5

5.4K 99 0
                                    

UMPAMA kilat Sam bergerak; memutuskan panggilan, capai tangan Erin dan menarik cinta hatinya itu keluar dari bilik tidur itu dengan segera. Dia tidak perlu bertanya apa-apa lagi. Daripada suara Bob sahaja dia sudah tahu bahaya yang sedang mara. Dia tidak risau tentang dirinya sendiri. Dia komando! Salah seorang anggota grup elit yang paling digeruni oleh pihak musuh. Mereka memang dilatih untuk menjaga keselamatan diri sendiri tetapi Erin perlukan perlindungannya.
Sam berikrar dalam hati bahawa dia akan melindungi Erin dari kejahatan manusia dan kejahatan dunia selagi hayatnya masih ada.
Erin paksa kakinya yang sudah longlai melangkah laju. Separuh daripada semangatnya sudah hilang sebaik sahaja dia mendengar amaran keras dalam suara Bob tadi. Risau hatinya memikirkan tentang bahaya yang sedang menunggu mereka di luar sana. Di fikirannya hanya ada satu sahaja; Badrul sudah balik. Badrul sudah sedar dari pengsan dan balik ke rumah!
Matilah aku... matilah... tangis hati Erin.
Walaupun Sam ada bersamanya tetapi jika Badrul balik ke rumah itu, Sam tidak boleh berbuat apa-apa kerana Erin terpaksa akur pada perintah Badrul. Dia tidak tahu bagaimana hendak mengingkari kehendak Badrul jika suaminya itu ada bersamanya. Sudah terlalu lama dia mengajar diri agar menjadi isteri yang mendengar kata. Dia mahu mencari keredaan suaminya. Jika Badrul reda, mudah baginya masuk syurga. Itulah matlamatnya. Namun, sekarang matlamatnya sudah bertambah. Selain masuk syurga, dia juga mahu hidup dan mahu melarikan diri dari cengkaman Badrul!
Tangan Sam digenggam semakin erat. Ketakutan yang terlampau membuatkan dia terlupa batas aurat.
Sambil melangkah Sam memantau keadaan di dalam rumah itu dengan teliti, bersedia menghadapi musuh yang melompat keluar dari tempat persembunyian untuk menyerang mereka tetapi perjalanan mereka menuju ke pintu masuk ke ruang tamu lancar, tidak diganggu oleh sesiapa. Mereka berhenti dahulu di tepi pintu itu. Sam mengintai sekeliling dengan teliti. Setelah pasti tidak ada sesiapa di situ, Sam meminta Erin menunggu di balik dinding itu sementara dia pergi ke pintu utama yang terbuka luas untuk memeriksa keadaan di luar pula. Erin berkeras mahu ikut. Takut ditinggalkan bersendirian. Tangan Sam enggan dilepaskannya.
"Sekejap! Boleh?" tegas Sam. Terkilan hatinya bila melihat wajah Erin berubah. Dia terpaksa berkasar. Dalam suasana tegang itu keselamatan Erin lebih utama daripada hati Erin. Setelah selamat nanti, dia akan pujuk Erin.
Dengan berat hati Erin melepaskan genggaman dan membiarkan Sam meninggalkannya. Dia bersandar pada dinding sambil memeluk diri sendiri. Kepala didongakkan ke atas. Mata yang sudah berkaca meliar pada siling. Ketakutan yang dirasai benar-benar melumpuhkan. Beberapa kali tubuhnya hampir melurut ke lantai. Jenuh semangatnya diseru agar terus kuat.
Aku habag dah... habag dah tadi tapi hang yang ketegaq! Kalau hang keluaq masa aku suruh hang keluaq tadi, dah ataih jalan dah hangpa tau dak? La... tak tau la apa nak jadi kat hangpa.
Erin pejam mata, menyesali kebodohan diri. Mulutnya terkumat-kamit berdoa, memohon bantuan daripada Ilahi. Dia belum mahu mati lagi. Tolonglah, ya Allah... dia masih belum mahu mati lagi.
Di ruang tamu, Sam bergerak tangkas. Sedikit pun dia tidak membuat bunyi. Dia berdiri di sebelah kanan pintu yang terbongkang luas itu, memantau keadaan kawasan sebelah kiri luar rumah itu. Kemudian dia ke sebelah kiri pula, melakukan pemantauan yang serupa untuk kawasan di sebelah kanan. Tidak ada sesiapa yang dilihatnya di luar rumah itu, namun tidak bermakna mereka sudah selamat. Orang yang berniat jahat tidak akan terus menerjah ke arah mangsa. Mereka akan memerhati mangsa dari jauh terlebih dahulu. Apabila mereka sudah arif dengan selok-belok mangsa serta suasana keadaan sekeliling mangsa, setelah mereka pasti peluang untuk menewaskan mangsa lebih besar berbanding dengan peluang mereka sendiri tertewas di tangan mangsa, barulah mereka bertindak.
"Jom. Sekarang!" kata Sam setelah dia kembali mendapatkan Erin. Tangan Erin dipegangnya semula. Semakin dikejapkan genggaman untuk menenangkan Erin yang dirasakannya terlalu gementar. Tangan Erin sejuk. Seluruh tubuh Erin menggeletar.
Mereka melangkah laju menuju ke pintu utama.
"Eh, Sam! Fail saya. Fail saya! Fail tu penting!" Erin terjerit kecil apabila melihat Sam tidak berhenti untuk mengambil enam buah fail yang diletakkannya berhampiran dengan pintu masuk itu.
Tanpa sepatah kata Sam membongkok dan dengan sekali kaut sahaja, semua fail Erin berada dalam pelukannya. Meskipun situasi yang mereka hadapi sangat genting, namun untuk menghampakan hati Erin memang tidaklah. Enam buah fail itu nampaknya penting bagi Erin. Apa sahaja yang penting bagi Erin adalah penting bagi Sam. Apa sahaja!
Erin yang melihat tindakan Sam itu langsung berasa terharu. Sam tidak langsung membantah atau memarahinya kerana melengahkan pergerakan mereka. Tidak seperti Badrul. Benda yang kecil pun hendak marah. Terasa mengada-ngada pula kerana mementingkan fail-fail itu daripada nyawa Sam dan nyawanya sendiri. Segala dokumen yang ada di dalam fail-fail itu boleh dibeli semula penduanya tetapi nyawa mereka bukannya ada salinan dan dijual di mana-mana. Erin membuka mulut untuk meminta Sam meletakkan semula fail-fail itu di lantai. Biarlah. Tinggalkan...
"Ikut rapat di belakang saya," arah Sam, kembali mengingatkan Erin tentang situasi tegang yang sedang mereka hadapi. Langsung Erin katupkan mulutnya semula.
Mereka melangkah keluar. Erin menutup daun pintu, bimbang rumah itu akan dicerobohi penyamun semasa ketiadaannya dan Badrul. Dia tidak mahu menambahkan kesusahan Badrul.
Dia nak bunuh hang pun hang masih pikiaq pasai dia, noo...
Erin abaikan lintasan fikirannya itu. Renungan tidak puas hati Sam pun dia abaikan. Biarlah Badrul hendak bunuh dia atau mendera dia, yang penting dia tetap berpegang teguh pada pendiriannya. Dan logik akalnya. Manusia yang tidak berpendirian adalah manusia yang hanyut dan tidak punya arah tujuan dalam hidup.
Akur dengan arahan Sam tadi, Erin berjalan rapat di belakang lelaki itu, tersorok dari pandangan orang yang berada di luar sana. Tangannya ditekapkan pada badan Sam agar mereka tidak terpisah. Semasa itulah dia menyedari Sam membawa senjata api, yang diselitkan pada pinggang seluar jean dan disembunyikan oleh baju-T yang dipakainya. Hati Erin berdebar semakin laju. Seingatnya, di hospital tadi senjata api itu tidak ada di situ tetapi entahlah. Mungkin dia yang tidak perasan.
Dengan pantas mereka menuju ke pintu pagar rumah. Bunyi enjin kenderaan yang kedengaran semakin lama semakin kuat membuatkan Sam memperlahankan langkah. Berwaspada. Namun setelah mengenali bunyi enjin SUV sendiri, dia kembali bergerak laju. Toyota Hilux hitam muncul mendadak dan berhenti mengejut di hadapan pintu pagar. Enjinnya tidak dimatikan. Pintu penumpang hadapan serta belakang terlayang dibuka oleh Bob dan Aziah dari dalam.
"Cepat naik!" arah Sam dengan tegas kepada Erin sambil memantau jalan di sebelah kanannya. Trafik dari arah kiri diserahkan kepada Bob dan Aziah. Kepala kedua-duanya bergerak mengekori lontaran mata mereka, memerhati dan cuba mengecam pihak musuh yang tidak dikenali.
Sekali lagi Erin abaikan renungan Sam semasa dia menyelak pintu pagar rumah itu. Selepas itu barulah dia memanjat masuk ke dalam Toyota Hilux itu. Dia ternampak senjata api yang Aziah sembunyikan di bawah pahanya. Erin semakin takut. Duduk sahaja dia, Sam terus menyerahkan enam buah fail itu kepadanya, menyuruhnya meletakkan fail-fail itu di bahagian belakang SUV itu sebelum menutup pintu tempat duduk belakang. Selepas itu Sam masuk ke tempat duduk penumpang hadapan. Sebelum masuk ke dalam SUV itu, Erin nampak Sam mengeluarkan senjata apinya dari selitan seluar jeannya. Nafasnya Erin tarik dalam-dalam. Cuak.
Bob memandu Toyota Hilux itu meninggalkan rumah Erin.
"Motor? Kereta?"
Erin terdengar Sam bertanya. Perlahan sahaja suaranya. Siapa yang Sam maksudkan? Motor siapa? Kereta siapa? Kereta Badrulkah? Kepala Erin berpusing-pusing mencari kelibat kereta Badrul.
"Motor. Dua buah. Tu! Nampak tu?" balas Bob.
Erin panjangkan lehernya. Ternampak dua buah motor yang diparkirkan di tepi jalan di hadapan rumah orang. Tiga orang masih duduk di atas motor, bertopi keledar dan bercermin mata hitam, manakala yang seorang lagi berdiri di tanah, sedang menelefon seseorang. Topi keledarnya terpaksa ditanggalkan untuk memudahkannya bercakap melalui telefon. Darah Erin kering dari muka bila dia melihat lelaki itu.
"Erin! Kenal lelaki tu?" Sam menyoal.
"Jiran kami."

Takkan Ku Lepaskan DiaWhere stories live. Discover now