12

11.1K 167 56
                                    

12

E
RIN mengucapkan terima kasih kepada kerani yang bertugas sebelum mendapatkan emak dan ayahnya yang menunggu di luar, mengajak mereka makan di kafe mahkamah syariah itu dahulu sebelum balik ke rumah. Baru buat fasa pertama sudah terasa lelahnya. Terlalu banyak kerenah birokrasi yang perlu mereka hadapi semata-mata untuk menuntut cerai. Islam itu indah. Islam itu mudah. Namun, segelintir mereka yang telah diamanahkan untuk membantu pasangan yang terpaksa melalui saat getir itu, sering menyusahkan benda yang mudah.
Kenapa?
"Hang rasa Badrul mengamuk dak nanti bila dia terima saman tu?" soal ayah Erin. Saman itu telah dihantar melalui khidmat penghantar berdaftar yang dilantik oleh Erin sebagai plaintif.
"Tak tau la cek nak kata, ayah oiii... kita tunggu ja la besok." Erin menghirup teh ais yang masih berbaki.
"Mai mengamuk kalau berani!" cabar emak Erin. "Sukati dia ja nak buatpa kat anak aku. Ingat senang ka nak beranakkan Erin hari tu? Punya la seksa aku jaga dari kecik sampai besaq, bagi cantik semua kulit, muka dia... dapat kat hang, hancoq satu badan anak aku hang buat."
"Amboih! Cenge sangat aih! Badrul mai betoi-betoi sat gi, baru maknya tau," tegur ayah Erin.
"Mai laaa... ingat cek takut ka kat dia? Orang macam tu kita balin ngan batu ja... habih cerita. Tak payah nak bagi muka sangat aih!"
"Sabaq, mak... sabaq. Cek dah lepaih dah. Dah selamat dah."
"Dak lagi," celah ayah Erin. "Selagi hakim belum bagi kata putuih, selagi tu hang masih isteri dia."
"Lambat lagi la kut hang nak menikah dengan Sam na..." Emak Erin menggenggam tangan anaknya.
Erin hanya menjongketkan bahunya sahaja. Lambat tak lambat Sam kata malam tadi, enam bulan lagi mereka wajib bernikah. Wajib tu. Pening kepala Erin memikirkannya. Beberapa kali Sam mengingatkan Erin agar tidak melengahkan urusannya dengan mahkamah syariah. Katanya, hendak bercerai makan masa. Bukannya hari ini failkan permohonan, esok sudah sah bercerai. Tidak! Terlalu banyak prosedurnya.
Proses perceraian Sam dengan bekas isterinya dahulu makan masa selama enam bulan. Sebab itu agaknya dia bagi jangka masa yang sama kepada Erin. Cepat juga prosesnya kalau diikutkan. Mungkin sebab dia yang menceraikan Ati, bukan seperti Erin yang terpaksa menuntut pengesahan cerai taklik daripada Badrul.
Malam tadi suara Sam lain. Tidak seceria biasa walaupun dia tetap buat lawak bodohnya semasa bersembang. Erin rasa ada sesuatu yang berlaku antara Sam dengan bekas isterinya. Meronta hati Erin hendak tahu apa kisahnya tetapi segan pula dia hendak bertanya. Nantilah. Bila Sam datang ke Pulau Pinang lagi, baru Erin tanya.
"Bila Sam nak mai sini lagi?" soal emak Erin.
"Lusa, insya-Allah."
"Suruh dia bawak Uja sekali. Seronok mak melayan budak tu. Badan dia... semangat sungguh aih."
"A ah. Dia kata dia bawak Uja sama."
"Jangan sampai besaq badan dia macam tu jugak sudah la. Nak jalan pun seksa," kata ayah Erin.
"Dak aih... dah sekolah esok kuruih la dia," tingkah emak Erin, seolah-olah Uja itu memang cucu dari darah dagingnya.
Erin tidak menyampuk sembang emak dan ayahnya. Fikirannya menerawang memikirkan perbualannya dengan Sam malam semalam. Teringin hatinya hendak berjumpa dengan bekas isteri Sam. Hendak tengok wajah perempuan yang telah berjaya mencuri hati Sam sebelum dia. Pasti cantik orangnya. Tetapi rasanya idea itu macam tidak masuk akal sahaja. Sengaja mencari bala namanya. Sam kata, bekas isterinya itu masih hidup sendirian. Belum ada tanda-tanda perempuan itu hendak berkahwin lain. Jangan-jangan perempuan itu masih menaruh harapan untuk bersatu kembali dengan Sam, fikir Erin. Yalah... dia diceraikan. Tanda Sam yang sudah kehabisan rasa kasih sayang dan cinta terhadap dia. Di pihak dia, mungkin masih cinta.
"Hang nak dok sini sampai kedai tutup ka apa?" soal ayah Erin. Dia dan emak Erin sudah berdiri, bersedia untuk berlalu dari situ.
"Eh... dah ka?" Erin turut bangun. "Sat cek pi bayaq."
"Settle dah, aih..." kata ayah Erin.
"Angau teruk dah hang ni. Sampai tak perasan orang mai ambik duit," usik emak Erin.
Erin tersengih sahaja. Hendak kata apa lagi?
Dia dan emak ayahnya melangkah ke kereta tanpa menyedari pergerakan mereka sedang diekori oleh dua orang lelaki. Sejak dari rumah lagi lelaki-lelaki itu telah mengekori tiga beranak itu. Mereka duduk di sebelah ayah Erin semasa Erin memfailkan saman terhadap Badrul di mahkamah syariah tadi. Mereka makan selang beberapa meja dari meja Erin dan ibu ayahnya, bersembang sakan seperti orang lain yang baru selesai berurusan dengan mahkamah syariah. Sedikit pun Erin dan emak ayahnya tidak 'merasai' kehadiran mereka itu kerana mereka terlalu biasa. Tidak menakutkan atau menunjukkan ancaman.

Takkan Ku Lepaskan DiaWhere stories live. Discover now