Dihantui Oleh Bunyi Yang Seram

32 5 9
                                    

#DudukRumah SeramMY

Ahli rumah semuanya sudah kembali ke kampung mereka sehari selepas PKP diarahkan. Aku tetap di rumah sewa. Sebagai lelaki sejati, aku yakin aku boleh bertahan sendiri. Namun, aku silap.

Masuk minggu kedua PKP, aku mula gelisah. Malam itu, sedang aku fokus ralit bermain PUBG, fokusku disentak bila bunyi, 'Tek! Tek! Tek!' dari suatu sudut bilik menyapa pendengaranku. Seperti bunyi titisan air jatuh ke lantai.

Mulanya kuabaikan. Fikirku air menitik dari siling. Sebab rumah sewaku bolehlah dikatakan usang juga - cuma telah dibaik pulih. Tapi sebab sewa rumah yang murah, tanpa berfikir panjang aku memilihnya. Selepas kejadian itu, aku tidak lagi mengalami benda pelik lainnya. Jadi aku fikir, betullah sangkaanku siling bocor. Tapi, ternyata aku silap.

'Bang!' 5 hari selepas itu, bunyi ini mengejutkan lenaku. Pantas aku bangkit dari pembaringan. Kuperhatikan sekeliling.

'BANG!' Kali itu aku tidak menunggu lama. Kaki berlari terus ke ruang tamu. Aku cukup pasti bunyi itu datang dari arah sama dengan bunyi titisan air yang kudengar sebelum ini.

Kini selepas 2 minggu melalui pelbagai macam perkara aneh, aku yakin dan pasti yang aku sedang melalui aktiviti paranormal. Apa lagi yang boleh memperjelaskan tentang bunyian aneh, barang berubah tempat, dan kelibat-kelibat berlegaran yang aku nampak melainkan adanya makhluk ghaib menghantuiku.

Terganggu. Ingin lari, tapi ke mana. Kampung asal nun jauh di Melaka, sedangkan aku sekarang merantau di Kelantan. Lagi-lagi masa PKP ni. Aku terpaksa bertahan.

Namun, terganggu bukan kerna takut. Lebih kepada hairan, mengapa baru sekarang gangguan itu muncul. Sedangkan sepanjang 2 tahun aku menetap di situ, aku tidak pernah mengalaminya. Akhirnya, aku memutuskan untuk menyiasat perkara itu. Cewah.

Minggu ketiga, aku memasang perakam suara pada setiap malam sebelum tidur. Nak rakam video, tak mampu nak beli camcorder, jadi ni jalah yang aku mampu. Maka, bermulalah aktiviti penyiasatanku.

Isnin, normal. Selasa, cuma terdengar bunyi motorsikal yang lalu-lalang di sekitar taman perumahan. Rabu, Khamis, berlalu seperti biasa.

Jumaat, malam ini aku memasang lagi perakam suara. Usai solat Isya', aku melayan beberapa episod anime sebelum tiba-tiba aku diserang kantuk yang amat. Tanpa sedar aku terlena.

'Tek! Tek!' Mata kubuka. Tanpa sedar keningku sedang berkerut. Aku memegang dahi. Basah. Kupandang siling di atas kepala, titisan air menitik darinya. Kerutan di dahi bertambah. Baru berniat ingin mencari tuala, cahaya skrin telefon menarik minatku.

Telefon kucapai. Beberapa notifikasi kuabaikan. Kubuka aplikasi perakam suara yang telah terhenti. Terdapat rakaman suara baru di situ. Rakaman itu kupasang. Sepi. Volum suara kutingkatkan.

"HAHAHAHAHAHAHAHAHA!!!" Ilai tawa itu bergema disegenap sudut ruangan bilik. Jantungku berdegup kencang. Berkali aku cuba mematikan rakaman itu, namun masih tetap terpasang.

Tanpa tanda, tiba-tiba ia terhenti sendiri. Belum sempat menarik nafas lega, beberapa saat kemudian ilai tawa nyaring meremangkan bulu roma kembali bergema. Mataku membulat. Ilaian itu.

Betul-betul dari atas kepalaku.

Tanpa berfikir dua kali, pantas kaki berlari keluar dari bilik dan terus keluar dari rumah sewaku. Langsung tidak menoleh walau sekali. Aku tidak tahu apa itu dan aku tidak ingin tahu. Apa yang aku tahu, walau apa yang terjadi, esok aku perlu keluar dari rumah itu.

#DudukRumahTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang