"Awat yang hang tegak macam patung kat situ? Mai la ambik tepon ni aihhh..."
"Sapa, mak..." Rasa macam hendak menangis semasa dia bertanya.
Takut-takut Erin menghampiri emaknya. Gagang telefon bertukar tangan dan emaknya terus keluar ke halaman depan rumah tanpa menjawab soalan Erin untuk mendapatkan suaminya yang sedang membaca akhbar di situ. Di dalam rumah, Erin dengan tangan yang menggeletar melekapkan corong telefon ke telinganya.
"Hel... helo..."
"Assalamualaikum. Apa khabar, Erin? Sihat?"
"Sam!" Rasa macam hendak pitam dia bila mendengar suara Sam. Mati-mati dia menyangka Badrul yang menelefon. "Mana awak dapat nombor telefon rumah ayah saya ni?"
Bunyi derap kaki membuatkan Erin menoleh. Dia mengerling ke arah ayahnya yang baru sahaja melangkah masuk dari luar dan terus duduk di ruang tamu itu. Akhbar di tangan dibuka lalu dibaca. Emaknya pula menyusul dan duduk di sebelah ayah. Hmm... pelik Erin tengok. Selalunya ayah lebih senang membaca akhbar di laman luar. Umpanlah dengan apa sekalipun, dia takkan masuk punya. Di luar berangin, katanya. Hari ini ayah membaca akhbar di dalam rumah pula. Separuh jalan pula tu. Musykil hati Erin dibuatnya. Dia syak ayah hendak mendengar perbualannya dengan Sam. Dengarlah. Bukannya mereka sembang apa pun.
"Assalamualaikum. Apa khabar, Erin? Sihat?" ulang Sam. Dia tersenyum sendiri. Kalut juga Erin ni. Namun, terubat sudah laranya setelah mendengar suara Erin. Selama empat hari dia dihurung stres rindukan Erin. Sudahlah tidak dapat mendengar suara Erin, dia dapat tahu pula emak dan ayah Erin tidak langsung membawa Erin ke hospital walaupun sudah berhari-hari Erin tidak sedarkan diri. Sam berasa tertekan sangat sebab dia tidak boleh berbuat apa-apa lantaran terikat dengan jadual kerja.
"Wa'alaikumussalam. Sihat alhamdulillah. Dari mana awak dapat nombor telefon rumah ayah saya?" ulang Erin.
"Daripada emak awak."
"Oh..." Erin pandang emaknya pula, yang ketika itu sedang bercakap entah apa-apa fasal negara di sebelah ayah. Erin tahu, emak sedang menyumbatkan lubang telinga ayah dengan suaranya sendiri agar ayah tidak dapat mendengar perbualan Erin dengan Sam. Terima kasih, emak kerana sentiasa memahami diri ini.
"Sam... awak apa khabar?"
"Alhamdulillah, sihat. Ingatkan tadi awak tak sudi tanya khabar saya."
"Saya bukan kejam, ya. Tambah pada orang yang dah selamatkan nyawa saya. Perwira negara pulak tu." Erin mengerlingkan matanya ke atas. Dia tahu Sam hanya mengusiknya sahaja tetapi terkilanlah juga bila ditanya begitu.
"Tahu sangat."
"Tadi tu saya terkejut je. Tak sangka awak ada nombor telefon rumah ayah saya. Tu yang saya terus tanya dari mana awak dapat nombor ni sebab dia memang tak bagi kat orang nombor telefon rumah ni. Untuk emergency aje katanya. Emergency yang macam mana, saya pun tak tahu. Handphone, mak ngan ayah ada sorang sebijik. Siap gantung kat leher lagi takut hilang. Masa tidur pun handphone tergantung kat leher. Sabo ajelah, kan... tapi senang, katanya. Tak payah nak susah-susah bangkit kalau ada orang telefon. Tu fasal sampai sekarang saya tak faham kenapa ayah nak bubuh jugak telefon rumah ni. Hmmm... bila saya fikirkan balik, mungkin inilah relevannya. Untuk awak telefon saya lepas telefon bimbit saya disita." Erin tergelak kecil sambil mengerlingkan mata ke arah orang tuanya. Emak sedang bertanya entah apa pada ayah. Ditunjuk-tunjuknya ke arah surat khabar yang sedang ayah baca. Dan ayah pula, dipandangnya emak dengan muka tidak puas hati. Erin tersenyum. Tercuit hati dengan kerenah emak dan ayahnya yang mengalahkan budak kecil. "Mintak maaf kalau awak terasa hati ya, Sam. Lain kali saya janji saya akan terus tanya khabar awak dulu, ya. Nanti orang ingat kita tak kenang jasa pulak."
Sam tersenyum. Erin kalau dapat bercakap, macam bertih jagung. Di Facebook pun sama. Jangan haraplah hendak mencelah selagi dia belum habis berbicara.
"Bibir tu dah baik, ya?"
"Alhamdulillah." Erin meraba bibir atasnya. Sakitnya sudah hilang, hanya parutnya sahaja yang tinggal. Bila ada duit nanti, dia hendak buat pembedahan plastik untuk memperbaiki kecacatan yang dihadiahkan oleh Badrul itu. Bukan hendak mengubah rupa yang telah dianugerahkan oleh Allah tetapi mengembalikan wajahnya kepada asal. Itu tak apa. Tidak berdosa. "Macam mana awak tahu bibir saya dah baik?"
"Dah banyak cakap balik."
"Ngengadalah awak ni!" marah Erin, termanjakan suaranya tanpa sengaja. "Sam, awak tahu tak saya baru sedar hari ni?" Erin mengadu.
"Tahu. Saya call setiap hari. Emak awak bagi tahu saya keadaan awak. Kenapa tak pergi hospital?"
"Rasanya orang pengsan tak boleh pergi sendiri ke hospital. Tak tahulah pulak kut komando boleh."
"Amboiii... kemain lagi dia kenakan orang, ya! Mentang-mentang dah sihat. Cium mulut tu karang baru tahu!"
"Sam!" Erin hampir terjerit. "Jangan melampau, Sam! Saya masih isteri orang," bisiknya, takut emak dan ayahnya yang tengah bercanda berdua itu dengar.
"Ouch! Sakitnya tuh di sini!" Spontan Sam letakkan tangannya pada dada dan pejamkan mata. Terasa seperti jari-jari Badrul yang berkuku panjang sedang merobek-robekkan hatinya bila dia mendengar kata-kata Erin itu.
"Suka ya dengar lagu tu."
"Tak adalah suka. Tapi bila dah selalu sangat keluar kat radio, dengar jugaklah." Sam mengusap-usap dadanya yang masih terasa perit. "Erin, seriously, kenapa ayah awak tak bawak awak ke hospital?" Sam benar-benar ingin tahu. Tidak faham sebenarnya. Anak tu sakit. Empat hari tak bangun-bangun. Takkanlah tidak terlintas langsung di fikiran untuk membawanya ke hospital? Tidakkah mereka risau?
"Ayah sibuk. Orang lain mana ada. Tinggal emak aje. Emak tak tahu bawak kereta."
"Siapa suruh dia bawak kereta? Pandu aje."
"Sam!" Erin tergelak kecil. Senyumannya meleret.
"Okey, seriously, kenapa tak panggil ambulan je? Boleh panggil ambulan datang ambik dari rumah tau."
"Tak apalah, Sam. Saya dah sedar ni. Dah sihat. Awak jangan risau, tau." Erin rimas disoal begitu. Manalah dia tahu mengapa emak dan ayahnya tidak memanggil ambulan untuknya. Mungkin mereka lihat dia masih bernafas, maka mereka menganggap tidak perlu bagi mereka membawanya ke hospital. Padahal, sakit-sakit pada tubuh badannya masih terasa sehingga kini. Sakitnya masih bersisa. Berbisa.
"Tak boleh macam tu, Erin. Awak kena pergi ke hospital. Buat follow-up treatment. Tengok apa doktor kata. Kalau doktor kata dah sihat, baru saya puas hati."
"Saya dah sihat. Janganlah awak risau. Saya tahulah body saya sendiri. Kita cakap fasal lain, please..."
"Nak cakap fasal apa?" soal Sam. Jujur dia buntu. Hanya kesihatan Erin sahaja yang bermain di fikirannya ketika itu.
"Fasal penyu."
"Erin!"
"Sam!" Erin mengusik, disusuli tawa kecilnya.
"Saya ke sana sekarang. Biar saya bawak awak ke hospital. Kalau tidak, tak tenang hidup saya kat sini." Bengang betul dia kerana Erin main-main pula sedangkan dia stres bagai nak gila memikirkan kesihatan Erin.
"Alaaa... tak payahlah."
"See you soon, my darling!"

"ERIN apa khabar, bro?" Bob duduk berhadapan dengan Sam di meja makan di kedai roti canai Yop Da itu. Dia dengar perbualan antara Sam dengan Erin tadi. Saja dia bertanya lagi untuk membuka bicara.
"Baru sedar pagi ni."
"Lama tu. Empat hari. Dia orang tak bawak ke hospital ke?"
"Tak ada siapa nak bawak. Aziah apa khabar?" soal Sam pula. Sejak balik dari Pulau Pinang, Aziah sering mengelak dari berjumpa dengannya. Jika bertembung pun dia buat-buat tidak nampak sahaja. Buat-buat tidak dengar kalau Sam menegurnya. Marah sangat dia pada Sam.
"Sihat, alhamdulillah."
"Bukan tu maksud aku, bro..."
"Aku tahu, bro. Tapi kau kena faham kau buat salah pada dia. Pada kami. Ikut hati, aku pun malas nak tegur kau lagi."
"Ye ke?" Soalan bernada sinis terlepas dari bibir Sam. Bob tidak mahu menegurnya lagi? Bob?! Boleh kiamat dunia kalau lelaki paling baik di dunia dan paling ramai kawan itu tiba-tiba sahaja memutuskan tali silaturrahim!
"Kau ingat aku tak sakit hati ke? Sakit ooo... nak aje aku tutuh muka kau tapi aku masih ada iman. As for my bini, bagi masa untuk dia cool down. Dah sejuk esok, dia tegurlah kau."
"Yalah, bro. Kau mesti tahu perangai bini kau macam mana." Sam bangun.
"Eh, kau nak ke mana pulak ni? Bukan off ke hari ni? Duduklah dulu... sembang-sembang dengan aku sambil teman aku makan."
"Aku nak ke Penang. Nak bawak Erin ke hospital."
"Sam..."
"Aku tahu dia ada suami tapi kat mana suami dia sekarang?" Sam pandang Bob. "Kat mana?"
Bob jongketkan bahunya. Manalah dia tahu di mana Badrul berada!

BADRUL buka mata selepas mendengar dua orang jururawat yang masuk untuk memeriksa keadaannya tadi, keluar dari bilik wad itu. Sengaja dia pura-pura tidur agar dia sendiri tidak hilang sabar terhadap mereka, yang terang-terangan menganggapnya sebagai musuh yang terpaksa dilayan dengan baik semata-mata kerana mereka berpegang teguh pada etika kerja. Kalau tidak, kata mereka lagi, memang tidak kuasa mereka bagi muka padanya!
'Aku ni musuh, ya... . Korang sedar tak, orang yang korang anggap musuh nilah yang akan bayar gaji korang yang tak seberapa tu bulan ni. Pegang pada etika kerja, konon! Heh, kalau korang tak ikhlas buat kerja korang, duit yang korang dapat tu duit haram, korang tahu tak? Haram!'
Meluap-luap rasa marah dalam dada Badrul bila mendengar pengakuan berani mati dua orang jururawat yang menyangka dia tidur tadi. Mahu sahaja dia menjerit dan menghamburkan kemarahannya kepada mereka, namun dia sedar kemarahan hanya akan merugikannya. Akan menyebabkan dia disuntik dengan ubat tidur sedangkan dia perlu berada dalam keadaan sedar untuk memikirkan cara bagi melepaskan diri dari kawalan pihak polis dan juga hospital itu. Dia terpaksa melakukan segala-galanya bersendirian sekarang. Telefon bimbitnya telah dirampas, menyukarkannya menghubungi kaki-kakinya di luar sana.
Daripada perbualan kedua-dua orang jururawat itu tadi, barulah Badrul dapat tahu sebab sebenar dia menjadi tawanan pihak berkuasa. Barulah dia tahu, dua daripada lapan orang lelaki yang diupahnya untuk membunuh Sam dan Erin, telah terkorban dalam adegan kejar-mengejar SUV Sam empat hari yang lalu.
Well... Badrul menjongketkan bahunya. Sedikit pun dia tidak berasa sedih. Kesal... jauh sekali. Hendak buat macam mana? Sudah takdir mereka mati dalam keadaan itu. Apa yang hendak disedihkan? Budak-budak itu pun memang tahu risiko yang perlu mereka hadapi semasa memilih kerjaya tersebut. Nak sedih apanya?
Yang enam orang lagi sudah menghilangkan diri. Memang itulah prosedur mereka; jadi 'hantu' sehingga keadaan kembali tenang. Bila pasti mereka tidak lagi menjadi buruan pihak berkuasa, barulah mereka muncul semula. Dan mereka akan mengganas lebih dahsyat daripada sebelumnya.
Begitu juga dengan Badrul. Dia juga akan mengganas sebaik sahaja berjaya meloloskan diri dari kongkongan pihak berkuasa. Dia akan menyusun rancangan untuk membuatkan Erin dan Sam menyesal kerana memporak-perandakan hidupnya. Erin dan Sam akan dibiarkan hidup bahagia sehingga mereka alpa. Sehingga mereka menyangka mereka sudah selamat dari malapetaka. Semasa itulah Badrul akan melancarkan serangan terhadap mereka. Badrul akan pastikan serangan itu tiada cacat celanya. Yang bakal cacat, mungkin Erin. Mungkin juga Sam. Dicacatkan fizikal mereka sebelum dibunuh.
Badrul tersenyum senget. Suka hatinya bila memikirkan tentang kematian menyakitkan yang bakal dirasai oleh kedua-dua orang yang telah menghancurkan hidupnya itu.
Seorang jururawat pelatih masuk ke dalam bilik itu dengan tiba-tiba. Badrul tidak sempat memejamkan matanya. Pandangan mereka bertaut. Lama. Akhirnya, jururawat pelatih itu meredupkan kelopak matanya sambil tersenyum malu. Pipinya memerah semasa dia menghampiri Badrul.
Senyuman Badrul melebar bila satu idea yang sangat bernas melintas dalam benak fikirannya.

USAI bercakap dengan Sam, Erin kembali ke bilik tidur yang ditumpanginya untuk mengemas bilik itu. Hatinya gundah. Mesti heboh satu kampung kalau Sam datang dan membawanya ke hospital. Orang kampung peduli apa dengan niat Sam datang ke situ. Yang mereka nampak, Erin menaiki kereta dengan seorang lelaki yang bukan suaminya. Nama emak dan ayah macam mana? Namanya sendiri, Erin tidak kisah sangat. Fitnah sudah menjadi teman baiknya sejak dia anak dara lagi. Emak dan ayah, mereka yang Erin risaukan. Mereka bukan muda lagi. Jiwa mereka tidak sekental dahulu.
Namun begitu, Erin mengakui hatinya meronta-ronta hendak berjumpa dengan Sam. Ada rasa rindu pada lelaki itu. Risau Erin memikirkan perasaan yang terbit tanpa sengaja itu. Berdosa besar merindui lelaki lain sedangkan dia masih bersuami. Ya Allah... takutnya dia pada bala yang akan menimpa.
Oi, Erin! Hang belek sikit laki hang tu. Dia tu baik ka? Kalau hang kata dia baik, hang pi tengok balik muka hang kat cermin. Laki yang baik dia tak seksa bini macam dia seksa hang. Laki yang baik tak upah orang suruh bunuh bini dia.
Hukum agama tetap kena pegang walau dalam keadaan apa sekalipun.
Allah tak kejam, oii... Allah hantaq Sam sebab dia nak tolong hang keluaq dari hidup hang la ni. Selama ni hang taat pada laki hang. Tapi dia tetap buat macam-macam kat hang. Hang sabaq. Hang mintak Allah tolong hang. Dah Allah huloq pertolongan, hang banyak songeh pulak!
Aku tetap bini dia la oiii... walau jahat macam mana sekalipun dia, aku masih bini dia. Mana boleh aku buat ikut suka hati aku ja!
Hang masih bini dia ka? Bukan ka dia selalu kata, kalau hang keluaq rumah tanpa izin dia, jatuh talak satu.
Terkedu Erin bila dia teringatkan ugutan Badrul itu. Terhenti tangannya yang sedang melipat selimut. Sudah jatuhkah talak atasnya? Macam mana dia hendak pastikan? Pada siapa dia hendak bertanya?
"Ai... awat termenung pulak tu?"
Erin terkejut lantas menoleh. "Mak! Apa habaq? Sihat ka?"
"Weh, hang ni. Kalut pasaipa? Hang ingat kat sapa?"
"Takdak la, mak. Cek terkejut ja tadi."
"Mbohong aih! Hang teringat kat budak yang tepon hang tadi tu ka?"
"Pasaipa cek nak teringat kat dia pulak, mak? Dia kawan cek ja."
"Hang toksah mbohong kat mak lagu tu aih, Erin. Mak ni bukannya adik hang."
"Betoi la, mak... kami takdak apa-apa."
"Habih tu, awat yang hari-hari dia tepon tanya pasai hang?"
"Kawan ja, mak. Kami kawan baik. Kebetulan dia tu lelaki. Pompuan kalu, mak tak kecoh macam ni, kan? Tapi dia memang baik dengan semua orang, mak. Polis, kan..." Erin cuba menghilangkan curiga dalam fikiran emaknya.
"Ada jugak polis lagu tu, naa..."
"Ni sat lagi dia nak mai."
"Buatpa pulak?" Emak Erin menoleh laju. Terkejut. Sesaat tadi dia hampir percaya pada penjelasan Erin. Kini, curiganya muncul semula.
"Nak bawak cek pi rumah sakit."
"Pasaipa pulak dia nak bawak hang?" Emak Erin duduk di atas katil yang baru ditegangkan cadarnya. Matanya tajam merenung ke arah Erin. Curiga, risau... semuanya ada. Melompat lagilah bapak Erin nanti bila nampak budak Sam itu datang ke situ. Bapak Erin yakin sangat Erin bermain kayu tiga dengan Sam di belakang Badrul. Sebab itulah Badrul mengamuk dan membelasah Erin.
"Mak... dia nak tolong ja. Cek takdak kereta nak pi sendiri. Mak... tak mau la tengok cek pelik lagu tu aih..."
"Mau tak pelik! Dia sanggup mai dari Ipoh semata-mata nak bawak hang ke rumah sakit." Emak Erin memperlahankan suaranya, tidak mahu suaminya yang berada di ruang tamu mendengar.
Erin menjongketkan bahunya, tidak tahu macam mana hendak menjawab soalan emak. Sam sangguplah tu. Kalau tidak, takkan dia datang. Tetapi memang nampak sangatlah, kan...
Memang nampak jelaih, aih! Kalau dia dok kat belah Bagan pun orang dah syak bukan-bukan, inikan pulak dok Ipoh.
"Hang habag betoi-betoi kat mak ni, Erin. Badrul pukoi hang sebab hang berkawan dengan budak Sam tu ka?"
"Dak aih, mak. Badrul..." Macam mana nak cakap pada emak, ya? Kalau Erin bercerita, maknanya dia memburukkan suami sendiri. Tak cerita, emak akan bertanya macam-macam selagi tidak puas hati. "Mak ingat dak kes dia kena pukoi hari tu?"
"Sapa kena pukoi?"
"Badrul la... dua tahun lepaih. Kan dia kena belasah sampai kena dok dua minggu kat rumah sakit. Mak ingat dak?"
"Hat yang dia kena rompak tu?"
"Haa laa... hat tu la..."
"Ingat la. Awatnya? Apa kena-mengena dengan dia pukoi hang?"
"Lepaih dia keluaq hospital, dia kena kencing manih, darah tinggi dan lemah jantung."
"Tu kaaa?" Berpusing-pusing mata hitam emak Erin, cuba memahami cakap anaknya itu. "Tapi... takkan pasai tu dia pukoi hang?"
"Sat la, mak... cek belum habih cerita lagi ni." Erin berdeham-deham untuk melancarkan suaranya. "Lepaih tu doktor habag dia kena Post Traumatic Stress Disorder. Dia trauma. Doktor habag, cek kena bersabaq banyak-banyak dengan dia sebab perangai dia takkan sama lagi dah dengan dia yang hat dulu."
"Tak sama lagu mana?"
"Dia jadi macam tak betoi sikit."
Erin melepaskan keluhan kecil sebelum bercerita tentang bagaimana Badrul tidak mengizinkannya membuka langsir dan tingkap rumah mereka selepas suaminya itu dibenarkan balik dari hospital. Badrul takut orang yang membelasahnya tahu di mana dia tinggal. Takut mereka datang untuk menyerangnya lagi. Sampai satu tahap, Erin tidak dapat membezakan hari siang dengan hari malam sebab Badrul tidak membenarkannya keluar rumah selama dua bulan. Selak langsir pun tidak boleh. Mujur stok makanan mereka banyak. Kalau tidak, sudah mati kebuluran agaknya mereka berdua di dalam rumah itu.
Semua lampu di dalam rumah mereka dan peti televisyen wajib dipasang 24 jam. Erin pula dipaksa duduk di mana Badrul mahu dia duduk kecuali semasa Erin perlu memasak. Ke bilik air pun Badrul hendak ikut. Seksa berbalah dengan Badrul semasa itu. Sudahlah perut memulas, Badrul pula buat hal hendak ikut masuk sama ke dalam tandas.
Selalunya Erin disuruh duduk di ruang tamu. Di situlah dia memerhati Badrul berkawat di dalam rumah setiap hari, dari pintu hadapan rumah mereka hinggalah ke pintu dapur. Sejam sehari Badrul berkawat. Ada sekali dua Badrul berkawat dari pagi sampai ke petang. Bila Erin tanya, Badrul kata dia terlalu stres. Dia takut. Kalau dia duduk diam, dia rasa macam ada orang yang akan datang ke rumah mereka dan membelasahnya.
Setiap kali ada kereta berhenti di hadapan rumah mereka, Badrul akan panik. Terintai-intai di sebalik langsir. Bila kereta itu pergi, Badrul akan menarik tangan Erin masuk ke dalam bilik tidur. Berpelukanlah mereka di dalam quilt di atas katil sehingga kedua-duanya terlena. Pernah sekali Badrul mengigau dan menumbuk mata Erin sehingga lebam dan biru. Selepas tumbuk, Badrul lari. Bila sampai di pintu bilik, barulah Badrul sedar orang yang ditumbuknya itu adalah isterinya sendiri, bukan penjahat yang cuba membunuhnya dalam mimpinya.
Berkat sabar, berkat bantuan daripada doktor yang menjadi tempat rujukannya, Erin berjaya memujuk Badrul supaya keluar dari rumah itu untuk menemui pakar sakit jiwa. Selepas pemeriksaan, doktor pakar itu mengesahkan bahawa Badrul mengalami trauma yang sangat teruk. Namun, trauma itu boleh dipulihkan melalui ubat dan juga sesi kaunseling. Oleh sebab hendak sihat, Badrul bersetuju mengikut kehendak doktor pakar itu. Dua minggu sekali dia dan Erin pergi berjumpa dengan doktor pakar tersebut. Ubat-ubat yang terpaksa dimakan setiap hari ada dua belas jenis, termasuk ubat untuk penyakit tiga serangkai yang turut hinggap selepas dia tidak menjaga makan dan minumnya dengan baik. Erin sedih. Badrul lagilah sedih, terutamanya apabila dia dapati kesan sampingan daripada ubat yang diambilnya itu telah membuatkan dia tidak lagi mampu memberikan nafkah batin kepada Erin.
Sejak itu dia menjadi seorang yang pemarah. Semakin dia sihat, semakin melampau kemarahan yang ditunjukkannya. Dia mula memukul Erin. Menghina dan mencerca Erin. Kata-kata menyakitkan digunakan untuk melukakan hati Erin, membuatkan Erin mengasingkan diri dari masyarakat dan dari kehidupan normal yang dilaluinya sebelum ini kerana terlalu malu untuk menghadap dunia dengan muka yang tidak lagi serupa manusia. Tidak cukup dengan itu, Badrul mula menyimpan perempuan. Empat orang semuanya. Kering tasik air mata Erin dibuatnya kerana menangis mengenangkan perbuatan si suami. Untuk memujuk hati, Erin katakan pada diri sendiri; tak payah nak sedih sangat aih, Erin. Bukannya dia boleh buat apa pun. Sembang aje la kut dengan pompuan-pompuan tu. Habih-habih pun kissing ja la. Lantak pi la kat dia. Dia nak buktikan kat semua yang dia masih macho la tu. Masih jantan. Padahai...
Sejak hari itu kata hati menjadi penemannya berbicara. Pada siapa lagi dia hendak mengadu? Pada kawan-kawan? Kawan-kawannya adalah isteri kepada kawan-kawan Badrul. Mahukah mereka percaya? Mampukah mereka menyimpan rahsia? Lalu rahsia itu disimpannya sendiri selama dua tahun, sehinggalah ke hari dia diselamatkan oleh Sam lima hari yang lalu.

TERNGANGA mulut emak Erin mendengar cerita anaknya. Ranjau yang terpaksa Erin lalui itu tidak terjangkau dek akalnya, namun sedetik pun hatinya tidak meragui kebenarannya. Kesengsaraan yang Erin simpan selama ini, terserlah pada air mukanya semasa dia bercerita.
"Awat la hang tak habag kat mak?"
"Cek takut mak tak percaya kat cek," balas Erin.
Spontan emaknya menarik Erin lalu merangkul tubuh badan anaknya itu. Dua beranak itu berpelukan. Menangis. Lama mereka teresak-esak sambil mendakap satu sama lain. Erin rasa seluruh masalah yang membebaninya selama ini, terangkat sudah. Apa tidaknya, sudah tiada lagi rahsia yang terpaksa disorok dari pengetahuan emaknya. Dan dia tidak perlu lagi berpura-pura bahagia di hadapan emak dan ayahnya.
"Mak," Erin melepaskan pelukan, "cek nak tanya satu benda."
"Tanya pi la..."
"Badrul... dia tak bagi cek keluaq rumah tanpa izin dia. Kalau cek keluaq jugak..." Erin teragak-agak untuk meneruskan bicara. Terasa perit dalam hatinya untuk melafazkan kata-kata yang sering bermain di bibir Badrul.
"Awat? Habag mai, Erin... kalau hang keluaq jadi apa?" tanya emak Erin. Dalam hati dia sudah dapat meneka ayat yang sedang Erin karang dalam kepala. Cuma dia hendak mendengar ayat itu keluar dari mulut Erin sendiri.
"Hurmmm... dia... dia kata kalau cek keluaq jugak dari rumah tu, tak kiralah apa sebabnya, jatuh talak." Erin redupkan kelopak matanya. Menggeletar seluruh tubuh badannya menahan perasaan. "Hari yang depa bawak cek balik ke sini tu, pagi tu cek keluaq rumah. Pi rumah sakit. Badrul tak tau cek keluaq sebab cek tak habaq kat dia. Kalau habaq, cek tau dia takkan bagi cek pi. Tapi, mak... masa tu cek satu badan sakit, mak oi... . Luka kat bibiaq ni dah menanah dah." Erin sentuh bibirnya atasnya yang berparut. "Cek terpaksa keluaq rumah. Jadi, cek nak tau... la ni cek masih isteri dia ka idak lagi, mak?"
Langsir pintu bilik itu tiba-tiba diselak dari luar, mengejutkan Erin dan emaknya. Ayah Erin tercegat berdiri di situ, merenung ke arah Erin dengan wajah yang tidak dapat ditafsirkan.
"Dak dah. Talak hang dah jatuh!" kata ayah Erin.

Continue Reading

You'll Also Like

87.7K 1.4K 26
"You play the game, and I'll determine if you score." Pasangan kekasih yang berpisah suatu ketika dahulu kembali bertemu apabila para sahabat mereka...
45.3K 1.8K 43
Dalam dunia ni, cinta adalah satu permainan. kau adalah pemainnya. kalau kau bijak ambil langkah, maka cinta tu milik kau. kalau kau kecundang...
1.5M 56.8K 43
1st Tengku the Series Cover: @Marleneith Berlakunya satu insiden yang melibatkan gadis bermulut murai iaitu Eirene Anfisa membuatkan Tengku Ferhad Ma...
20.7K 1.5K 15
Carlene Edora yang mempunyai trust issue dengan lelaki jadi benci dengan kaum itu. Bila bekas teman lelakinya curang di belakang dia 100 % dia tidak...