Bab 21

933 126 0
                                    

Con Café penuh dengan anak muda. Sama seperti malam minggu sebelum-sebelumnya. Mungkin kerana suasana kafe dan lagu-lagu yang diputarkan menepati citarasa anak muda zaman kini. Tambahan pula, kafe ini terletak berdekatan dengan kampus. Tak sampai sepuluh minit, dah sampai.

          "Em!" Abel melambai ke arahku.

          Aku membalas dengan senyuman. Langkah longlaiku atur ke arah mereka. Yang duduk jauh di sudut belakang kafe. Hanif mengambil tote bag dari tanganku lalu dia letakkan pada ribanya. Salah satu hal yang biasa dia lakukan sejak aku mengenalinya.

          "Kenapa kau lambat?" Tanya Abel.

          "Aku—"

Beberapa minit yang lalu...

          Pemandu Grab menurunkanku berhampiran pondok perhentian bas. Sengaja aku meminta dia menurunkanku di situ. Lagi pun, Con Café berhadapan dengan pondok perhentian bas beratap biru itu.

          Pintu kereta aku tutup dan tiba-tiba, pergelangan tangaku direntap kuat. Nafasku hampir terputus. Deruan darah terngiang di telinga sendiri. Sangkaku peragut. Rupa-rupanya, hanya seseorang nenek tua.

          "Nenek—" Aku tidak dapat menghabiskan persoalanku kerana apabila pandangan mata kami bertemu, lidahku kelu sepenuhnya.

          "Nenek nak tanya. Kenal cucu nenek tak?" Tanyanya kepadaku dengan suara sayu.

          Soalan yang sama dia ulang berkali-kali. Genggaman tangannya yang pada mulanya aku rasakan terlalu kuat kini terasa hangat. Mataku juga terasa hangat dan kabur.

          "Maaf." Sedar apa yang sedang berlaku, aku menarik tanganku. "Saya tak kenal."

          Tanpa berlengah, aku terus meninggalkannya bersendirian di situ.

          "Em? Oh, Em!" Abel memetik jari di depan mataku. "Orang tanya, dia menghayal pula!"

          Apa yang aku buat ni? Aku—aku tak sepatutnya buat macam tu.

          "Awak okay ke?" Tanya Hanif.

          "Hannah!" Aku membiarkan soalannya berlalu. "Kau ada number Arasy tak?"

          "Ada. Kenapa?"

          Aku bingkas bangun. "Text aku number dia."

         "Awak nak pergi mana?" Tanya Hanif lagi.

         "Saya keluar kejap. Kejap je." Jawabku lalu memandang Hannah semula. "Text aku tau." Sempat memperingatkannya sebelum meninggalkan Con Café.

+

7 tahun lalu...

          "Opah! Em datang ni!" Jeritku dari bawah kolong rumah kayu Opah.

          "Haa! Muncul pun!" Nenek tua itu bergegas turun ke bawah. Membawa dulang berisi sepinggan pisang goreng dan teko teh. "Dari pukul 4 lagi Opah dah tunggu."

          Aku menayang sengihan. Tubuh gempalku terasa lebih ringan setelah menghenyakkan punggung pada kerusi. Dulang Opah letakkan ke atas meja. Melihat pisang goreng, perut yang baru aku isi berkeroncong lagi.

          Pantang nampak makanan. Terus lapar!

          "Opah buat sendiri ke?" Soalku, tangan sudah mencapai pisang goreng yang dihidang di depan mata.

           "Iyalah. Bukan susah pun goreng pisang ni hah. Lagipun pokok pisang kat belakang rumah Opah dah berbuah."

           "Oh." Aku mengangguk. Mulut sibuk mengunyah. "Cucu kesayangan Opah tu mana pula?"

           "Kenapa cari? Rindu ke?" Arasy muncul dengan parang di tangan. Peluh di dahi dia kesat.
         
           "Tak nak makan sekali ke?"

            Arasy menggeleng. "Tengah diet ni. Mana boleh makan makanan goreng."

           "Sekurangnya jamahlah sikit. Kesian kat Opah." Pujukku.

           "Tak apalah." Opah mengusap belakangku. "Biar ajelah dia. Tengok kamu makan pun, Opah dah cukup senang hati dah. Jangan pandai-pandai nak ikut Arasy ni diet pula. Nanti siapa nak makan masakan Opah?"

          "Opah jangan risaulah! Em boleh habiskan semua!"

          Tawa Opah bergema.

          Setandan pisang yang duduk pada bangku bersebelahan nenek tua yang mencari cucunya itu aku tatap lama. Memori tujuh tahun lalu itu mengusik hati. Sebak memenuhi dada.

           Air mata bertakung di tubir mata melihat kedutan tangan dan mukanya. Nampak lebih tua berbanding kali terakhir aku melihatnya.

          Kenapa Opah tak cam muka aku? Opah dah lupakan aku ke? Atau dia pura-pura tak kenal aku? Tapi kenapa?

          Air mata yang ditahan jatuh akhirnya. Jari pantas naik, mengesatnya meskipun nenek tua itu tidak mungkin melihatku. Sejak sepuluh minit yang lalu, dia hanya melihat ke jalan raya di hadapan. Sekali-sekali, jika ada lelaki yang lalu, dia akan berasa teruja. Namun apabila mengetahui lelaki itu bukan Arasy, dia terduduk semula.

          "Opah!"

          Suara garau itu membuatkan aku menoleh laju. Memalingkan wajahku ke arah lain. Perlahan-lahan, aku bangun dan bergerak ke belakang pondok. Bersembunyi daripadanya.

          "Opah buat apa kat sini? Kenapa tak beritahu Arasy nak datang KL? Arasy boleh jemput. Tahu tak bahaya kalau Opah seorang-seorang macam ni?"

          "Arasy?" Nada kebingungan jelas kedengaran.

         "Ya, Opah. Arasy ni."

         "Arasy! Arasy cucu Opah! Arasy cucu Opah!"

         "Ya. Arasy cucu Opah."

         Opah pun tak kenal Arasy?

         "Jom. Ikut Arasy. Kita pulang, ya?" Pujuknya dengan nada lemah.

         "Jom. Jom pulang!"

         "Barang banyak macam ni pula tu. Haih, Opah ni buat orang risaulah." Keluhnya.

         Derapan tapak kaki berlalu pergi membuatkanku mencuri pandang ke hadapan pondok. Opah sudah selamat di tempat duduk penumpang kereta. Arasy pula menyusun barang Opah ke dalam hud kereta sebelum meluncur masuk ke dalam tempat duduk pemandu.

          Enjin kereta menderum. Isyarat diberi kemudian stereng dipusingkan. Menukar laluan ke kiri. Aku melangkah keluar dari tempat persembunyianku dan merenung kereta Arasy yang semakin jauh dari pondok perhentian bas.

          Aku terduduk pada bangku. Jari bermain dengan permukaan logam tempat Opah melabuhkan punggung sambil menunggu cucu tunggalnya.

         "Em minta maaf sebab tak dapat tegur Opah. Opah pun tak kenal Em lagikan? Sebab Em dah jauh berubah." Nafas aku hela. "Em minta maaf. Em minta maaf sangat-sangat."

          Wajah aku raup. Menangis semahuku tanpa mempedulikan sesiapa sahaja yang melihatku.

OxytocinWhere stories live. Discover now