BAB 8

48 1 0
                                    

HYDE. Lepas aku bertemu muka dengan Daelan tadi serta-merta ingatan tertumpu pada rupa paras Hyde yang sebenar. Semenjak dia munculkan diri di bilik Daelan tempoh hari, aku cukup yakin dengan keberadaannya sekarang.

Tapi, dalam tempoh seminggu ini tiada pula aku terserempak dengan susuk tubuh ataupun terdengar suara dia lagi? Pelik. Kalau ikutkan sekali dia dah munculkan diri, selama itulah dia akan sentiasa mengekori aku. Walau ke mana sekalipun.

Tiga keping salinan gambar rakaman CCTV yang Daelan letak di atas bangku papan tadi, aku ambil dan simpan. Tiada apa pun yang pelik. Cuma nampak jelas reaksi aku yang serba tak kena di dalam gambar tersebut. Meracau? Aku tak rasa itu dipanggil meracau. Mungkin lebih tepatnya 'perbualan singkat' antara aku dengan Hyde.

Satu hela nafas berat aku lepaskan. Tumpuan tidak lagi pada salinan gambar, tetapi aku kembali fokus dengan niat mula-mula aku mahu ke sini tadi. Menikmati keindahan cuaca yang tenang hari ini.

Kelopak mata aku tutup rapat. Wajah didongak menatap dada langit. Hembusan angin cukup lembut menyapa kulit wajahku. Sesekali aku tersenyum sendiri. Bukankah cukup tenang jika alam turut memahami apa yang sedang aku rasa sekarang.

Tik, tik, tik.

Air? Hah, hujan!

Cepat-cepat aku celik. Kelihatan awan mendung berarak menutupi langit biru. Titik hujan renyai mulai turun menghempas ke wajahku lagi. Terkelip-kelip aku cuba hadam situasi sekarang. Bukan tadi cuaca cerah ke?

Sedang dalam keadaan terpinga-pinga, aku mula berdiri. Beg galas aku capai sebelum pandangan kembali menjengah ke langit semula. Betul, sudah ada tanda-tanda bumi bakal basah lagi. Hujan.

Beberapa tapak aku melangkah meninggalkan kerusi panjang, ekor mataku sempat menangkap susuk seseorang yang berdiri di hujung kerusi tersebut. Tak salah aku, memang sekilas pandangan tadi menangkap bayang seseorang di situ.

Gulp!

Aku perlahankan langkah. Mana tahu Daelan berpatah balik, tetapi aku memang tak berani nak pusing belakang semula. Kalau betul ada orang lain, mesti dia akan turut meninggalkan kawasan bumbung ini macam aku sekarang.

Baru nak beranikan diri toleh ke belakang, terasa ada sesuatu di atas kepala yang menghalang tubuhku daripada terkena rintik hujan. Tak jadi nak toleh, aku mendongak. Payung?

"Tak pernah berubah." Nada berbisik dari sebelah kiri mengejutkan aku. Terundur beberapa tapak apabila pandangan mata kami saling menyapa.

Macam mana? Macam mana aku tak perasan dia?

"Dari dulu lagi, sama saja." Pemegang payung dihulurkan ke arahku pula.

"Hy... Hyde?"

Dia ketawa.

Aku cuba fokus. Tak mahu terus tenggelam dengan mainan imaginasi ini. Berpura-pura dia tidak wujud adalah jalan terbaik. Payung yang dihulurkan aku tak endah. Langkahan kaki dipercepat. Aku tak boleh terus berada di dalam situasi sebegini, sama seperti di kediaman Daelan tempoh hari.

"Tunggu!"

Satu cengkaman kuat terasa pada beg galas yang aku sandang di bahu kiri. Serta-merta langkahan terhenti. Apabila aku cuba tarik beg daripada terus berada di dalam pegangannya, dia menyambung kata-kata.

"Aku minta maaf. Aku tahu aku tak patut muncul mengejut macam dulu. Maafkan aku."

Menyedari cengkamannya mula lemah, terus aku rentap beg dan berlalu ke ruang tangga untuk turun. Beberapa tapak anak tangga aku jejak, dia muncul dari arah hadapan secara mengejut. Mujur aku tak tersalah langkah.

Aku mahu terus melangkah, dia halang. Akhirnya, aku berhenti dan balas pandangan dia dengan keluhan perlahan.

"Kau tak patut sia-siakan peluang yang ada."

Peluang? Peluang apa?

"Eh, eh!" Entah macam mana boleh pula dia heret aku naik ke ruang bumbung semula.

Pegangan pada lengan dilepaskan, dia mendongak wajah membelakangiku. Hujan renyai mula rancak menyimbah bumi. Diam-diam aku cuba berundur mahu lari.

"Ikut aku." Dia berpaling tiba-tiba.

Tak jadi rancangan mahu larikan diri tadi. Kalau dia tahu, memang aku akan ada teman balik ke hostel nanti.

Baru nak balas sepatah, dia dah melompat naik ke atas dinding penghadang bumbung. Tangannya dihulur ke arahku pula.

"Naik."

Hah? Terteguk liur apatah lagi menyedari betapa bahayanya posisi dia sekarang ni. Kalau aku turut naik sama macam dia, bukan ke peratusan untuk aku mati jatuh tergelincir tu tinggi.

"Cepat!"

"Bahaya!" tegasku walaupun tenggelam timbul suara kedengaran.

Dia senyum senget. Tawanya jelas berbunyi.

"Bukan kau pernah kata kau sanggup bahayakan hidup untuk aku sebelum ni?"

Aku, aku pernah katamacam tu? Mungkin aku tak tahu lagi betapa bernilainya nyawa waktu itu. Tidakpun, dia sengaja memancing fikiran aku agar terus hanyut dengan kewujudannyasekarang.

HYDEWhere stories live. Discover now