Bab 9

259 3 0
                                    

“Assalamualaikum. Selamat pagi mama.” sapa Arman lembut bersama senyuman dan kucupan di dahi Puan Mastura. Wanita itu menjawab salamnya lalu mengucup pipi anak lelakinya itu. Sekejapan Alia keluar bersama semangkuk nasi goreng lalu diletakkan di atas meja dan mengambil tempatnya di sisi Arman. Dia tidak menoleh memandang Arman,hanya senyuman kecil untuk ibu mertuanya sahaja.

“Sedapnya bau. Sayang masak sendiri nasi goreng ni ya?” soal Arman lembut. Alia terkejut dari dalam. Sayang? Panggilan itu membuatnya jadi panas tetapi dia hanya mampu berdiam diri. Apatah lagi ada Puan Mastura di hadapan mereka. Perlahan Alia menoleh memandang Arman di sisinya lalu mengangguk.

“Patutlah abang cari kat atas tak jumpa. Rupanya pagi-pagi lagi sayang abang ni dah masuk dapur.” puji Arman bersama senyumannya. Alia tertunduk malu walaupun dia tidak berasa apa-apa untuk pujian Arman itu.

“Ini nasi goreng ikan bilis kan?” soal Arman lagi. Alia mendongak memandangnya.

“Mana awak...” Kata-kata Alia terhenti di situ. Dia terkejut sendiri lalu melirik sesaat dua kepada ibu mertuanya yang sedang ralit memerhati. Alia berdehem perlahan.

“Mana abang tahu?” Arman tersenyum mendengar panggilan abang dari Alia untuknya.

“Jangan Lia tak tahu,Abang Man ni pandai masak tau? Dari umur 12 tahun lagi dia dah masuk dapur,sampailah sekarang. Bertuah tau Lia dapat dia. Sakit pening tak payah nak order makan dari luar. Ada suami yang akan masakkan.” Puan Mastura bersuara menjawab bagi pihak Arman. Alia menoleh memandang Arman beralih kepada Puan Mastura.

“Mama puji anak sendiri.” kata Alia perlahan dalam cubaan untuk bergurau walaupun nada itu kedengaran tawar di telinganya sendiri. Puan Mastura ketawa. Arman juga.

“Entahlah,rasa macam nak angkat bakul anak sendiri aje pagi ni.” sambut Puan Mastura kembali. Alia melepas tawa kecilnya. Tawa yang buat pertama kalinya Arman dengar sejak mengenali Alia sebulan yang lalu. Senyum juga susah buat isterinya itu,apatah lagi untuk ketawa. Dia tidak tahu apakah tawanya itu ikhlas atau lakonan semata-mata.

“Jemput makan mama,aaa...abang.” kata Alia perlahan di hujungnya sambil menyenduk nasi goreng itu ke pinggan suami dan ibu mertuanya. Mereka mula menjamu selera bersama kesunyian. Tiada siapa yang bersuara memperkatakan tentang nasi gorengnya itu. Alia resah.

“Sayang jangan risau,kalau nasi ni tak sedap,abang atau mama akan berterus terang. Kalau kami senyap,tu maknanya nasi ni sedap.” tiba-tiba Arman bersuara bagai tahu apa yang sedang bermain di fikiran Alia.

“Kenapa macam tu?” Arman dan Puan Mastura senyum mendengar soalan Alia.

“Memang kami macam tu. Tak kiralah siapa yang masak,kalau ada yang tak kena,kami akan bagitahu direct je. Supaya nanti,mutu masakannya dapat diperbaiki lagi. Kalau tak sedap tapi cakap sedap,maknanya sampai bila-bila pun kami akan memasak di tahap yang sama jelah.” Alia tersenyum kecil mendengar jawapan Arman. Dia mengerti.

“Terima kasih sayang,masak untuk abang. Masakan pertama isteri abang. Memang sedap. Kan,mama?” kata Arman lembut romantis. Puan Mastura mengangguk. Alia tersenyum dan menyuap nasi goreng itu ke mulutnya. Sudah lama dia tidak memasak nasi goreng itu tetapi dia tidak sangka ianya sedap. Secukup rasa di lidahnya. Dia berasa lega.

“Mama,abang nak kena pergi ofis pagi ni,tapi tak lama. Nak kena tandatangan dokumen penting. Nanti mama kawan baik-baik dengan Lia ya? Jangan nakal-nakal. Main elok-elok. Tak mau gaduh-gaduh tau?” Pesanan Arman buat tawa Puan Mastura tercetus. Arman juga ikut ketawa. Alia yang terkejut hanya mampu tersenyum keliru.

“Pergilah. Lepas ni mama nak ajak Lia main congkak. Lia nak tak?” Sekali lagi Alia terkejut dengan soalan dari ibu mertuanya,namun dia senyum dan mengangguk. Arman tersenyum dan mereka menyudahkan sarapan pagi mereka dengan perbualan kecil yang muncul sekali sekala. Dengan hanya berbaju kemeja,bercelana denim dan berjaket hitam, Arman mengambil telefon bimbit dan kunci keretanya menuju ke muka pintu. Dia menyalami mamanya lalu mencium dahi wanita itu dan disudahi dengan sebuah pelukan. Ralit Alia memerhatinya. Terasa begitu tebal kasih sayang kedua-duanya. Teringat kembali kata-kata Arman sebelum ini,dia sayangkan mamanya dan wanita itu juga mahukan kebahagiaannya.

“Sayang,abang pergi dulu.” kata Arman sambil menghulurkan tangannya kepada Alia. Alia yang terkejut dan terpinga-pinga,perlahan-lahan menyambut huluran tangan Arman lalu mencium tangan lelaki itu. Apabila dia mendongak semula,wajah Arman disua hampir ke wajahnya. Alia terkejut lagi dan berundur setapak ke belakang.

“Abang nak buat apa ni?” soal Alia panik. Arman senyum.

“I just want to kiss my wife,like I kiss my mom.” Sekali lagi Alia terkejut. Dia memandang Puan Mastura dan wanita itu sedang tersenyum memandangnya.

“Maaf abang,Lia tak biasa. Terkejut sikit tadi.” kata Alia sedikit tergagap. Arman senyum.

“Same goes here. This is my first time too.”

“Tapi Lia tak sama macam mama.” kata Alia perlahan. Arman senyum lagi.

“Bagi abang,Lia dan mama sama aje di hati abang. Dua-dua pun abang sayang.” Jawapan Arman buat Alia terdiam. Tidak tahu apa yang harus dia rasakan. Dia keliru antara kemarahannya dan kasih sayang yang Arman dan mamanya tunjukkan padanya. Namun jauh di sudut hati,dia merasakan Arman sedang berpura-pura dengannya. Bagaimana Arman bisa menyayanginya sedangkan mereka tidak pernah saling mengenali? Mustahil Arman menyayanginya sedangkan usia perkahwinan mereka baru sehari dua. Ya,Arman sedang berlakon dan itu lebih menyakitkan hatinya. Alia tunduk menahan rasa. Tiba-tiba Arman memegang kedua-dua pipinya dan perlahan mencium dahinya. Alia tidak mampu tersenyum. Mukanya terasa berbahang. Dia marah kerana merasakan Arman sedang mengambil kesempatan ke atasnya di hadapan ibunya.

“Pergilah hantar suami ke kereta.” bisik Puan Mastura ke telinga Alia. Alia senyum nipis dan mengangguk. Puan Mastura berlalu ke dalam rumah.

“Abang pergi dulu. Sebelum tengah hari nanti abang balik. Lia tak payah masak. Kita makan kat luar. Lepas tu kita pergi shopping pakaian dan keperluan Lia. Okey?” Alia diam. Arman pegang tangan Alia dan segera Alia menariknya.

“Boleh tak kalau awak tak sentuh saya? Saya tak suka.” Arman terdiam.

“Awak tak payah pura-pura sayangkan saya,Arman. Saya tahu siapa saya dan siapa kita. Penyatuan kita ni atas kertas sahaja. Hakikatnya kita tak akan bersatu sampai bila-bilapun.” kata Alia tanpa memandang Arman. Entah kenapa dia tidak sanggup melihat mata lelaki itu.

“Jadi awak tak payahlah buang masa awak untuk sayang atau cuba sayang saya.Tak ada gunanya dan semuanya sudah terlambat. Sejak mula lagi ianya memang sudah terlambat.” kata Alia menyudahkan. Arman masuk ke keretanya. Alia berpaling darinya.

“Alia?” Langkah Alia terhenti tetapi dia tidak menoleh ke arah Arman.

“Terima kasih untuk apa yang Lia dah lakukan untuk abang terutama di hadapan mama tadi. Anggaplah abang dah terhutang budi dengan Lia.” Alia terdiam di situ dan Arman berlalu tanpa Alia menoleh memandangnya. Apabila kereta Arman sudah hilang dari balik pagar besar itu,perlahan Alia menoleh. Hatinya jadi tidak keruan. Rasa marah melimpah di ruang hatinya. Dia meluru masuk ke bilik tidurnya dan menghempas tubuhnya di atas katil. Dia melepas tangis geramnya dan mengambil sebiji bantal lalu menutup mukanya.

“Arghhh!!! Benci!!!” tempiknya sekuat hati dari balik bantal itu. Rasa sakitnya diluah sepuas hatinya dari suara yang tidak mampu didengari sesiapa itu. Dia menangis semahu-mahunya. Arman. Kebaikan dan kelembutan lelaki itu memamah hatinya. Dia benci. Sangat benci. Tiba-tiba ketukan di pintu biliknya buat Alia tersedar. Dia menyapu air matanya dan membuka pintu. Puan Mastura berdiri di situ bersama senyumannya.

“Tadi kata nak teman mama main congkak. Jomlah.” Walaupun terkejut dan tidak sangka bahawa kata-kata Arman tadi bukan sekadar gurauan,Alia tetap tersenyum dan mengangguk. Apapun jua,bukan salah wanita ini untuk setiap masalahnya dengan Arman.

-cnc-

DIA ADA CINTAWo Geschichten leben. Entdecke jetzt