"Awak dah makan ke ni?"
Rayy soal sambil hulur pisang goreng masuk ke dalam mulut Nura. Wanita itu berusaha menolak tapi tangan Rayy tak sudah sua pisang goreng.
Haihh, Rayy ni.. dah pesan banyak kali tapi tetap juga macam tu.
"Tak nak, kalau saya nak makan, tahulah saya ambil sendiri nanti."
Nura masih mengelak. Kepalanya dijauhkan. Tidak mahu Rayy menyuapnya. Macam mana kalau orang yang mengenalinya melihat kejadian itu? Ah, pasti sangat memalukan!
"Kalau saya tak suap awak makan, awak takkan makan Nura. Macamlah jijik sangat makanan yang saya bagi kat awak selama ni."
Nura mendecit. Aik, sudah! Rayy ni dah mula berdrama pulak.
Dengan hujung mata, dia nampak Rayy suap pisang goreng tu masuk dalam mulut sendiri. Merajuklah tu!
"Kan kita dah bincang sebelum ni.. belum masanya lagi."
Demi mendengarkan ayat itu, serta-merta senyuman manis terukir dibibir yang ditumbuhi dengan misai itu.
Nampak seperti misai lelaki itu semakin panjang tapi matanya tak pula rasa rimas. Tetap nampak manis dimatanya. Malah, cermin mata besar yang terletak elok antara mata dan pangkal hidung mancung Rayy sentiasa kelihatan menawan di matanya!
"Tak sabar saya nak ikat awak Nura. Saya nak awak pegang kata-kata saya ni, hingga ke hujung hayat pun, saya tetap nakkan awak."
Uiks, ayat! Jiwang betul! Rayy ni,kalau sehari tak bagi dia perasan agaknya tak boleh. Tapi bibirnya sendiri sudah mempamer senyum bahagia. Itulah antara kelebihan Rayy yang dia suka sangat. Jarang nak marah dia. Bahkan sentiasa menyokong apa sahaja yang dia akan lakukan.
"Mulut.. manisnya! Awak ni suka tanam tebu ya?"
Rayy senyum kemudian pandang wajahnya lama. Dia pula yang serba salah. Haihh, Rayy ni.
"Of courselah. Macam awak tak kenal saya. Ni, saya nak tanya awak. Dah berapa lama kita kenal, sampai awak tak kenal saya hah?"
Rayy sengaja mendekatkan bahu mereka namun lekas juga Nura menjauh. Sabar, belum masanya lagi.
"Eh, marah ke?"
Dia ambil kunci motor Rayy atas meja dan cucuk bahu lelaki itu. Tak sempat nak tarik semula tangan, Rayy dah tarik kunci motor dalam tangannya.
"Lepaslah awak. Tak baik macam ni." Matanya meliar melihat sekeliling. Mujurlah, masing-masing buat hal sendiri.
"Eh, siapa kacau siapa? Awak yang main cucuk-cucukkan?" Rayy sengih. Gatal.
"Tapi bukan nak suruh awak buat juga. Cucuk guna kuncikan?" Nura pamper senyum. Bahagia.
"Ahh, tak kira.. ikutkan saya nak sentuh tangan awak ni tau."
Rayy sudah tersenyum. Nampak sangat senyum mengusik.
Hailaa, Rayy ni.. saja buat hati dia gawat sendiri. Kemudian kunci ditangan dilepaskannya. Lepas tu, dia nampak Rayy terus letak kunci tu atas meja.
"Hmm.. lepas ni masuk kerja semula ke?"
Dia sengaja menukar topik. Rayy angguk sambil melihat jam ditangan. Jam pasar malam saja pun, tapi dia nampak Rayy tak pernah tanggal jam pemberiannya itu. Dan itu sudah membuktikan perasaan Rayy padanya.
"Lecehlah, dah balik kena masuk semula, tapi nak buat macamana, ada anak dara orang tu nak hantaran mahal-mahal, terpaksalah kita ni berkorban."
Amboi, ayat! Sekali lagi bahu Rayy menjadi sasaran tapi kali ni pakej hempukan menggunakan sling begnya sekali.
"Dah babah yang tetapkan. Lagipun, bukan awak tak tahu, babah nak tengok kesungguhan awak."
Rasanya perkara ni mereka pernah bincangkan sebelum ini, tapi tak tahulah kalau Rayy ni buat-buat lupa pula.
"Alaa.. saya acah saja. Untuk awak 3,4 kerja sehari pun saya sanggup buat tau."
Tidak semena-mena wajah lelaki itu bertukar serius.
"Hmm.. terima kasih awak."
Memang dia nampak kesungguhan Rayy yang begitu bekerja keras mahu menyimpan duit untuk majlis perkahwinan mereka nanti.
Bukan dia tak nampak usaha itu, bahkan dia terlalu bersyukur. Sementalah pula, dia anak sulung dalam keluarganya, jadi babah mahu dia dicontohi oleh adik-beradiknya yang lain. Sebab itu, dia juga selalu berharap dan memohon agar hubungannya dan Rayy akan berkekalan.
"Hmm.. esok saya ada hal sikit tau. Tak boleh nak jumpa awak macam biasa. Tapi, bila saya call jangan tak angkat pula ya."
Suara Rayy memecah gegendangnya.
Kepalanya diangguk tanda faham. Dia sendiri tahu yang Rayy ni buat 3 kerja dalam masa sehari. Tapi itu pun, tetap juga Rayy cari masa untuk berjumpa dengannya. Bukan dia tak pernah cakap sebelum ini tapi, tulah.. Rayy siap jawab, kalau tak nampak depan mata, ibarat Rayy ni tak bernyawa. Huh, ayat tak boleh blah!
"Samalah, esok pun saya busy juga. Pagi nak kena gubah bunga untuk hantaran kahwin. Petang tu pun sama."
Nura juga mempunyai kerja sendiri. Kalau kena ada tempahan, memang tak menang tangan dia mahu menyiapkan kerja.
"Eh? Lagi ke? Bukan awak kata dah ada orang gantikan awak ke?"
Rayy pandang wajahnya lama.
"Orang tu memang dah ada. Tapi, Kak Najjah kata hold dulu sebab ni macam dah terlebih pekerja pula."
"Pulak dah. Saya Cuma kesiankan awak. Kalau boleh, biarlah saya seorang yang cari duit untuk majlis kahwin kita nanti."
"Apa guna saya sebagai kekasih awak kalau tak boleh nak bantu sama? Semua pun awak nak buat sorang-sorang tau."
"Awak tu perempuan, saya ni lelaki. Jadi tanggungjawab tu atas saya, tahu tak?"
"Ikut awaklah, tapi buat masa ni saya tetap nak kerja dan cari duit sendiri."
"Saya tak halang awak, tapi saya nak awak tahu,bila kita dah kahwin nanti biar saya tanggung awak. Awak duduk rumah saja tau."
Kata-kata Rayy menyenangkan Nura.
Bibirnya terus terukir senyum. Bahagia. Siapa kata berkasih ini tidak bahagia? Adatlah jika bergaduh pun, tapi selalunya antara dia dan Rayy ni, Rayy yang lebih banyak mengalah berbanding dirinya. Lagi satu, Rayy tidak pernah melakukan bukan-bukan pada dirinya. Malah, sentiasa menghormatinya dalam apa juga keadaan.
"Terima kasih awak." Dalam diam, hatinya terselit rasa yang tidak mampu diungkap. Hanya dengan ucapan terima kasih sahajalah dia mampu beri pada Rayy buat masa ini.
"Jangan ucap terima kasih lagi. Tunggu bila kita dah sah nanti."
Ayat itu disulami dengan senyuman dan jelingan nakal Rayy.
Aihh, nak kena Rayy ni! Serentak itux bahu Rayy sudah menjadi sasaran sling bagnya.
Padan muka! Suka betul beli jiwanya dengan cara sebegitu.
YOU ARE READING
Secretly Yours
General FictionNura pernah percaya bahawa Rayy ialah lelaki yang akan mencintainya sampai bila-bila. Sampailah satu rahsia terbongkar dan menghancurkan seluruh kepercayaan yang dibina selama ini. Tanpa menoleh lagi, Nura memilih untuk pergi. Dia fikir jarak mampu...
