Bab 1

938 16 0
                                    

Alia merenung wajah seorang lelaki yang terpampang di skrin telefon bimbitnya. Pandangannya kosong,sekosong fikirannya saat ini. Lelaki di matanya ini,adalah lelaki yang tidak pernah dikenalinya juga tidak pernah diperkenalkan kepadanya. Namanya juga dia tidak tahu. Dia mencari tanpa mengetahui apa-apa tentang lelaki itu. Hanya satu yang dia tahu,dia perlu mencarinya. Hatinya dipenuhi keresahan. Dia takut. Takut andai pencariannya berakhir dengan kekecewaan. Dia tidak punya banyak waktu untuk itu.
Alia mengeluh sendiri. Matahari berdiri tegak di atas kepalanya. Dia mendongak sedikit. Panas dan silau. Dedaunan dari pokok di belakangnya bagai tidak mampu untuk memberikan keredupan buatnya. Terasa kepenatan mula menguasai tubuhnya. Perutnya juga sudah terasa lapar. Dia hanya bersarapan dengan sekeping roti bakar bersama secawa teh suam. Dia perlu beredar untuk menjamah sedikit makanan sebelum meneruskan pencariannya semula.
‘Ya Allah,berikanlah aku kekuatan. Hanya padaMu tempat aku memohon pertolongan.’ bisik hatinya bersama harapan dan kepercayaan terhadap ihsan yang Maha Esa. Dia memejamkan matanya sesaat dua. Menarik nafasnya dalam-dalam lalu membuka matanya semula. Tanpa menoleh ke kiri kanannya,dia terus bangun. Baru selangkah kakinya diatur,tubuhnya dirempuh sesuatu. Dia menoleh bersama decitan kasar di bibirnya. Tangannya menggosok perlahan bahu kirinya.

“Ishk,buta ke apa?” soal Alia sedikit meninggi bersama kerutan wajah yang marah.

“Maaf,Cik. Saya tak sengaja.” kata suara itu dari sisinya. Tangannya mahu memegang lengan Alia namun dia teragak-agak. Alia mendongak memandangnya. Saat itu suasana terasa sepi di telinga lelaki itu. Matanya melekap di wajah Alia. Bermula dari mata,anak matanya beralih ke hidung dan bibir Alia dan renungannya berakhir di mata Alia semula. Melihat renungan lelaki itu di wajahnya,Alia berasa marah.

“Awak tengok apa? Tak pernah tengok orang ke sebelum ni? Atau awak nak pastikan makhluk jenis apa yang awak dah langgar ni?” soal Alia marah. Dia tidak dapat menahan emosinya kerana fikirannya terlalu serabut ketika ini.

“Err...saya tak...”

“Lain kali kalau jalan pakai mata,jangan pakai telinga.” pintas Alia geram bersama rahang yang dikacipkan. Lelaki itu tersenyum nipis tetapi matanya tetap ralit di wajah Alia.

“Maaf,Cik. Saya betul-betul tak sengaja.” kata lelaki itu bersopan. Alia mendengus dan duduk semula di bangkunya tadi.

“Sengaja ke tak sengaja ke,awak dah langgar pun. Lain kali jangan main jalan aje. Tengok sikit kiri kanan.” balas Alia sedikit perlahan namun nadanya masih sama. Lelaki itu diam. Tidak mahu berbahas dan berbalas kata walaupun dia sangat pasti,itu bukan salahnya. Alia yang berjalan ‘tanpa mata’,tetapi kesalahan diletakkan di bahunya.

“Saya tahulah orang berpakaian korporat macam awak ni sibuk aje memanjang,tapi kat muka bumi ni bukan awak sorang aje yang ada. Jalan ni pun bukan awak yang punya. Jadi,tengok-tengoklah sikit bila berjalan tu.” sambung Alia lagi. Lelaki itu melirik jam di tangannya. Di hujungnya dia merenung wajah Alia yang masih lagi menggosok bahunya.

“Err,Cik tak apa-apa kan? Ke nak saya bawa pergi klinik?” soalnya lagi. Alia kembali memandangnya bersama redup amarah di matanya.

“Tak payah nak sindirlah. Tangan saya ni bukannya patah pun sampai awak nak bawa saya pergi klinik.” balas Alia sedikit kuat. Lelaki itu terdiam. Dia melirik jam di tangannya semula bersama riak wajah yang resah. Alia mendengus lalu berdecit.

“Dahlah. Pergilah. Tak payah nak tercegat kat sini lagi.” kata Alia lagi diiringi tona suara seperti sebelumnya. Dia tahu lelaki itu mahu cepat.

“Errr...saya...” Itu sahaja yang mampu lelaki itu keluarkan dari kotak suaranya. Dia serba salah namun dia sedang memburu waktu. Alia tidak lagi memandangnya. Tanpa sepatah kata,dia terus melangkah pergi. Alia mendengus perlahan. Dia memandang gambar lelaki di tangannya dan memeluk telefon bimbitnya di dadanya sambil memejamkan matanya. Hatinya berdoa agar dipertemukan dengan lelaki itu. Sesaat dua,dia kembali memandang gambar itu lagi. Kali ini renungannya lebih dalam dari sebelumnya. Ada sesuatu yang memberitahunya tentang pemilik gambar itu. Tiba-tiba matanya mencerlang ke arah gambar tersebut. Pantas dia menoleh ke arah lelaki yang sedang melangkah pergi darinya itu. Alia menatap lagi wajah di tangannya dan berpaling semula ke arah lelaki yang semakin jauh darinya itu. Ya,Alia baru tersedar tentang sesuatu. Tanpa berfikir apa-apa lagi,Alia terus bangun dan mengatur langkah selaju mungkin menuju kepada lelaki itu.

“Encik?” Lelaki itu berhenti dan menoleh. Mereka berdiri saling berhadapan. Dengan nafas yang mengah,Alia cuba mengukir senyum untuk lelaki itu.

“Saya minta maaf fasal tadi. Saya tak ada niat nak berkasar dengan Encik. Saya...”

“Tak apa. Saya faham. Memang salah saya pun. Saya yang jalan tak pakai mata.” pintas lelaki itu bersopan. Alia tertunduk sedikit. Sepi.

“Tapi tadi saya jalan pakai kaki,bukan telinga.” sambung lelaki itu lagi. Alia tertunduk mengerutkan wajahnya sambil menggigit bibirnya sendiri. Lelaki itu senyum.

“Saya dah maafkan dan saya harap awakpun dah maafkan saya.” kata lelaki itu masih bersama tona suara yang sama. Alia melirik bersama sedikit senyuman.

“Err...Sorry Cik,saya rushing ni. Ada meeting sekejap lagi. Ada apa-apa yang boleh saya tolong?” Alia mendongak memandangnya lalu menggeleng perlahan. Lelaki itu melirik jam di tangannya semula lalu mengeluarkan sekeping kad dari beg duitnya.

“Ini kad saya. Kalau ada apa-apa,cari saya kat sini. But for now,I really need to go. So sorry.” katanya sopan sambil menghulurkan kad itu kepada Alia. Perlahan Alia menyambutnya bersama senyuman dan anggukan kecil. Senyumannya berbalas dan lelaki itu terus berlalu.

Alia terus berdiri di situ bersama sekeping kad yang dipegang utuh di jarinya. Matanya melekap pada sebuah nama di kad itu. Dadanya berdebar kelegaan namun sedikit keresahan menyapa hatinya. Matanya singgah pada jawatan yang disandang lelaki itu.

“Managing Director.” Alia mengukir senyum.
‘Kalau ada apa-apa,cari saya kat sini.’ Senyuman Alia semakin melebar. Dia memejamkan matanya sesaat dua sambil menarik dalam nafasnya. Pencariannya sudah berakhir. Hari ini takdir kembali memihak kepadanya. Sudah lama dia mencari dan mencari bersama keyakinan yang kian menipis. Hari ini juga,semangatnya sudah pudar sepenuhnya. Putus asa. Itulah perkataan yang melekap di fikirannya dan kian tertanam di jiwanya. Hampir sebulan telah berlalu dan hari ini,Alia sudah mengaku kalah dengan diri sendiri. Dia sudah mengalah dari terus memerah otak untuk berfikir dan terus berfikir untuk menjejaki pemilik gambar itu. Dia tidak mampu melangkah lebih jauh dan memerah keringat mencarinya di mana-mana. Dunia terasa sangat luas baginya. Setiap langkah yang diatur saban hari,semakin melemahkan kudratnya. Ribuan wajah yang dilihatnya setiap hari,cukup untuk merimaskan matanya dan menyesakkan fikirannya. Akhirnya hari ini,tanpa diduga wajah itu muncul begitu sahaja di hadapan matanya. Alia kembali percaya kepada takdirnya. Dia tahu ada sesuatu yang baik sedang menantinya. Senyuman tipisnya tadi bertukar kepada sebuah senyuman yang kian melebar. Senyuman kesyukuran dan kepuasan.

“Alhamdulillah. Terima kasih ya Allah. Sesungguhnya Kau maha Pengasih dan Penyayang.” ucap Alia perlahan. Terasa dunia kembali bersinar buatnya. Dia tunduk melihat wajah di telefon bimbitnya dan membaca nama yang tertulis pada kad di tangan kanannya.

“Ya,saya pasti akan cari awak. Pasti.” katanya perlahan bersama mata yang melekap pada nama yang tertera di kad itu.

“Kita pasti akan berjumpa lagi...dan lagi...” Sepi seketika.

“Arman Zafrie..”

-bycnc-

DIA ADA CINTAWhere stories live. Discover now