14

49 1 0
                                    


"Sesungguhnya bukan kepadaku kalian perlu bersujud, tetapi kepada Tuhan yang Menciptakan kalian." Mendengar arahan itu, Maria serta-merta mengucapkan syahadah dan memeluk Islam. Sudah lama wanita itu mendambakan kebenaran seperti ini.


"Tuan Putera Ibnu Al-Junaid, bererti ibumu yang diracuni itu adalah Permaisuri Zafirah ya?" Tuan Zeiger hampir menangis. Barulah dia teringat sesuatu.


Tufail mengangguk. Tuan Zeiger segera memeluk lutut Tufail dalam keadaan menangis. "Maafkan aku, Tuan Putera. Aku hampir teringat, bahawa sebulan yang lalu aku ada mengutuskan pembantuku untuk meracuni ibumu supaya orang Mulhid dapat memerintah kerajaan. Aku tidak menyangka Tuan Putera akan datang untuk mendapatkan penawar daripada kaktus ini. Bunuhlah aku, bukumlah aku sesungguhnya aku telah melakukan kesalahan yang sangat besar selama hayatku dikandung badan!"


Tufail segera menarik kakinya dan melepaskan pegangan Tuan Zeiger. Rupa-rupanya, lelaki itulah yang menjadi dalang kerosakan yang terjadi dalam Kota Tuhama selama ini. Namun, melihatkan reaksi Tuan Zeiger, Tufail teringat pesanan Pak Syibli lagi untuk memaafkan mereka yang sudah menyesal. "Bangunlah Zeiger," Tufail membantu Tuan Zeiger bangun. "Sekiranya kamu jujur dengan pengakuanmu, aku akan menjadikanmu tawananku. Namun, aku akan membebaskanmu seandainya kamu dapat memenuhi syaratku yang satu ini," pinta Tufail.


"Syarat apa?"


"Kamu perlu mengajar sepuluh kanak-kanak Kota Tuhama sehingga mereka pintar membaca, menulis dan mengira."


Tuan Zeiger mengangguk dan bersetuju dengan syarat tersebut. Malam itu, Tuan Zeiger sendiri yang merawat dan mengawasi Tufail daripada ancaman kaum Metalia yang lain. Dia menyediakan tempat tidur yang selesa dan makanan yang enak buat putera raja itu. Tuan Zeiger benar-benar menyesali kesalahannya kerana telah mengetuai pemberontakan terhadap kerajaan dan Islam selama sepuluh tahun.


Keesokan harinya, Tuan Zeiger memanggil seluruh kaum Metalia untuk berkumpul. Di hadapan mereka, Tuan Zeiger mengucap syahadah dan memeluk Islam. Tufail bersyukur kerana Tuhan telah mengurniakan hidayah kepada lelaki itu dan anaknya. Melihat keislaman Tuan Zeiger, sebahagian daripada mereka juga berubah mahu memeluk Islam kerana taatkan pemimpin. Manakala sebahagian lagi masih sukar untuk menerima ajaran tersebut. Tuan Zeiger menyerahkan jawatannya kepada abang Maria, Mozer yang juga telah memeluk Islam.


"Aku akan mengikutimu pulang ke istana dan sampaikan kemaafanku kepada ibumu setelah dia sembuh nanti. Beberapa pengikutku akan mengawasi kita sepanjang perjalanan," ujar Tuan Zeiger kepada Tufail. Tufail mengangguk mesra sambil mendudukkan untanya untuk ditunggang.


"Tunggu!" Maria menghentikan mereka berdua. "Aku harus mengikut ayahku," Maria memandang Tufail. Tuan Zeiger memegang kedua-dua bahu puterinya. "Maria anakku, kamu langsung tidak bersalah dalam hal ini. Biarlah ayah sahaja yang menjadi tawanan Tuan Putera Ibnu Al-Junaid."


Maria tidak berpuas hati, dia tetap ingin mengikuti mereka ke istana. Dia tidak tahu mengapa nalurinya sangat ingin mengikuti Tufail. Mungkin dia mahu melihat kuasa Tufail yang mampu menukarkan warna tumbuhan. Atau mungkin dia sudah jatuh cinta terhadap putera raja itu?


"Maria, aku memang berterima kasih kerana kamu sudah banyak membantuku. Tetapi bukankah lebih bagus sekiranya kamu membantu abangmu memerintah kawasanmu?" Tufail berdolak-dalih. Sejujurnya, dia sangat segan apabila terpaksa berhadapan dengan Maria.


"Aku telah membohongimu tentang identitiku, tetapi aku telah menebusnya dengan membebaskanmu. Ternyata, kamu juga telah membohongiku tentang identitimu, oleh itu aku harus ikut sekali," Maria berlagak selamba."Terpulang," Tufail memusing kepalanya ke tempat lain, tersenyum.

Kaktus Tidak BerduriWhere stories live. Discover now