7

4.5K 82 1
                                    

INGATKAN pagi itu dia hendak bermalas-malasan sahaja di atas katil sementara belum sibuk tetapi terpaksa dia batalkan hasratnya itu apabila namanya dijerit berkali-kali oleh emaknya dari ruang tamu.
"Sat... sat... mak. Cek tengah simpan katil ni."
"Ooo... Erin!"
"Laaa... mak ni... awat hingaq sangat pagi ni? Sat, mak... cek simpan katil ni sat."
"Erin oiii! Mai keluaq sat."
"Allah, mak ni... kalut sungguh la..." Erin tinggalkan selimut yang tidak sempat dilipat di atas katil dan bergegas ke pintu bilik.
"Awatnya, mak? Cek dengaq dah tadi. Simpan katil dulu. Awatnya?" Erin menjenguk dari balik langsir pintu bilik yang diselaknya.
"Ni hah. Ada tepon untuk hang."
Langsung kering darah dari muka Erin.
"Sapa?" soalnya dengan nada suara yang sangat perlahan. Dia masih berdiri di pintu bilik tidur yang ditumpanginya itu. Mukanya jatuh. Nampak sangat dia takut.
"Awat yang hang tegak macam patung kat situ? Mai la ambik tepon ni aihhh..."
"Sapa, mak..." Rasa macam hendak menangis semasa dia bertanya.
Takut-takut Erin menghampiri emaknya. Gagang telefon bertukar tangan dan emaknya terus keluar ke halaman depan rumah tanpa menjawab soalan Erin untuk mendapatkan suaminya yang sedang membaca akhbar di situ. Di dalam rumah, Erin dengan tangan yang menggeletar melekapkan corong telefon ke telinganya.
"Hel... helo..."
"Assalamualaikum. Apa khabar, Erin? Sihat?"
"Sam!" Rasa macam hendak pitam dia bila mendengar suara Sam. Mati-mati dia menyangka Badrul yang menelefon. "Mana awak dapat nombor telefon rumah ayah saya ni?"
Bunyi derap kaki membuatkan Erin menoleh. Dia mengerling ke arah ayahnya yang baru sahaja melangkah masuk dari luar dan terus duduk di ruang tamu itu. Akhbar di tangan dibuka lalu dibaca. Emaknya pula menyusul dan duduk di sebelah ayah. Hmm... pelik Erin tengok. Selalunya ayah lebih senang membaca akhbar di laman luar. Umpanlah dengan apa sekalipun, dia takkan masuk punya. Di luar berangin, katanya. Hari ini ayah membaca akhbar di dalam rumah pula. Separuh jalan pula tu. Musykil hati Erin dibuatnya. Dia syak ayah hendak mendengar perbualannya dengan Sam. Dengarlah. Bukannya mereka sembang apa pun.
"Assalamualaikum. Apa khabar, Erin? Sihat?" ulang Sam. Dia tersenyum sendiri. Kalut juga Erin ni. Namun, terubat sudah laranya setelah mendengar suara Erin. Selama empat hari dia dihurung stres rindukan Erin. Sudahlah tidak dapat mendengar suara Erin, dia dapat tahu pula emak dan ayah Erin tidak langsung membawa Erin ke hospital walaupun sudah berhari-hari Erin tidak sedarkan diri. Sam berasa tertekan sangat sebab dia tidak boleh berbuat apa-apa lantaran terikat dengan jadual kerja.
"Wa'alaikumussalam. Sihat alhamdulillah. Dari mana awak dapat nombor telefon rumah ayah saya?" ulang Erin.
"Daripada emak awak."
"Oh..." Erin pandang emaknya pula, yang ketika itu sedang bercakap entah apa-apa fasal negara di sebelah ayah. Erin tahu, emak sedang menyumbatkan lubang telinga ayah dengan suaranya sendiri agar ayah tidak dapat mendengar perbualan Erin dengan Sam. Terima kasih, emak kerana sentiasa memahami diri ini.
"Sam... awak apa khabar?"
"Alhamdulillah, sihat. Ingatkan tadi awak tak sudi tanya khabar saya."
"Saya bukan kejam, ya. Tambah pada orang yang dah selamatkan nyawa saya. Perwira negara pulak tu." Erin mengerlingkan matanya ke atas. Dia tahu Sam hanya mengusiknya sahaja tetapi terkilanlah juga bila ditanya begitu.
"Tahu sangat."
"Tadi tu saya terkejut je. Tak sangka awak ada nombor telefon rumah ayah saya. Tu yang saya terus tanya dari mana awak dapat nombor ni sebab dia memang tak bagi kat orang nombor telefon rumah ni. Untuk emergency aje katanya. Emergency yang macam mana, saya pun tak tahu. Handphone, mak ngan ayah ada sorang sebijik. Siap gantung kat leher lagi takut hilang. Masa tidur pun handphone tergantung kat leher. Sabo ajelah, kan... tapi senang, katanya. Tak payah nak susah-susah bangkit kalau ada orang telefon. Tu fasal sampai sekarang saya tak faham kenapa ayah nak bubuh jugak telefon rumah ni. Hmmm... bila saya fikirkan balik, mungkin inilah relevannya. Untuk awak telefon saya lepas telefon bimbit saya disita." Erin tergelak kecil sambil mengerlingkan mata ke arah orang tuanya. Emak sedang bertanya entah apa pada ayah. Ditunjuk-tunjuknya ke arah surat khabar yang sedang ayah baca. Dan ayah pula, dipandangnya emak dengan muka tidak puas hati. Erin tersenyum. Tercuit hati dengan kerenah emak dan ayahnya yang mengalahkan budak kecil. "Mintak maaf kalau awak terasa hati ya, Sam. Lain kali saya janji saya akan terus tanya khabar awak dulu, ya. Nanti orang ingat kita tak kenang jasa pulak."
Sam tersenyum. Erin kalau dapat bercakap, macam bertih jagung. Di Facebook pun sama. Jangan haraplah hendak mencelah selagi dia belum habis berbicara.
"Bibir tu dah baik, ya?"
"Alhamdulillah." Erin meraba bibir atasnya. Sakitnya sudah hilang, hanya parutnya sahaja yang tinggal. Bila ada duit nanti, dia hendak buat pembedahan plastik untuk memperbaiki kecacatan yang dihadiahkan oleh Badrul itu. Bukan hendak mengubah rupa yang telah dianugerahkan oleh Allah tetapi mengembalikan wajahnya kepada asal. Itu tak apa. Tidak berdosa. "Macam mana awak tahu bibir saya dah baik?"
"Dah banyak cakap balik."
"Ngengadalah awak ni!" marah Erin, termanjakan suaranya tanpa sengaja. "Sam, awak tahu tak saya baru sedar hari ni?" Erin mengadu.
"Tahu. Saya call setiap hari. Emak awak bagi tahu saya keadaan awak. Kenapa tak pergi hospital?"
"Rasanya orang pengsan tak boleh pergi sendiri ke hospital. Tak tahulah pulak kut komando boleh."
"Amboiii... kemain lagi dia kenakan orang, ya! Mentang-mentang dah sihat. Cium mulut tu karang baru tahu!"
"Sam!" Erin hampir terjerit. "Jangan melampau, Sam! Saya masih isteri orang," bisiknya, takut emak dan ayahnya yang tengah bercanda berdua itu dengar.
"Ouch! Sakitnya tuh di sini!" Spontan Sam letakkan tangannya pada dada dan pejamkan mata. Terasa seperti jari-jari Badrul yang berkuku panjang sedang merobek-robekkan hatinya bila dia mendengar kata-kata Erin itu.
"Suka ya dengar lagu tu."
"Tak adalah suka. Tapi bila dah selalu sangat keluar kat radio, dengar jugaklah." Sam mengusap-usap dadanya yang masih terasa perit. "Erin, seriously, kenapa ayah awak tak bawak awak ke hospital?" Sam benar-benar ingin tahu. Tidak faham sebenarnya. Anak tu sakit. Empat hari tak bangun-bangun. Takkanlah tidak terlintas langsung di fikiran untuk membawanya ke hospital? Tidakkah mereka risau?
"Ayah sibuk. Orang lain mana ada. Tinggal emak aje. Emak tak tahu bawak kereta."
"Siapa suruh dia bawak kereta? Pandu aje."
"Sam!" Erin tergelak kecil. Senyumannya meleret.
"Okey, seriously, kenapa tak panggil ambulan je? Boleh panggil ambulan datang ambik dari rumah tau."
"Tak apalah, Sam. Saya dah sedar ni. Dah sihat. Awak jangan risau, tau." Erin rimas disoal begitu. Manalah dia tahu mengapa emak dan ayahnya tidak memanggil ambulan untuknya. Mungkin mereka lihat dia masih bernafas, maka mereka menganggap tidak perlu bagi mereka membawanya ke hospital. Padahal, sakit-sakit pada tubuh badannya masih terasa sehingga kini. Sakitnya masih bersisa. Berbisa.
"Tak boleh macam tu, Erin. Awak kena pergi ke hospital. Buat follow-up treatment. Tengok apa doktor kata. Kalau doktor kata dah sihat, baru saya puas hati."
"Saya dah sihat. Janganlah awak risau. Saya tahulah body saya sendiri. Kita cakap fasal lain, please..."
"Nak cakap fasal apa?" soal Sam. Jujur dia buntu. Hanya kesihatan Erin sahaja yang bermain di fikirannya ketika itu.
"Fasal penyu."
"Erin!"
"Sam!" Erin mengusik, disusuli tawa kecilnya.
"Saya ke sana sekarang. Biar saya bawak awak ke hospital. Kalau tidak, tak tenang hidup saya kat sini." Bengang betul dia kerana Erin main-main pula sedangkan dia stres bagai nak gila memikirkan kesihatan Erin.
"Alaaa... tak payahlah."
"See you soon, my darling!"

Takkan Ku Lepaskan DiaWhere stories live. Discover now