Qaseh telah membuat keputusan. Oleh itu, Qaseh meminta semua orang berkumpul di rumah. Dia akan memberitahu semua orang berkenaan keputusannya. Qaseh telah nekad. Dia mengambil masa yang agak lama untuk membuat keputusan. Jadi dia yakin dengan petunjuk Allah untuknya, Qaseh berserah andai itu takdirnya.

"Assalamualaikum!" sapa Tan Sri Hamid. Dia bersalaman dengan Syafiq.

Puan Sri Normah pula bersalaman dengan Puan Marina serta Mak Embun. Ini siapa? Jari telunjuk Puan Normah dihalakan ke arah Zahrah yang tersenyum manis.

"Ini kakak Qaseh dan Qaira, Zahrah. Selama ini, dia temankan Qaseh di London," jelas Puan Marina. Dia memberi ruang kepada Zahrah untuk bersalaman dengan Puan Sri Normah.

Mata Adam terpaku pada tangga. Dia tahu Qaseh akan turun pada bila-bila masa sahaja lagi. Kawan rapat merangkap pembantu Adam, Johan menyiku bahu kawannya. Johan telah sedia maklum berkenaan Qaseh.

Di tingkat atas, Qaseh mengumpulkan kekuatan. Setelah yakin dengan dirinya, Qaseh menapak menuruni tangga satu persatu sehingga kakinya memijak lantai di ruang tamu. Qaseh mengangkat kepala dan bertemu dengan mata Adam. Bagi Qaseh, sinar mata Adam membisik kata benci padanya. Tiada simpati apatah lagi cinta, Qaseh memegang hujung blouse yang melekat pada tubuhnya bagi menghilangkan debaran.

"Assalamualaikum," ucap Qaseh. Dia mendekati Puan Sri Normah untuk bersalam. Sebagaimana jangkaan Qaseh, Puan Sri Normah terlopong melihatnya, Tidak ketinggalan juga, Tan Sri Hamid dan Johan.

Qaseh tergamam apabila secara tiba-tiba Puan Sri Normah memeluknya. Secara lambat-lambat, Qaseh mendaratkan tangannya pada belakang Puan Sri Normah. Qaseh tak faham apa yang tengah berlaku.

"Ya Allah, Marina. Kenapa kau tak pernah beritahu kami yang Qaira ada adik kembar?!" terjah Puan Sri Normah. Pelukannya dileraikan.

"Jemput duduk dulu." Puan Marina menggantung pertanyaan Puan Sri Normah. Langkahnya diatur ke atur sofa diikuti oleh mereka yang lain. Setelah semua mengambil tempat duduk, baru Puan Marina membuka mulut.

"Saya minta maaf sebab rahsiakan identiti Qaseh Mikayla." Saya tak berniat nak berahsia, tetapi saya ada alasan sendiri. Saya minta maaf sebab tak boleh beritahu sesiapa pun pasal hal ini, jelas Puan Marina. Qaseh yang duduk di sebelahnya hanya tunduk menekur lantai.

"Sebenarnya, hampir sepuluh tahun Qaseh menetap di London. Sepanjang waktu itu, Qaseh tak pernah balik. Sebab itu, ramai tak tahu bahawa Qaseh ialah kembar kepada Qaira." Mama tak salah dalam hal ini. Qaseh membela Puan Marina. Dia tidak pernah salahkan Puan Marina walau ribuan orang tidak mengenalinya sebagai kembar Qaira.

Tan Sri Hamid dan Puan Sri Normah mengangguk faham. Adam pula menahan debaran di dada. Dia dimaklumkan bahawa Qaseh akan menyatakan keputusannya hari ini. Dia berharap Qaseh akan menunaikan wasiat Qaira. Adam juga tidak rela dengan permintaan tersebut. Sama seperti Qaseh, hati Adam juga turut memberontak dalam diam. Tiada siapa yang tahu isi hati lelaki itu.

"Jadi, macam mana dengan wasiat Qaira?" Tan Sri Hamid membangkitkan persoalan yang selama ini tergantung sepi, tidak terjawab. Semua yang ada di situ tersentak dan memandang Qaseh hampir serentak. Hanya Qaseh yang mampu menjawab soalan tersebut.

Qaseh memandang satu-persatu insan yang ada di sekelilingnya termasuklah Adam. Qaseh turut membalas genggaman Puan Marina. Qaseh memejamkan mata dan menghembuskan nafas berat dengan perlahan. "Qaseh akan tunaikan permintaan Qaira."

Adam tidak tahu reaksi apa yang patut dia tunjukkan. Bersyukur? Sedih? Teruja? Adam tidak tahu. Namun, inilah yang dia mahukan. Demi ketenangan Qaira! Itulah sebab utama dia bersungguh-sungguh meminta Puan Marina memujuk Qaseh supaya bersetuju. Johan pula tidak menyangka majlis yang sepatutnya dibatalkan akan tetap berlangsung. Hanya nama pengantin perempuan yang berubah. Daripada Qaira Mellisa menjadi Qaseh Mikayla.

"Tetapi dengan satu syarat, hanya majlis akad nikah yang akan berlangsung," pinta Qaseh. Dia tidak mahu majlis yang meriah seperti yang dirancangkan oleh Qaira bersama Adam sebelum ini. Jujur, majlis akad nikah pun telah memadai baginya.

"Mak Cik tak kisah asalkan Adam dan Qaseh berkahwin, asalkan hasrat Qaira tercapai. Lagipun, masa kami di univeriti dahulu, Pak Cik dan Mak Cik telah berjanji dengan arwah papa Qaseh bahawa kami akan satukan salah seorang anak kami bersama. Dengan itu, hubungan kami bertiga tidak pernah putus." Puan Normah terimbau masa lalu. Ketika itu, dia telah berkahwin dengan Tan Sri Hamid. Mereka bertiga menuntut ilmu di England bersama-sama.

"Betul tu, Qaseh. Arwah papa pun pernah beritahu mama pasal hal ini. Arwah papa berkawan rapat dengan ibu bapa Adam sejak zaman universiti lagi," sambut Puan Marina. Di London jugalah, Puan Marina bertemu dengan arwah suami. Mereka saling mencintai. Oleh itu, Puan Marina memeluk islam dan mendirikan rumah tangga bersama Encik Mustafa.

Tamat perbincangan, Tan Sri Hamid, Puan Sri Normah, Adam dan juga Johan dijamu pula dengan nasi arab yang dimasak sendiri oleh Puan Marina. Bukan selalu Puan Sri Normah dan Tan Sri Hamid bertandang ke rumahnya. Jadi, dia ingin mengambil peluang itu untuk melayan keluarga itu sebaiknya. Puan Marina telah lama mengenali Puan Sri Normah dan Tan Sri Hamid.

Di meja makan, Qaseh hanya mendiamkan diri. Dia hanya bersuara apabila ada soalan yang diajukan, begitu juga dengan Adam. Selesai makan, Qaseh meminta diri untuk mengambil angin di luar. Qaseh perlukan udara untuk bernafas dengan normal.

Qaseh berpeluk tubuh di hadapan kolam renang. Angin malam membelai rambutnya perlahan. Qaseh hanya membiarkan rambutnya berterbangan apabila ditampar oleh angin kuat. Qaseh telah menyiapkan dirinya untuk menjadi isteri kepada seorang lelaki yang berhati dingin seperti Adam. Tidak kira apa yang berlaku, Qaseh akan kentalkan hatinya dan menelan sahaja kepahitan yang mendampinginya.

Kau boleh tempuhi semua ini Qaseh. Kau seorang yang kuat! Qaseh memberi sokongan kepada diri sendiri.

Bayangan pada air memaparkan susuk tubuh Adam yang berjalan mendekatinya. Qaseh mendongakkan kepala memandang Adam. Langkah Adam terhenti apabila pandangan lembut Qaseh ditangkapnya.

Mata Adam dan Qaseh bertemu, Adam dapat mendengar bunyi degupan jantungnya yang kencang. Matanya tidak puas untuk menjamah wajah Qaseh. Adam akui bahawa Qaseh sangat cantik dengan rambutnya yang panjang dan ikal di bahagian hujung. Lebih-lebih lagi, sekiranya Qaseh membiarkan rambutnya bebas. Melalui mata Qaseh yang bulat, segala memorinya bersama Qaira terlayar di ruang minda. Setelah tersedar bahawa dia telah melampau batas, Adam menunduk.

Dia Qaseh! Bukan tunang kau, Qaira. Jangan pernah anggap dia Qaira! Adam mengingatkan dirinya.

"Terima kasih," ucap Adam sekaligus menghentikan langkah Qaseh. Qaseh berhenti betul-betul di sebelahnya.

"Saya hanya buat apa yang saya rasa betul," jawab Qaseh perlahan. Dia kembali berjalan meninggalkan Adam di belakang.

TAKDIRKU MENCINTAIMU (Akan Terbit) Where stories live. Discover now