15

89 4 1
                                    


"Kanda Tufail!" Taqiah bergegas memeluk Tufail sejurus melihat lelaki itu muncul di dalam kamar Permaisuri Zafirah. Tufail membalas pelukannya sambil memerhatikan pokok bunga Carifellia di tepi jendela. Ternyata masih ada satu tangkai bunga yang belum bertukar menjadi warna kuning. Pak Syibli yang mengiringi Tufail masih lagi dengan senyumannya.


"Bukankah kanda sudah memberitahumu, kanda akan pulang sebelum bunga itu menguning kembali?" Tufail mengusap kepala Taqiah. Kemudian, Saefullah datang membawakan sup yang direneh daripada kaktus tidak berduri yang telah diserahkan kepada tukang masak istana sebelum itu. Tufail mengambil mangkuk sup itu. Taqiah membantu mendudukkan Permaisuri Zafirah. Perlahan-lahan, sup dituang masuk ke dalam mulut bondanya.


Maka dengan izin Tuhan yang Maha Kuasa, Permaisuri Zafirah yang sebelumnya pucat lesi telah bertukar sihat. Matanya terbuka luas dan kepalanya tidak lagi mengalami kesakitan seperti biasa. Permaisuri Zafirah memandang kedua-dua anaknya sambil menghantar senyuman. Tufail segera memeluk bondanya.


"Maafkan Tufail, bonda. Aku seharusnya membantumu selama ini dengan urusan kerajaan kerana Tuhan telah mengamanahkanku dengan tugasan ini. Selama sepuluh tahun aku membiarkanmu memerintah sehingga sakit-sakit begini," Tufail diserang rasa bersalah.


Permaisuri Zafirah mengucup dahi Tufai. "Bonda memahamimu, anakku. Terlalu banyak beban yang difikirkanmu. Bonda tidak menyalahkanmu."


"Tetapi disebabkanku, Kota Tuhama sudah hilang nur Islam. Pemberontakan berlaku di mana-mana. Sebahagian rakyat mulai murtad, malah ada yang Mulhid. Tufail juga telah menemukan segelintir rakyat yang munafiq, bonda." Tufail menceritakan kisah perjalanannya kepada Permaisuri Zafirah, Taqiah dan Pak Syibli. Tufail meminta agar pihak istana berterusan membeli roti daripada Syaqiq Al-Balkhi yang telah membantunya. Permaisuri Zafirah menitiskan air matanya apabila mendengar kisah Tufail diseksa di dalam penjara yang dibina oleh kaum Metalia. Namun dengan kuasa Tuhan, segalanya telah berakhir dan Tufail berjaya pulang dengan aman.


"Bonda, Pak Syibli, Taqiah, pengalamanku telah banyak mengajarku untuk bersikap lebih matang. Kini aku lebih bersedia untuk memikul jawatan ayahanda. Bonda, aku telah siap untuk ditabalkan menjadi raja. Berikanlah aku peluang untuk menebus kembali kesalahanku terhadap rakyat jelata," pinta Tufail.


Permaisuri Zafirah tersenyum. "Duhai anakanda, kamu belum boleh ditabalkan menjadi raja sehingga kamu menikah."


"Jika begitu, aku ingin menikah," Tufail membulatkan tekad.


"Dengan siapa, Tuan Muda?" Pak Syibli menduga. Setahunya, Tufail tidak ada kenalan wanita. Adakah Tufail sudah jatuh cinta dengan salah seorang dayang istana?


"Dia salah seorang daripada kaum Metalia yang telah memeluk Islam. Aku telah membawanya pulang bersamaku. Insha Allah, dengan bantuannya, aku akan berusaha untuk mengurus pentadbiran negara dengan lancar. Masih banyak lagi yang perlu Tufail hadapi dan perbetulkan dengan pertolongannya," Tufail menjelaskan.


"Siapa namanya?" soal Taqiah teruja."Namanya Maria," Tufail senyum.


-TAMAT-

Kaktus Tidak BerduriWhere stories live. Discover now