BAB 4

78 3 0
                                    

MATA terpaku pada tubuh yang elok berdiri membelakangi aku di sudut tepi pintu ruang balkoni. Angin luar bertiup, membuai kain langsir biru langit itu. Langsung tidak diendahkan langsir yang berliuk lentuk di tubuhnya, malah dia kelihatan cukup tenang berdiri sambil memeluk tubuhnya.

"Daelan?" seruku sebelum menyambung langkah. Mata langsung tidak berganjak daripada memandang tubuh di hadapan.

Senyap dan sunyi seketika. Mungkin aku patut berpatah balik. Mungkin juga masa tidak mengizinkan aku kali ini. Rasa macam dia tak peduli saja aku di sini.

"Saya datang nak lawat awak." Aku getap bibir. Saya? Macamlah Daelan kenal aku!

Aku berdeham perlahan. Baru nak mula kenalkan diri, dia berganjak seketika. Wajahnya berpaling dari sisi kanan, memandang aku sesaat sebelum bola matanya beralih ke arah ruang katil sebelah kanan aku.

Pandangan aku turut beralih sama.

Eh!

"Daelan?" Terpinga-pinga aku.

Macam mana Daelan...

Cepat-cepat aku alih pandangan ke arah di mana susuk tubuh tadi berdiri. Kosong. Hilang. Cuma kain langsir yang masih rancak dibuai angin. Bukan aku nampak...

"Rhea."

Terpempan. Suara yang begitu jelas kedengaran di sebelah kiri aku. Cukup hampir dengan cuping telinga. Cukup dekat. Aku tak berani palingkan wajah, nak balas seruan panggilannya lagilah tak sanggup. Aku kakukan diri. Langsung tak berganjak. Masih di posisi sama.

"Rhea, kau ingat aku lagi?"

Aku pejamkan mata. Cuba pekakkan telinga. Kenapa nada suara itu sama? Kenapa dia muncul waktu macam ni? Bukan mama dah kata dia tak akan kembali lagi. Kenapa?

"Aku boleh dengar suara hati kau, kau dah lupa?"

Kali ini terus aku terkap kedua-dua belah telinga dengan telapak tangan. Menggeleng-geleng. Aku tahu dia cuma mainan fikiran aku sahaja. Dia tak pernah wujud! Dia bukan sesiapa!

"Rhea... Rhea... Rhea..." Suaranya semakin galak menyentuh gegendang telinga. Diselangi tawa halus.

"Kau tak pernah wujud. Kau bukan sesiapa. Kau tak pernah wujud! Kau bukan sesiapa!" Berkali-kali aku ulang ayat yang sama.

Pesan mama, kalau aku masih nampak dia, aku perlu katakan pada diri yang dia cuma mainan ilusi semata-mata.

"Rhea, kenapa ni?"

Bunyi pintu dibuka dan tapak kaki menghampiri posisi di mana aku berdiri sekarang, sedikit sebanyak menyedarkan aku daripada terus mengulang ayat tadi.

"Ada apa ni?" Kali ini wajah Nenda Anggun memenuhi ruang legar fikiranku.

"Kenapa?" soalnya sambil menjatuhkan kedua-dua belah tangan yang melekap padu pada kedua-dua sisi telingaku.

Aku geleng. Mata berlari mencari tubuh yang berada di belakang aku tadi. Sudah tiada bayangan lelaki berkenaan. Liur diteguk apabila riak wajah Nenda Anggun sarat dengan tanda tanya. Yang pasti jawapannya sukar untuk aku jelaskan nanti.

"Nenda dengar kamu macam marah-marah tadi, kenapa?" Runsing suara Nenda Anggun kedengaran.

Aku sekadar mendiamkan diri. Mata beralih ke arah tubuh Daelan yang terbaring lena di atas katil. Kenapa aku langsung tak perasan yang dia ada di situ selepas masuk ke bilik ni tadi? Kenapa susuk lelaki tadi juga yang aku nampak dahulu? Jadi, dia dah kembali!

"Nenda dah siapkan minuman di bawah, nampak Daelan masih berehat. Nenda terlupa nak beritahu kamu. Sebelum kamu datang tadi dia dah makan ubat yang doktor bekalkan, tu yang tidur tak sedarkan kamu sekarang." Nenda Anggun genggam tanganku seketika.

Aku angguk faham. Cuba mengawal reaksi walaupun aku tahu riak wajah seribu kekeliruan di muka ini tak mudah untuk diselindung lagi. Nenda Anggun menapak ke pintu semula selepas meminta aku turun bersamanya.

Wajah lesu Daelan aku pandang seketika sebelum menapak keluar. Sewaktu aku melangkah turun, kelihatan Nenda Anggun sedang berbual dengan beberapa orang lelaki bersut hitam. Tidak dengar jelas apa yang mereka bualkan, aku terus masuk ke ruang bersebelahan dapur.

Berkepul-kepul asap kelihatan dari cawan yang elok terletak di atas meja. Keinginan untuk mengetahui apa yang sedang mereka tadi bualkan membuak-buak dalam hati.

Aku tak boleh! Tak boleh! Mama kata aku tak boleh biarkan tertipu dengan desakan hati.

"Kenapa nak tipu diri sendiri?"

Hah?

Aku pandang sekeliling. Suara yang sekali lalu tadi memang aku cukup kenal apatah lagi empunya diri sudah muncul semula.

"Kau sendiri cakap pada aku, buat apa nak tipu diri sendiri kalau kebenaran itu tidak sakit mana." Tawanya singgah di hujung kata-kata itu.

"Jangan ganggu aku! Jangan!" Aku pusing ke kiri, ke kanan. Cari di mana kedudukan lelaki berkenaan.

"Aku tak takut dengan kau!" Lagi sekali aku bertepik. Cuba memberi dia amaran terakhir.

"Rhea?"

Terhenti lakuku apabila mata menangkap raut wajah Nenda Anggun di laluan masuk ruang ini. Tertelan liur apabila kedua-dua orang lelaki di sebelah wanita berkenaan beriak pelik memerhati aku.

"Maaf, saya terpaksa balik." Tanpa kata dua terus aku melangkah ke pintu besar. Tangan mengagau mencari telefon di dalam beg galas. Nombor Pak Nawi segera aku dail. Setidak-tidaknya emosi aku masih terkawal tadi sebelum bertambah gila.

HYDEWhere stories live. Discover now