3

89 1 0
                                    


Sejurus Tufail tiba di kamar Permaisuri Zafirah, tiga orang dayang yang ditugaskan untuk menjaga Permaisuri Zafirah segera keluar dari kamar. Mereka sudah sedia maklum bahawa putera mereka itu tidak senang berada di dalam satu bilik dengan wanita yang bukan mahramnya. Tinggallah Puteri Taqiah yang sedang mengesat darah yang tersisa di bibir bondanya. Tufail jadi sebak melihat kondisi itu. "Taqiah, bonda bagaimana?" Tufail menghampiri mereka.


Taqiah segera meletakkan jari telunjuknya di bibir tanda senyap. "Bonda tertidur kembali. Kepalanya pening. Taqiah tak sampai hati melihat bonda begini, kanda Tufail. Tidak ada carakah untuk menyembuhkan penyakit bonda?" Taqiah seolah-olah merayu kepada satu-satunya abangnya itu. Sudah sebulan lebih Permaisuri Zafirah gerang dan tidak ada satu pun perawat yang dipanggil mampu memulihkan keadaannya. Tufail mengambil posisi duduk di salah sebuah kerusi yang disediakan di dalam kamar itu.


"Sebenarnya ada, adindaku Taqiah. Pak Syibli baru memberitahu kanda sebentar tadi," Tufail masih dibelenggu rasa keliru. Tugas yang diamanahkan oleh Pak Syibli itu seolah-olah sukar untuk dilaksanakannya. Taqiah memandang wajah abangnya dengan penuh persoalan dan harapan.


"Aku perlu mendapatkan kaktus tidak berduri yang dijaga oleh kaum Metalia yang tinggal di pedalaman Kota Tuhama. Kaktus itu nantinya perlu direneh untuk dibuat ramuan sebagai penawar penyakit bonda."


"Kaum Metalia?" Taqiah terkejut. "Bukankah kaum Metalia itu merupakan kaum yang sangat memusuhi kerajaan? Merekalah yang mempengaruhi kaum-kaum yang lain untuk turut murtad. Dan bukankah kini mereka juga sedang membuat rancangan untuk menghasut rakyat jelata supaya memberontak kepada kita?"


Tufail merenung pokok bunga Carifellia yang ditanam di jendela kamar itu. Dia menyentuh pokok-pokok itu dan menukar warnanya daripada kuning kepada merah jambu. "Kanda tahu. Tetapi sekurang-kurangnya, inilah yang boleh aku lakukan untuk berbakti kepada bonda. Aku perlu ke sana dan pulang sebelum musim bunga tiba. Mungkin Allah telah mentakdirkan kanda untuk mengubah dunia ini. Mungkin benar kata-kata Pak Syibli."


"Kanda, kaum Metalia adalah kaum pemberontak. Terlalu bahaya untuk kanda ke sana! Taqiah tidak mahu nyawa kanda juga berada dalam bahaya!" Air mata Taqiah hampir sahaja menitis akibat terlalu risaukan abangnya.


"Taqiah, keputusanku sudah muktamad. Demi keselamatanku, kanda akan menyamar sebagai orang biasa. Askar pelindung tidak perlu mengikutiku. Nanti musuh akan curiga. Aku akan cepat pergi dan cepat pulang. Adinda tolonglah perhatikan bonda, Tariq dan Pak Syibli sepanjang pemergianku. Aku akan berangkat esok hari.""Kanda..."


"Taqiah, aku berjanji, sebelum semua pokok-pokok Carifellia ini bertukar kuning kembali, aku akan pulang bersama penawar itu," Tufail membulatkan tekad. Taqiah sudah tidak mampu berbahas lagi. "Baiklah, Taqiah akan membantu kanda membungkuskan pakaian dan makanan."Pak Syibli yang tidak sengaja mendengar perbualan mereka ketika menunggu di luar kamar menarik senyum bangga.

Kaktus Tidak BerduriWhere stories live. Discover now