Bab 1

2.1K 11 0
                                    

Bunyi dentuman pembesar suara di dalam kelab malam itu begitu kuat dan memekakkan telinga. Terlalu kuat sehinggakan jantung pun boleh keliru antara bunyi-bunyian dengan degupannya sendiri. Lagu-lagu yang dipasang semuanya tanpa suara. Cuma ada bunyi dentuman yang bising dan bingit. Kuat lagi lantang. Asyik yang memekakkan.

Liya berjalan masuk ke dalam kelab tanpa ada rasa yang canggung. Segala susun atur kerusi dan meja di dalam kelab yang sesak ini sudah dihafalnya. Ditambah pula dengan lokasi kelab malam yang jauhnya cuma dua blok dari tempat Liya bekerja, kelab ini terlalu biasa dengannya.

Pekerja-pekerja di situ juga sudah mengenali Liya. Jika hendak dibandingkan dengan pelanggan-pelanggan lain yang perlukan pass untuk masuk, Liya dapat masuk dengan percuma.

Cuma ada beberapa perkara yang masih sukar untuk Liya biasakan diri. Cahaya silau dari lampu-lampu di dalam kelab itu selalu membuatkannya berasa silau dan buta sekejap-sekejap. Sesekali Liya terpaksa menutup dan menggoncangkan sedikit kepalanya kerana tidak tahan dengan panahan cahaya yang begitu tajam. Pening.

Liya mencelah masuk di antara tubuh-tubuh basah yang berhimpit dan bergeser antara satu sama lain. Dalam kesesakan itu, Liya dapat lihat kelibat insan yang sudah sekian lama telah 'ditanggungjawabkan' kepadanya. Di sana, di ceruk kelab malam yang gelap ini, insan itu terkulai layu. Terjelepuk seperti disampuk sehingga mabuk. Siapa yang tidak mabuk minum air kencing sendiri?

Asmat, ayah Liya terduduk tanpa sedar di sudut kelab. Cahaya berpinar-pinar yang menerangi langit kelab ini sedikitpun tidak mencelikkannya. Keadaan sesak dan lembap dalam kelab ini juga tidak menjengkelkannya. Bau air kencing di dalam udara sini? Langsung tidak mengganggunya. Ini adalah bau-bauan harum serupa 'oksigen' yang menjadi penyambung nyawanya.

Liya separuh berlari mendapatkan ayahnya. Sesekali tudung yang dipakainya hilang bentuk. Terlekat-lekat dan tertarik-tarik di antara tubuh-tubuh asyik yang lembap dan basah dengan nafsu.

Sebelah kaki Asmat diunjurkan ke hadapan dengan tengkuknya kelihatan seperti sudah patah. Mulut Asmat terlopong luas.

Liya menarik sedikit seluar jean yang dipakainya sebelum duduk mencangkung untuk merangkul tubuh ayahnya yang berbau kuat. Ini lagi satu perkara yang Liya tidak dapat membiasakan dirinya. Bau minuman keras yang tebal, kental, dan meloyakan ini betul-betul sukar diterima oleh seluruh sel di dalam badannya. Namun, kerana kasihnya Liya kepada ayah, dihadapi jua bau-bauan membunuh ini.

"Dah. Jom balik yah," Liya berkata sambil mencuba untuk mengangkat tubuh ayahnya payah-payah. Sah-sah tubuh ayahnya ini jauh lebih berat daripada tubuh Liya yang kecil ini. Liya cuba untuk mengangkat tubuh ayahnya tetapi ditolak dia sehingga jatuh.

Mulut Asmat terkumat-kamit mengatakan sesuatu tetapi tidak kedengaran. Riak wajah Asmat seperti sedang marah dan memaki hamun anaknya sendiri. Namun, sepatah haram Liya tidak dengar kerana bunyi sekeliling pula terlalu bising.

"Apa?!" Liya mendekatkan telinga sebagai usaha untuk mendengar suara yang keluar ayahnya yang sudah mulai berbuih itu. "Yah! Kita pulang!!! Jom!" Sekali lagi Liya cuba untuk mengangkat tubuh ayahnya tetapi ditolak sehingga dia jatuh terjelepok di celah kangkangan orang yang sedang menari. Cepat-cepat Liya merangkak keluar.

Dalam cahaya yang kadang-kadang terang kadang-kadang gelap itu Liya dapat melihat ayahnya terbaring di atas lantai dengan air liur yang meleleh.

Liya pergi ke tempat ayahnya lalu duduk mencangkung di sebelah. "Yah... Ayah!"

Asmat seperti batu tidak bergerak.

Hijab & TiangWhere stories live. Discover now