2

8.5K 139 0
                                    

ANTARA hidup dengan mati. Begitulah gambaran keadaan Erin yang terbaring di atas katil dalam keadaan yang menyayatkan hati, tercungap-cungap kepenatan menyedut oksigen yang dirasakan telah dicatu untuknya. Air mata mengalir tanpa esakan, mengenang takdir hidup yang terlalu menyeksakan. Kenapa, ya Allah? Itu sahaja soalan yang disuarakan oleh hatinya. Erin tidak berani berburuk sangka terhadap Allah kerana jika terlintas di fikirannya bahawa Allah sengaja memberikan yang buruk-buruk kepadanya, maka yang buruk-buruk jugalah yang akan Allah perkenankan untuknya.
Buat apa dia menokok penderitaan sedangkan seksaan yang ada sudah terlalu berat?
Dengan bersusah payah seluar jeannya ditarik ke atas. Berkerut-kerut mukanya menahan kesakitan. Sebelum Badrul datang balik untuk menyambung serangan, Erin bangun dan duduk di birai katil. Diperbetulkannya blaus kesayangan yang koyak rabak. Sebelah tali baju dalamnya putus, menyerlahkan sebahagian buah dada kirinya. Ternampak percikan darah bercampur liur bertompok pada dada dan juga pada blausnya. Erin larikan mata. Tidak sanggup tengok.
Dia bangun dan berjalan pantas menuju ke bilik air tanpa menghiraukan kesakitan yang menggigit. Selama ini dia tidak pernah mengunci pintu bilik air semasa mandi. Badrul pun tidak pernah. Mereka bebas keluar masuk semasa salah seorang daripada mereka sedang mandi. Tetapi petang itu, dikuncinya pintu bilik air itu dari dalam. Takut Badrul menyerangnya lagi meskipun dia tahu tidak ada gunanya dia berbuat begitu. Badrul, bila mengamuk, pintu bilik kebal pun boleh dipecahkannya.
Blaus yang koyak ditanggalkan. Sayu hatinya bila melihat blaus kesayangannya itu koyak teruk. Kalau minta tukang jahit baiki pun cacatnya tetap ketara. Terpaksa dibuang walaupun dia masih sayang. Blaus itu dan baju dalam yang sudah terputus talinya, dimasukkan ke dalam beg plastik sebelum dicampak ke dalam tong sampah. Seluar jean dan seluar dalamnya pula dicampakkan ke dalam bakul baju kotor.
Di bawah pancuran air dingin Erin berdiri. Seluruh tubuhnya menggeletar menahan kesejukan. Memang dia tidak pernah mencampurkan air dingin itu dengan air panas setiap kali mandi walaupun bilik air itu dilengkapi dengan sistem air panas. Badrul selalu bising. Katanya, bil elektrik mereka naik mendadak sejak Erin menggunakan air panas. Jadi Erin berhenti menggunakan air panas, namun Badrul tetap bising. Tetap marah-marah. Nampak sangat hipokritnya.
Hang dah lama tau kan... dia memang suka cari pasai ngan hang. Nak bantai marka gelap dia tak berani. Depa ceredik. Sat lagi depa hingaq, satu dunia tau perangai dia. Tu yang dia balik ghumah pi bantai bini dia yang bodoh tak boleh diajaq tu!
Memang benar lintasan fikirannya itu. Sudah beberapa kali Badrul membelasahnya tanpa sebab. Tertanya-tanya dia kenapa? Apa salah dia? Dua tiga hari selepas itu barulah dia tahu, Badrul bergaduh dengan kekasih gelapnya. Bergaduh dengan orang lain tetapi kenapa dia pula yang dibelasah? Sedih betullah...
Dia mengaduh kecil bila luka pada bibirnya berasa pedih dicucuk percikan air. Dengan lidah, dia dapat rasa luka gigitan itu besar juga tetapi dia bersyukur bibir atasnya itu tidak putus.
Ada sebab pasaipa dia tak rabakkan bibiaq hang tu... dia bagi luka ja pasai dia tau, putuih kalu, dia kena bawak hang pi rumah sakit. Habih terbongkaq la semua nanti. Dia bukan bengap macam hang. Kaw-kaw dia bantai hang, hang masih mau kat dia lagi. Bodoh piang!
Erin usir fikiran yang melintas dalam kepalanya itu jauh-jauh. Sokongan bernada keras tidak dialu-alukan ketika itu, walau benar sekalipun. Sikit-sikit cukuplah tetapi jangan melampaui batas. Dia masih dalam proses memujuk hatinya sendiri. Jadi, mana-mana buah fikiran yang menyalahkannya atas apa yang berlaku terhadap dirinya sendiri, sila jangan kacau. Erin tunduk dan memejamkan mata, tidak sanggup melihat darah cair mengalir bersama air di atas lantai marmar putih. Tubuhnya tegak bak patung di bawah air pancuran yang membasahi rambut dan tubuh badannya. Sebelah tangan menampan dinding supaya dia tidak rebah lantaran tubuh badannya terlalu lemah. Bila-bila masa sahaja dia boleh jatuh. Dalam hati dia berkata-kata, tertanya-tanya; mengapa Badrul begitu kejam sekali? Lelaki yang dinikahinya seorang yang lemah lembut. Seorang yang penyayang. Betul! Badrul sangat menyayanginya dahulu. Dan sangat romantik. Rajin membantunya di dapur, menyidai kain dan mengemas rumah. Ke mana-mana mereka pergi mesti berdua. Naik motor cabuk sahaja mereka sebab semasa di awal perkahwinan dahulu, hidup mereka susah. Susah-susah pun, Badrul tetap membawakan hadiah untuknya setiap hari. Sebuku roti berinti kacang merah kegemarannya atau gula-gula Kopiko untuk Erin kulum demi menghilangkan rasa lapar bila stok beras dan mi segera mereka habis. Bila hidup mereka semakin senang, Badrul masih sama. Tidak berubah langsung. Dia hanya berubah selepas berlakunya peristiwa yang menyayatkan hati itu dua tahun lalu. Berubah menjadi manusia paling kejam yang pernah Erin temui dalam hidupnya.
Persoalannya, mengapa Erin pula yang dihukum sedangkan bukan salah Erin peristiwa itu berlaku. Salah Badrul sendiri. Erin tidak terlibat langsung. Jadi, mengapa Badrul menyeksanya?
Soalan itu membuatkan hatinya jadi sayu sangat. Didongakkan mukanya, membiarkan air pancuran merempuh wajahnya itu untuk menyorokkan air mata yang tumpah. Kesakitan pada bibirnya tidak dihiraukan kerana hatinya lebih sakit kala itu. Lemas, dia tunduk kembali. Semasa itulah dia tidak dapat menahan tangisannya lagi. Dia teresak-esak dengan sepuas hati. Menangis tanpa suara sehingga sakit-sakit urat lehernya.
Bunyi tombol pintu dipulas kasar kedengaran, diikuti ketukan yang agak kuat. Spontan Erin menoleh laju dan serta-merta tangisannya berhenti.
"Kenapa kunci pulak ni?" Suara Badrul menyusul.
Daun pintu diketuk lagi. Bertalu-talu. Tidak ditendang seperti tadi. Tanda Badrul sudah habis marah. Hati Erin jadi lega sedikit.
"Cepat sikit! Abang nak mandi pulak."
Abang! Sah Badrul sudah hilang marah. Erin menghembus hingus dan menekan kepala paip untuk menutup air yang menyembur. Capai tuala mandi, mengelap badannya ala kadar sambil membongkok untuk mengambil sehelai kain batik dari dalam bakul pakaian kotor. Kotor pun kotorlah. Janji dia tidak keluar dengan bertuala sahaja. Takut serangan berulang lagi. Gila Badrul bukannya boleh dijangka bila datangnya. Erin sarungkan kain batik itu ke badannya. Berkemban. Tuala mandi menutupi kepala. Hujungnya ditarik untuk menyembunyikan mulutnya yang bengkak berdenyut-denyut, juga untuk menghentikan darah bercampur liur yang terus berjejeran dari bibirnya yang tidak dapat dikatup dengan sempurna. Buka pintu bilik air, dilihatnya Badrul tidak ada di situ. Takut-takut dia menjengukkan kepalanya sedikit. Takut kena hayunan penumbuk jantan suaminya yang kejam itu. Mujur Badrul jauh. Lelaki itu sedang berdiri di hadapan almari pakaian, membelek-belek baju-T yang sudah digosok dan digantung kemas di dalam almari. Badrul kelihatan relaks.
"Abang nak keluar jap." Badrul bersuara tanpa memandang ke arah Erin.
'Alhamdulillah,' ucap Erin dalam hati dengan rasa kesyukuran yang tidak terhingga. Badrul hendak keluar berjumpa dengan kekasih gelapnya. Erin berjanji tidak mahu cemburu lagi pada perempuan itu. Ambillah. Ambillah suaminya itu. Mungkin perempuan itu mampu membahagiakan hati Badrul.
Erin segera ke bilik komputer dan terkocoh-kocoh mengenakan pakaian yang diambil dari dalam almari bukunya. Memang dia menyimpan pakaian spare di situ untuk masa-masa kecemasan seperti ini. Sambil berpakaian, dia pandang bilik komputernya yang berselerak dengan perabot yang tunggang-langgang. Hatinya tersayat bila ternampak komputer ribanya yang sudah hilang rupa itu, tersadai di atas karpet. Erin tahan diri dari menangis. Tidak! Dia tidak mahu menangis lagi selepas ini. Apa pun yang akan terjadi, dia tidak boleh menangis lagi. Hatinya dikeringkan.
Dikutipnya komputer riba itu lalu dibuang ke dalam tong sampah. Simpan pun tidak berguna. Memang tidak boleh digunakan lagi. Bilik komputer itu dikemaskan. Mana-mana yang rosak, diletakkan di satu tempat.
"Abang keluar kejap."
Erin yang sedang membongkok, menegakkan badannya. Dia mengangguk sambil memandang ke arah Badrul yang merenung ke arahnya dari ambang pintu. Badrul kelihatan bersalah. Erin larikan muka, tidak mahu jatuh kasihan pada suaminya yang kini berasa berdosa atas perbuatannya tadi. Dahulu bolehlah. Dahulu, Erin pula yang meminta maaf selepas Badrul membelasahnya. Erin pula yang memujuk Badrul sehingga rasa penyesalan yang membantai lelaki itu hilang. Sekarang... selepas hari ini... minta maaflah. Erin tidak akan memberi muka lagi!
Dia kembali mengemas dan buat tidak tahu sahaja pada Badrul yang berdiri lama di muka pintu. Akhirnya, Badrul berlalu. Erin tegakkan badannya semula. Pandang susuk tubuh Badrul dari belakang sambil melepaskan nafas kelegaan. Hilang sahaja kelibat Badrul, dia kembali mengemas. Tangan sibuk mengutip serpihan daun pintu tetapi telinga tajam mendengar. Hilang sahaja bunyi enjin kereta Badrul dari pendengarannya, dia melepaskan nafas kelegaan sekali lagi.
Selesai di situ, Erin ke ruang tamu untuk mencari telefon bimbitnya. Tidak ada. Di mana-mana pun tidak ada. Dia tahu Badrul membawa telefon bimbit itu bersamanya. Takut dia menghubungi Sam Elit Hitam, barangkali. Minta maaflah, dia tidak akan menghubungi Sam Elit Hitam. Mereka bukannya ada apa-apa. Sekadar teman berbual sahaja. Memang dia rasa seronok bila Sam Elit Hitam muncul di Facebook tetapi tidaklah sampai hendak mengadu tentang masalah rumah tangganya kepada lelaki itu. Lainlah Badrul. Semuanya habis diceritakan kepada kekasih-kekasih gelapnya sehingga mereka berani menyerang Erin dan marah-marah Erin, kononnya Erin mengabaikan Badrul dan tidak melayan Badrul seperti yang sepatutnya. Malah, ada yang terlebih bijak memberi idea agar Erin melepaskan Badrul. Usah diseksa suaminya itu jika dia tidak mahu menjaganya lagi.
Tergelak Erin mendengar tuduhan mereka. Termakan cerita sedih yang dijaja oleh Badrul, barangkali perempuan-perempuan itu. Erin balas, siapa sebenarnya yang tidak mahu melepaskan siapa? Kalau mereka hendak tahu jawapannya, senang sahaja. Dia menyuruh mereka bertanya pada Badrul, kuasa talak di tangan siapa?
Mereka berhenti mengganggu Erin selepas itu.
Dah hang suruh depa pi tanya kat dia, depa pun pi la tanya pasaipa dia tak mau ceraikan hang dah kuasa talaq kat tangan dia. Dia pi pusing la, baq hang... last-last depa bergaduh. Balik rumah dia bantai hang. Hang kena balik. Sadis dak?
Erin ke bilik air dan mandi semula. Usai membersihkan diri, dia membasuh kain. Termenung di hadapan mesin basuh yang berpintu kaca di bahagian hadapan itu, merenung kain yang berpusing-pusing di dalam air sabun dengan fikiran yang kosong. Siap, dia menjemur kain yang sudah dicuci itu di dalam bilik jemuran. Selesai mengerjakan solat isyak, dia masuk tidur.
Apa lagi yang boleh dilakukannya tanpa telefon bimbit dan komputer ribanya? Tengok TV? Huh, balik-balik cerita yang sama. Bosan. Lebih baik dia tidur. Lagipun, badannya berasa sakit sangat. Dan penat.

Takkan Ku Lepaskan DiaWhere stories live. Discover now