10

4.6K 95 3
                                    

ADA lebih kurang setengah jam Erin diperiksa di dalam bilik pemeriksaan tersebut. Meskipun kecederaan pada tubuh badannya sudah semakin pulih, namun doktor yang memeriksanya bimbangkan kestabilan mentalnya. Macam-macam soalan ditanyanya Erin. Hendak memastikan Erin okey dan tidak trauma. Kerap doktor itu menerima kes isteri yang didera teruk oleh suami sendiri. Masalahnya, dia hanya boleh merawat, memberi ubat dan memberikan nasihat sahaja kerana kebanyakan mangsa enggan membuat laporan polis terhadap suami masing-masing walaupun sudah diterangkan kebaikan mereka berbuat demikian. Sama jugalah dengan Erin. Hairan doktor itu dengan keengganan Erin membuat laporan polis terhadap Badrul, sedangkan Erin nampak berpelajaran.
Erin diberikan anti-biotik untuk kegunaan seminggu lagi. Dia juga diarahkan supaya datang lagi pada minggu berikutnya untuk menjalani pemeriksaan lanjutan. Keseluruhannya, dia okey. Sihat.
Selepas mengucapkan terima kasih, Erin keluar dari bilik pemeriksaan itu. Dia terus mendapatkan Sam yang sedang berjalan ke arahnya. Mereka bertemu di pertengahan jalan.
"Doktor kata apa?" soal Sam.
"Saya sihat. Okey. Tak ada apa-apa yang perlu dirisaukan."
"Betul ke ni?" Sam tidak puas hati. Direnungnya Erin. Bukan Sam tidak mempercayai cakap Erin, masalahnya cara Erin menjawab soalannya tadi macam cuba menyembunyikan sesuatu sahaja. Sam mengagak Erin jenis yang suka menyorokkan keadaannya. Sakit dikatakan tidak sakit. Didera namun dia tetap ceria, sehingga ibu bapanya sendiri tidak tahu penderitaan yang ditanggungnya.
Semasa mereka berkawan biasa dahulu, mungkin sesuai Erin berbuat begitu tetapi sekarang mereka sudah mengetahui isi hati masing-masing. Mereka juga telah bersetuju untuk melangkah masuk ke gerbang kehidupan bersama. Sam tidak mahu Erin berahsia lagi dengannya.
"Tak percaya, boleh tanya nurse tu." Erin menuding ke arah jururawat yang baru keluar dari bilik rawatan yang sama. Jururawat itu ada bersama doktor yang memeriksanya tadi.
Niatnya semata-mata hendak bagi Sam percaya pada cakapnya tetapi dia benar-benar terkejut bila Sam berpusing dan terus mendapatkan jururawat itu. Mengucap Erin dibuatnya. Tidak disangka Sam meragui cakapnya. Ini semua gara-gara bekas isteri Sam. Dia punya fasal, habis dengan Erin pun Sam curiga. Nampaknya, Erin perlu bekerja keras bagi membuktikan keikhlasan hatinya untuk memperoleh kepercayaan Sam. Manusia... bila sudah pernah dikhianati, memang sukar untuk mempercayai. Hati mereka sudah rabak. Setiap kata-kata atau perbuatan, meskipun ingin diterima bulat-bulat, namun payah kerana rasa curiga sudah bertapak. Hanya kasih sayang, kesabaran dan cinta yang tidak bersyarat sahaja yang mampu meraih semula kepercayaan mereka.
Kesian Sam.
Kesian kat hang jugak!
Hmmm...
Erin melangkah mengekori Sam sambil mengeluarkan telefon bimbitnya lalu menelefon emaknya, memberitahu bahawa dia sudah selesai diperiksa dan kini, dia dan Sam hendak ke farmasi pula untuk mengambil ubat. Semasa menghampiri Sam dan jururawat itu, dia dapat mendengar dengan jelas soalan yang Sam ajukan. Memang sah lelaki itu tidak percaya pada cakapnya!
"Encik ni suami dia ke?" Jururawat itu menyoal kembali. Dia sudah mula prejudis terhadap Sam. Jika benarlah lelaki ini yang telah mendera isterinya dengan teruk, berani betul dia datang ke situ, fikir hatinya. Berkobar-kobar hatinya hendak melempang-lempang muka Sam sebelum menendang kemaluan Sam. Baru Sam tahu langit tinggi rendah!
"Bukan. Say..."
"Abang dia ke?" potong jururawat itu. Dipandangnya Erin yang menghampiri mereka sebelum memandang Sam semula.
"Err..." Terkedu Sam sekejap. "Saya Sarjan Mejar Sam Iszudin. Saya yang selamatkan dia."
"Oh... mintak maaf, encik. Ingatkan abang dia tadi. Muka nak sama." Suara jururawat itu langsung mesra. "Dia okey. Sihat. Cuma dia kena makan ubat macam yang doktor suruh tadilah. Jangan ngelat tau, puan," katanya kepada Erin pula. Sam ikut menoleh ke arah Erin yang kini sudah berdiri di sebelahnya.
"Ikut cakap doktor. Kalau boleh, puan buat apa yang doktor tu suruh tadi," nasihat jururawat itu lagi.
"Insya-Allah," balas Erin.
"Terima kasih, cik." Sam mengajak Erin berlalu.
"Puas hati?" soal Erin dengan perasan geram.
"Puas." Selamba sahaja Sam menjawab.
"Tolonglah percaya cakap saya," rayu Erin ketika mereka melangkah ke farmasi. "Kalau awak nak hidup bersama saya, awak kena belajar mempercayai saya," katanya lagi. Dia bimbang Sam akan mencurigainya sebagaimana Sam mencurigai bekas isterinya dahulu. Seksa hidup kalau macam tu. Sentiasa berasa diri diawasi. Tidak bahagia mereka nanti.
"Siapa kata saya tak percayakan awak? Hmmm?" Sam renung Erin. Lembut sahaja suaranya. "Saya risau. Macam tu lah saya kalau saya risaukan orang yang saya sayang. Saya nak pastikan awak sihat, awak selamat, awak bahagia."
"Habis tu yang awak pergi tanya pada nurse tu tadi buat apa?"
"Aik? Kan awak yang suruh saya tanya dia tadi. Saya tanyalah." Sam agak terpinga-pinga. "Sebenarnya awak tak nak saya tanya ke apa?"
"Takde laa... bila awak tanya tu, macam awak tak percaya cakap saya je."
Giliran Sam pula mengucap panjang. "Tanya salah, tak tanya pun salah. Okey, bagi saya faham. Sebenarnya awak nak saya tanya nurse tu tadi atau tidak?"
"Tak nak la... saya nak awak percaya cakap saya 100%!"
"Kenapa tak cakap betul-betul?"
"Takkan itu pun saya nak bagi tahu?"
"Hurmmm... betullah orang perempuan ni, mulut cakap lain tapi hati cakap lain. Payah macam ni."
"Kalau payah, lupakanlah hasrat nak hidup dengan saya."
"Laa... ke situ pulak dia. Bukan payah nak hidup dengan awak. Payah nak faham perangai orang perempuan ni. Semuanya sama je. Lain di mulut lain di hati. Aisey... janganlah cepat sangat naik darah. Kan saya tengah belajar nak kenali awak ni... ."
Sam pandang Erin tetapi Erin buat tidak tahu sahaja walaupun dalam hati, dia berasa lega. Dibuatnya Sam betul-betul batalkan hasrat untuk mengambilnya sebagai isteri, naya sahaja kerana Erin rasa dia sudah jatuh cinta pada Sam tetapi entahlah... jatuh cinta tu rasanya sudah berat. Mungkin suka sangat-sangat lebih sesuai untuk menggambarkan perasaannya.
"Macam ni," Sam berhenti melangkah dan memaut bahu Erin agar Erin turut berhenti, "saya minta maaf. Saya berjanji akan belajar memahami awak."
Ceh! Macam ni ka komando mujuk? Tak romantik langsung. Toksah bagi muka kat dia. Biaq dia pujuk hang sampai nangih guling-guling kat lantai. Dia ingat ni taun berapa? Taun Nordin Ahmad ka? Ni 2016 laaa... ayaq lioq ja tak main la...
"Okey, saya maafkan." Erin sambung melangkah, meninggalkan Sam.
"Aik? Takkan masih merajuk lagi?" Sam mengejar.
"Orang tak percaya kat kita."
"Laa... kan saya dah mintak maaf tadi."
"Kan saya dah maafkan... awak nak apa lagi?" Walaupun nada suaranya lembut semasa bertanya, namun ayatnya itu sangat menyakitkan hati. Sam terasa.
"Erin Farhana merajuk." Sam pandang muka Erin yang kosong, tidak bereaksi.
Erin buat tidak tahu sahaja. Pandang Sam pun tidak, seolah-olah lelaki itu tidak wujud di sebelahnya. Dia melajukan langkah, menjarakkan dirinya dari Sam.
"Erin! Sayang! Alaaa... janganlah macam ni, sayang!" pujuk Sam, namun Erin terus buat tidak endah.
Tercuit hati dengan gaya rajuk tersendiri Erin, Sam berhenti melangkah, bercekak pinggang dan memerhati Erin yang semakin menjauh. 'Bertuah punya buah hati! Dia boleh buat tak kenal kat aku. Hati kering jugak minah ni.' Sam tersengih sambil memikirkan cara lain untuk memujuk Erin. Dia menoleh bila seorang atendan hospital yang sedang menyorong kerusi roda dengan santai, lalu di sebelahnya.
"Bos, nak ambik orang ke?" tanyanya kepada atendan hospital itu.
"Tak. Baru hantar. Napa, bos?"
Sam memberitahu atendan hospital itu rancangannya sambil menuding ke arah Erin.
"Boleh?" soalnya.
"Errr..." Berkerut muka atendan hospital itu berfikir.
Namun, sebelum sempat atendan hospital itu membantah, Sam terus duduk di atas kerusi roda tersebut.
"Cepat! Dia dah jauh tu," katanya.
"Errr... Puan Erin... errr..."
"Farhana. Nama dia Erin Farhana," kata Sam bila melihat atendan hospital itu terkial-kial hendak menyebut nama penuh Erin.
"Puan Erin Farhana! Puan Erin Farhana!" jerit atendan hospital tersebut. Dia terkejut bila Sam tiba-tiba sahaja melentokkan kepalanya ke belakang. "Bos? Bos okey ke ni?" soalnya, mula cuak.
"Relaks, bos. Berlakon je. Dia pusing tak? Erin Farhana. Dia pusing tak?" tanya Sam tanpa membuka matanya.
Atendan hospital itu mengangkat mukanya semula. Menggelabah dia mencari Erin. Jumpa. "Errr... tak."
"Panggil lagi."
"Puan Erin! Puan Erin Farhana!" jerit atendan hospital itu dengan suara yang lebih kuat.
Erin menoleh ke belakang. Tadi dia sudah dengar namanya dipanggil tetapi hatinya berkata, mungkin ada orang lain juga punya nama yang sama dengannya di situ. Jadi dia buat tidak endah sahaja. Panggilan kedua yang lebih kuat membuatkan dia menoleh. Dia tertanya-tanya sebenarnya, hairan mendengar namanya diseru oleh suara yang tidak dikenali.
"Dia ni puan punya ke?" soal atendan hospital itu sambil menuding ke arah Sam bila Erin menoleh.
"Terbaik, bos!" Sam tersenyum kecil, puas hati sebab dia tidak suruh pun atendan hospital itu berkata begitu.
Melihat Sam terkulai di atas kerusi roda di hadapan atendan hospital itu, Erin langsung panik. Terus dia berlari mendapatkan Sam.
"Kenapa dengan dia? Kenapa? Sam! Sam!" panggil Erin sebaik sahaja dia tiba di sisi Sam. Cemas sungguh hatinya. Sekejap dia mencangkung di sisi Sam, sekejap dia membongkok pula. Serba tidak kena dia rasa. Pipi Sam ditepuknya lembut. "Sam! Kenapa ni? Sam... bangun, Sam. Bangun, sayang. Kenapa ni? Ya Allah... apa jadi kat dia? Jatuh ke apa?" tanyanya kepada atendan hospital itu pula.
"Saya jumpa dia dah macam ni," jawab atendan hospital itu. Sam tahan dirinya dari tersenyum.
"Apa maksudnya? Jumpa macam ni tu macam mana?" soal Erin. Sangat keliru dia dengan jawapan atendan hospital itu. Tak masuk akal.
"Dah duduk kat atas kerusi roda ni."
Sam terus menepuk dahinya bila mendengar jawapan jujur suci atendan hospital itu. Sah jenis yang tidak tahu menipu dia ni. "Allah, bos... takkan saya terus duduk kat atas kerusi roda ni? Bos cakaplah bos jumpa saya terbaring kat atas lantai tu tadi."
"Sam!" Erin langsung berdiri tegak. Pinggangnya dicekak, geram kerana dikenakan oleh Sam. Bukan mereka bertiga sahaja berada di situ. Ada beberapa orang lain lagi yang sudah mengelilingi mereka, tertanya-tanya apa yang telah terjadi pada Sam.
"Hai! Awak panggil abang sayang. Tak sangka sayang jugak awak pada abang," kata Sam seraya bangun dari kerusi roda itu. Beberapa orang yang mengelilingi mereka berlalu. Ada yang menggeleng sambil tersenyum, ada juga yang menggeleng tidak puas hati kerana tertipu.
"Melampaulah awak ni! Dan awak! Awak pun bersubahat dengan dia, ya!" marah Erin kepada atendan hospital itu.
"Nak marah, marah abang sorang. Dia tak bersalah," ujar Sam. Dia mengucapkan terima kasih kepada atendan hospital tersebut yang tersengih-sengih sambil berlalu.
Erin menjeling lelaki itu sebelum kembali merenung Sam dengan tajam. "Hebatlah tu... dapat kenakan saya."
"Abang kan komando!" Pantas Sam membalas membuatkan Erin berpusing untuk pergi. "Acah je. Erin... please!" Sam memaut lengan Erin. "Abang minta maaf kalau cara abang memujuk tadi terlalu kasar."
"Itu awak panggil memujuk?"
Sam tersengih. Terdiam dia, tidak tahu hendak jawab macam mana. Yang pasti, dia tidak akan buat cara itu lagi untuk memujuk Erin. Ingatkan air, rupanya minyak. Ingatkan Erin boleh sejukkan hati Erin, rupa-rupanya buat Erin semakin marah.
Fasa pertama mengenali diri Erin sudah bermula.
"Itu bukannya memujuk tau tak? Itu sengaja buat saya marah!"
"Fasal apa nak marah? Cuba cakap?"
"Awak tak percaya pada cakap saya!"
"Kan abang dah mintak maaf tadi."
Terkebil-kebil mata Erin pandang Sam. Giliran dia pula terkedu.
Betoi pa... dia cakap? Dia buat salah, dia dah mintak maaf kat hang, jadi apa masalah hang nak marah kedia lagi? Besaq sangat ka salah dia kat hang, cer habaq. Dia tak caya cakap hang sebab mulut hang sendiri. Kan tadi hang berdalih-dalih masa dia tanya napa hang tak pi rumah sakit. Dia pi tanya kat misi tu sebab dia ambik berat pasai hang. Bukan ada sebab lain. Kalau dia tak ambik berat, takdak makna dia nak mai jauh-jauh dari Ipoh nun semata-mata nak bawak hang pi rumah sakit. Baik dia layan anak dia ja... tapi... cek suka dia bahasakan dirinya abang kat hang. Manja sangat cara dia sebut.
"Rasanya, itu je cara nak tebus kesalahan. Tak tahulah pulak kut ada cara lain. Kalau ada, sayang bagi tahulah cara yang sayang prefer. Tak adalah abang buat silap lagi masa memujuk sayang." Sam garu kepala sambil buat muka suci.
Kasihan pula Erin melihatnya. Erin meredupkan kelopak matanya. "Baiklah. Saya maafkan awak dan saya mintak maaf sebab buat perangai tak semenggah tadi."
"Mana ada sayang buat perangai tak semenggah... sayang merajuk adalah!" Sam ketawa. Senang hatinya dengan sikap Erin. Ada tolak ansur. Mudah nak melayari rumah tangga begini. Dia tidak perlu berteka-teki atau berlama-lama menghadap kemarahan isteri.
"Sam! Saya mintak maaf ni. Janganlah usik saya lagi. Nanti saya merajuk balik, baru padan muka awak."
"Okey, sayang, okey. Kita pergi ke farmasi nak?"
Cara Sam bertanya, macam dia bertanya pada budak-budak. Kita pergi klinik nak? Nanti abah belanja ais kerim. Tergelak Erin dibuatnya.
"Kenapa gelak pulak ni?
"Awaklah! Kelakar."
"Abang memang kelakar. Sengal pun sama." Sam memusingkan tubuh Erin, mengajak Erin meneruskan langkah.
"Mujur sedar diri!"
"Sentiasa sedar diri, Puan Erin," akui Sam.
Mereka terdiam bila ada orang melangkah rapat di belakang mereka.
"Sayang, kita sekarang ni dalam fasa mengenali perangai masing-masing. Bersabar dengan abang, please," kata Sam setelah orang yang berjalan di belakang mereka tadi memotong mereka dan melangkah jauh di hadapan mereka.
"Awak pun kena banyak-banyak bersabar dengan saya. Saya ni kuat merajuk. Lepas tu saya tak reti macam mana nak respons bila orang pujuk saya."
"Maksudnya?"
"Kalau orang pujuk, saya suka suruh orang tu pergi. Jangan pujuk saya. Padahal, saya nak dipujuk."
"Sengal jugak rupanya sayang ni. Ingatkan abang sorang je yang macam tu."
"Tu la fasal... saya pun tak faham dengan diri sendiri."
Spontan tawa mereka berderai. Terasa relaks sangat chemistry antara mereka. Sebati.
Sampai di farmasi, Erin mengambil nombor. Sam pula duduk di barisan bangku yang paling jauh dari orang lain.
"Sam... awak nak saya panggil awak abang ke?" soal Erin sebaik sahaja dia melabuhkan punggungnya di sebelah Sam. Teragak-agak juga dia hendak bertanya. Takut Sam berkecil hati. Bukan apa, dia rasa masih terlalu awal untuk membahasakan diri mereka abang dan sayang. Persahabatan memang sudah terjalin, sayang memang sudah terasa tetapi cinta belum lagi. Sekurang-kurangnya, biarlah mereka masuk ke alam percintaan dahulu, barulah hendak menggunakan panggilan manja sebegitu.
"Kalau sayang sudi. Kan manis bunyinya bila dengar."
"Dan awak nak panggil saya sayang?"
"Ya!" jawab Sam dengan suara yang agak tegas.
"Okey... saya tanya je. Janganlah marah."
"Tak marah pun. Dah terbiasa bagi jawapan macam tu."
Erin berfikir buat seketika. "Okey, macam ni. Bila kita sembang berdua aje awak panggil saya sayang, boleh?"
"Bila kita sembang berdua saja abang panggil saya sayang, boleh?"
"Huh?" Erin pandang Sam. Keliru. "Kenapa awak ajuk cakap saya? Tak faham!"
"Sayang ajuk balik ayat yang abang dah betulkan tadi," suruh Sam.
Buat seketika Erin terdiam, cuba mengingati ayat yang Sam ucapkan. "Ohhh... jadi awak setujulah?"
"Sekarang kita bercakap berdua kan? Sayang patut panggil abang apa?"
Erin mengerlingkan matanya ke atas. "Jadi, abang setujulah?"
"Abang setuju sangat-sangat. Lagipun, abang kena slow talk dengan Uja dulu baru kita boleh go openly," terang Sam, baru terfikir tentang penerimaan Uja terhadap hajatnya itu. Adakah Uja akan menentang? Payah juga hendak meneka kerana Uja masih kecil lagi. Apa pun, Sam berharap Uja akan merestui hajatnya untuk menikahi Erin. Bila tengok betapa mesranya Uja dengan Erin dan emak Erin tadi, Sam yakin Uja akan mengalu-alukan Erin sebagai ibu tirinya.
"Hmm... betul jugak. Saya pun kena ambik hati Uja dulu. Kalau Uja tentang, macam mana, abang?"
Sam tersenyum. Abang. Indah sungguh panggilan itu kedengaran di telinganya. "Sebab tu kita kena slow talk dengan dia. Abang akan bawak dia ke sini selalu. Biar dia biasa dengan sayang. Tapi sayang okey ke ada anak tiri?"
"Okey sangat. Dah lama saya nak anak tapi tak ada rezeki," balas Erin, sudah mula berangan-angan apa yang ingin dilakukannya bersama Uja di rumah. Main masak-masak, main mekap-mekap, ajar Uja solat, mengaji, hantar Uja ke sekolah, sembang dengan emak-emak di luar pagar sementara menunggu anak masing-masing habis sekolah. Seronoknya...
"Kenapa senyum sorang-sorang pulak ni?" tegur Sam. Kelakar dia melihat Erin. Tak sangka Erin kuat berangan!
"Saya fikir apa nak buat dengan Uja."
"Jangan jadi macam mak tiri Bawang Merah sudah!"
"Hisy, abang ni! Takkanlah saya nak dera Uja?"
"Saja je cakap." Terbit sedikit rasa bimbang dalam hati Sam. Mangsa dera biasanya akan mengulangi penderaan yang mereka alami atas orang lain pula. Mereka ketagih didera. Bila mereka dewasa dan sudah tidak menjadi mangsa dera lagi, mereka mula mendera orang lain pula. Tetapi Erin bukan didera dari kecil. "Sayang, sejak bila sayang didera?"
Terkejut Erin mendengar soalan yang tidak dijangkakannya itu. "Kenapa tiba-tiba pulak abang tanya soalan tu?"
"Boleh tak abang nak tahu?"
Tentulah boleh! Sam buat muka jujur sucinya. Tidak sampai hati Erin hendak menolak.
"Sejak dua tahun lepas," ujar Erin, langsung bercerita tanpa disuruh. Apa yang diberitahunya kepada emaknya pagi tadi, diberitahu pula pada Sam.
"Jadi, dah dua tahunlah dia tak sentuh sayang?" soal Sam.
"Astaghfirullah al-azim... itu yang abang dapat daripada cerita saya?" Erin menggeleng. Punyalah serius dia bercerita tentang musibah yang menimpa Badrul dan bagaimana Badrul bertukar dari suami yang baik kepada manusia paling kejam terhadap isteri sendiri, yang Sam tangkap hanya part Erin sudah dua tahun tidak digauli Badrul. Bertuah betullah!
Sam tersengih nakal. "Dah jadi macam anak dara baliklah sekarang ni yek?"
"Eee... menyampah betullah dengan orang lelaki ni. Benda lain tak boleh fikir ke? Asyik fikir fasal tu aje."
"Sedap. Sebab tu selalu fikir." Sam buat bunyi menghirup sebelum menelan liur. Meremang bulu roma Erin mendengarnya. Kuat nafsu rupanya mamat ni.
"Sengal! Malas cakap dengan abang." Erin berpeluk tubuh dan memandang ke hadapan. Otaknya ligat memikirkan tentang cakap Sam tadi. Tergeleng-geleng sambil tersenyum dia memikirkan tentang libido Sam. Pengsan dia kalau hari-hari Sam menuntut haknya bila mereka sudah bernikah nanti.
Sam tidak membalas. Dia sedang cuba mengawal gelora yang sedang bermaharajalela dalam dadanya, yang kemudiannya turun ke organ jantannya. Entah mengapa dia berasa lebih berahi terhadap Erin bila mengetahui sudah tiada lagi sisa-sisa Badrul pada dan dalam tubuh badan Erin. Dua tahun itu lama. Apa sahaja yang pernah 'disumbangkan' oleh Badrul ke dalam tubuh badan Erin sudah terhakis bersih. Sam puas hati. Semakin tidak sabar dia hendak memperisterikan Erin.
"Sayang makan jamu tak?"
Langsung Erin ketawa. Geli hati betul dia dengan soalan Sam itu.
"Tak. Kenapa?" Erin makan sebenarnya tetapi sengaja dia tidak mengaku. Nak tengok apa Sam nak kata.
"Cuba makan jamu Mak Dara Gold. Abang dengar jamu tu bagus. Lagi satu, cari manjakani jugak. Makan sekali dengan jamu tu."
"Nak buat apa?" soal Erin, semakin galak ketawa. Bukannya dia tidak tahu khasiat dan kelebihan jamu Mak Dara Gold itu. Memang dia makan pun dan memang selalu dia syorkan pada kliennya yang selalu mengadu penat. Alhamdulillah, sejak mengamalkan jamu itu, semuanya kata mereka semakin bertenaga dan tidak mudah penat macam dulu. Yang paling ketara, hubungan kelamin mereka dengan suami masing-masing semakin mabeles. Kulit mereka pun semakin cantik dan ada yang kata, suami puji mereka nampak semakin muda. Manjakani pula tugasnya untuk mengetatkan bahagian yang sudah longgar pada organ dalaman wanita. Memang dahsyat penangannya, kata orang yang sudah mengamalkannya.
"Abang baru teringatkan perbualan abang dengan kawan-kawan hari tu. Kawan abang, isteri dia makan jamu Mak Dara Gold. Masa sembang hari tu, kawan abang sempat buat testimoni lagi. Puas hati sangat dia sejak isteri dia amalkan jamu tu. Tak pernah menolak lagi bila diajak bersama. Performance pun superb. Bengkek je kami dengar."
"Amboih!" Erin tersipu-sipu malu.
Open na... dia. Cakap tak bersorok langsung dengan hang. Nak kata gatai, tak nampak macam gatai pun. Macam biasa ja... tapi peliklah jugak, no... hang dengan dia baru ja jumpa face to face, boleh selamba ja dia sembang cenggitu dengan hang.
"Toksah la sembang macam ni kat sini, bang. Kita kat tempat awam ni."
"Lagilah selamat kita sembang kat sini. Kalau kita sembang berdua je, ada yang kena ngap nanti." Sam merenung Erin dengan penuh bermakna.
"Eeee... teruk betullah dia ni. Eh, mak dengan Uja baru jumpa farmasi."
"Hah, nak tukar topiklah tu!"
"Betullah! Tengok tu. Kan mak dengan Uja tu!" Erin melambai-lambai ke arah emaknya yang tercari-cari mereka. "Berpeluh sakan mak layan Uja main."
"Berapa orang cucu mak, eh?" soal Sam, turut melambai ke arah Uja.
"Bulan Mei nanti, 14 orang. Insya-Allah."
"Ramai dah rupanya. Ingatkan tak ada cucu lagi."
"Saya je tak ada anak. Yang lain semuanya dah beranak pinak. Abang sulung, enam anaknya. Abang nombor dua, empat. Abang nombor tiga, nak masuk dua. Adik bongsu dua."
"Teringin tak?"
"Teringin... maunya tak teringin?! Tapi dah tak ada rezeki," jawab Erin. Perlahan. Sayu juga hatinya bila mengenangkan nasib diri yang tidak berpeluang merasa nikmat mengandung dan bersalin sebagaimana yang telah dirasai oleh adiknya. Namun dia bersyukur. Jika ada anak, mungkin anaknya juga akan didera oleh Badrul. Sudah jadi pembunuh agaknya dia lantaran tidak tahan melihat Badrul menyeksa anak mereka.
"Tahun depan kita buat anak kita sendiri, nak?"
Erin tidak membalas tetapi hanya ketawa sahaja kerana semasa itu, emaknya dan Uja sudah sampai ke tempat mereka duduk. Uja terus mendapatkan Sam, menunjukkan mainan yang emak Erin belikan untuknya. Dia malu-malu bila Erin mengajaknya bersembang tetapi selepas itu, dia rancak berbual dengan Erin. Sampai hendak ikut semasa Erin pergi mengambil ubat.
"Seronok mak layan Uja," kata emak Erin pada Sam. Semasa itu tinggal mereka berdua sahaja di tempat duduk itu. Erin dan Uja pergi ke kaunter, mengambil ubat.
"Alhamdulillah," ucap Sam. "Boleh saya panggil mak?"
"Boleh aih... sikit lagi hang pun nak menikah dengan Erin, kan? Praktis siap-siap."
Sam tersenyum. Malu pula dia dengan emak Erin yang cakap lepas itu.
"Ada Erin cerita dia dah lepaih?" soal emak Erin.
"Dia ada sebut tadi tapi kami tak sempat nak sembang lagi. Badrul dah lafaz talak ke?"
"Taklik. Dia tak bagi Erin keluaq rumah. Dia kata, kalau Erin keluaq jugak, jatuh talak."
Dasar jantan dayus! Kutuk Sam dalam hati. Semakin benci dia terhadap Badrul. Namun, sempat juga hatinya mengucapkan terima kasih kepada Badrul kerana melepaskan Erin walaupun caranya sangat hina. Apa lagi yang boleh diharapkan daripada lelaki dayus, bukan? Di sisi agama, Erin sekarang bukan lagi isteri orang. Sam bebas berjumpa dengan Erin dan membawa Erin keluar, meskipun dia terpaksa menunggu tiga bulan lagi atau tiga kali haid sebelum dia boleh menyunting Erin.
"Ni lepaih ni dia kena pi pejabat kadi. Nak buat report. Pastu dia kena pi mahkamah syariah. Apa entah kadi tu cakap tadi. Nak saman Badrul? Entah... mak pun tak berapa nak faham. Tak pernah jadi kat keluarga kami sebelum ni," tokok emak Erin lagi. "Erin kena bawak saksi. Kalau hang ngan kawan-kawan hang hari tu sanggup jadi saksi dia, hangpa mai la masa perbicaraan tu na... . Ingat nak panggil doktor yang periksa dia kat Shah Alam hari tu sekali jadi saksi dia. Kadi tu kata lagi baguih kalau doktor tu mai. Lagi senang dia hakim bagi dia lepaih."
"Nanti saya uruskan," janji Sam.
Selesai urusan di hospital itu, Sam membawa mereka pergi makan dan kemudian ke pusat beli-belah untuk membeli kelengkapan persekolahan Uja. Emak Erin hanya perhatikan sahaja Erin melayan Uja. Sayu hatinya bila tengok Erin seronok 'berlagak' jadi emak tengah hari itu. Dia tahu, sudah lama Erin teringinkan anak dan sekarang, Allah memakbulkan doa Erin meskipun sekadar anak tiri. Matanya berkalih ke arah Sam pula. Emak Erin bersyukur bila melihat kasih sayang yang terpancar dalam renungan Sam terhadap Erin. Semoga niat Sam untuk memperisterikan Erin dipermudahkan Allah, doanya dalam hati.

Takkan Ku Lepaskan DiaWhere stories live. Discover now