Bab 6

8 0 0
                                    

Hayati bungkam.

Susuk yang menegur Hayati itu adalah bekas tunangnya sendiri, Anas Zamri. Lelaki yang telah melukakan sepenuhnya diri dan hatinya. Kecil sungguh dunia ini. Sebesar-besar bandar didiami, restoran yang ini juga tempat mereka bertemu muka. 

"Tak sangka kan, di sini pun kita boleh jumpa." Anas Zamri tersengih-sengih, jujur menuturkan sapaan.

"Itulah, kecil sangat dunia ni. Tapi, kami pun nak gerak dah ni." Fatin tiba-tiba bangun. Pantas ditoleh kepada Hayati sambil mengangkat keningnya beberapa kali memberi isyarat agar Hayati juga turut sama bangun dan segera beredar dari situ. Dia tahu bagaimana bencinya Hayati untuk bersua muka dengan Anas Zamri ini.

Hayati bangun tanpa berpaling memandang Anas Zamri yang betul-betul berdiri di sebelahnya. Tas tangan dicapai dan mula mengatur langkah menuju ke kaunter bayaran. Nasi goreng kampung masih tersisa namun seleranya sudah mati tatkala mendengar sahaja suara bekas tunangnya itu.

"Awak sihat, Yati?" 

Langkah Hayati terhenti. 

"Yati sihat je. Okey lah, kami kejar masa ni. Jom beb!" jawab Fatin bagi pihak Hayati dan segera menarik lengan sahabatnya itu. Dia dapat rasakan Hayati benar-benar tidak menyukai pertemuan tidak dijangka ini. Jika masih dilayan mamat berbaju merah ini, maka, gunung berapi yang ada di sebelahnya ini bakal meletus bila-bila masa sahaja.

"Halusinasi awak pun dah okey? Masih nampak benda-benda yang tak elok tu?" soal Anas Zamri bersahaja sambil berpeluk tubuh. Penyakit bahaya itulah punca mereka berpisah dua tahun yang lepas.

Hayati menarik semula tangannya yang kemas dipaut oleh Fatin. Anas Zamri yang berada beberapa langkah di belakang dipandangnya dengan satu renungan tajam. Hatinya mula membara. Luka yang hampir sembuh seakan berdarah kembali. 

"Halusinasi? Selama ni kau ingat aku berhalusinasi?!" Hayati meninggikan suaranya. Langsung tidak dihiraukan semua yang ada di situ. Sedar tak sedar, dia sudah berada betul-betul di hadapan Anas Zamri yang masih tersenyum. Melihat senyuman begitu, hati Hayati semakin pedih. Fatin di sebelah beberapa kali cuba menahan sahabatnya agar tidak bertindak di luar kawalan tetapi ditepisnya kasar.

"Bukan ke?" Anas Zamri mengangkat keningnya sebelah.

"Kau!" Hayati mendengus geram.

"Beb, sudahlah tu. Tak guna nak bergaduh dengan orang macam ni. Buang masa dan tenaga kau je. Lagipun, semua tengok ni," pujuk Fatin bagi meredakan kemarahan Hayati.

Hayati menghela nafas dalam. Kemudian, dilepaskannya perlahan-lahan. Matanya dipejamkan seketika sambil menimbang tara kata Fatin itu.

"Sayang!"

Perhatian Fatin, Hayati dan Anas Zamri teralih kepada seorang wanita yang sedang berjalan menuju ke arah mereka.

"Dapat tempat dah?" soal wanita itu kepada Anas Zamri sambil memaut lengan lelaki itu.

"Dah reserved. Hujung sana," balas Anas Zamri spontan.

"Siapa dua ni? Kawan you?" jelingnya tajam.

Fatin dan Hayati diam tidak terkata. Masing-masing mereka berfikir-fikir gerangan wanita yang tiba-tiba muncul di hadapan mereka itu. Mendengar panggilan sayang diberikan pada Anas Zamri, pastinya wanita ini pengganti Hayati.

"My ex, with her friend." Jari telunjuknya disua ke arah Hayati dan kemudian Fatin.

"Oh, the one that..." soal wanita itu sambil mengangkat jari telunjuknya dan memusing-musingkan jari itu di kepalanya.

"Yeah, that one." Anas Zamri melakukan perkara yang sama lantas ketawa kecil. 

"Hei perempuan! Kawan aku ni tak gilalah! Lelaki yang tak guna ni yang tak faham dan berlagak macam dia sahaja yang betul!" Fatin akhirnya bersuara membela Hayati. Hatinya turut sama geram melihat tingkah Anas Zamri dan wanita yang tidak dikenalinya membuat aksi bagi menyatakan sahabatnya itu gila.

"Fatin, kau memang orang yang paling rapat dengan Yati sampai kau juga nak jadi macam dia. Malah, menerima keadaan dia yang begini sampaikan Yati sendiri tidak dapat menerima kenyataan yang dia punyai sakit mental yang perlu dirawat," ujar Anas Zamri tenang.

"Kau...!" Hayati menjegil geram. Kenyataan Anas Zamri itu umpama satu penghinaan buatnya. 

"Betul kan apa aku cakap? Kau asyik nak salahkan apa yang orang buat pada kau dan akhirnya kau dah mula nampak benda bukan-bukan. Kau kata kau boleh nampak hantulah, sakalah, jinlah. Lepas tu, kau halusinasi histeria bagai. Kau tak ingat apa ustaz tu beritahu? Kau dah tak sakit. Sihir kau dah hilang. Diri kau tu yang lemah sampai kau biarkan halusinasi kau tu kuasai diri kau. Halusinasi tu sakit mental bukan sihir!"

Hayati memejamkan matanya dan dibiarkan sahaja Anas Zamri meluahkan kata yang sama diberikan kepadanya dua tahun lepas. 'Kenapa susah sangat kau nak faham, Anas?'

"Sudahlah sayang. Kalau kita makin layan mereka ni, kita pula yang gila nanti. I dah lapar sangat ni. Jom." Lengan Anas Zamri ditarik-tarik beberapa kali. Anas Zamri menganggukkan kepalanya tanda setuju. Dia juga tidak berminat mahu bertelagah akan hal yang sudah lama dibuang dalam hidupnya. Lalu, mereka berdua terus pergi meninggalkan Hayati dan Fatin begitu sahaja.

Hayati mengeluh panjang. Ditahan dirinya agar tidak menangis di situ. Benar kata Fatin, melayan orang yang tidak memahami dirinya hanya akan membuang masa dan tenaga, meskipun, bicara yang diberikan itu terlalu pedih untuk ditelan.

"Aku tak gila, Fatin. Aku tak berhalusinasi. Apa yang jadi pada aku semuanya..."

"Sudahlah, beb. Kau tahu kan yang aku faham keadaan kau. Dari dulu lagi, mamat tu tak dapat terima sakit kau tu. Kemudian, reka dan sebar macam-macam fitnah pada kau sekeluarga. Sampai mati pun, dia tetap akan anggap kau begitu," Fatin memintas bicara Hayati dan cuba memujuk kembali sahabatnya itu.

"Aku memang boleh nampak dan rasa semua benda tu Fatin. Aku tak halusinasi." Hayati mengulang semula.

"Ya, aku tahu. Itu kelebihan kau tau. Tak semua orang Allah hadiahkan kurnia hijab begitu. Sudahlah. Aku pergi bayar kejap. Kau tunggu aku kat luar sana." Fatin segera melangkah ke kaunter bayaran manakala Hayati dengan lemah longlainya melangkah keluar dari restoran itu.

"Aduh!"

Hayati menggosok-gosok lengan kanannya. 

"Maaf. Maaf. Saya tergesa-gesa. Maaf."

"Eh, tak apa. Salah saya juga jalan tak tengok depan." Hayati menggeleng-gelengkan kepalanya cuba mengiakan yang dia juga bersalah, ternonong-nonong berjalan tanpa memandang kiri kanan. Hayati akhirnya tersenyum lantas meminta diri setelah memohon maaf atas khilafnya tadi. 

"Kenapa lambat, Murni?"

Murni segera mendapatkan rakannya yang sudah lebih awal tiba di restoran itu untuk menempah tempat duduk mereka berdua.

"Ramai pula orang beratur dalam tandas tu. Dah pesan makanan?"

"Belum lagi. Tadi ada orang gaduh kat depan tu. Aku leka tengok sampai terlupa nak pesan makanan," jawab Badriah dengan wajah serius.

"Gaduh? Siapa? Pasal apa?" soal Murni bertubi-tubi sambil menyelak buku menu.

"Pasal orang gila. Orang yang langgar kau kat depan tu tadi. Aku dengar lelaki tu cakap dia gila. Sakit mental."

"Perempuan berjubah tadi tu? Padanlah dia jalan lemah semacam je. Muka dia nampak sedih sangat. Kesiannya dia. By the way, bukan dia langgar aku. Aku yang langgar dia. Aku nak cari handphone dalam beg, nak telefon kau, alih-alih terlanggar pula."

"Aku dengar tadi pun rasa kesian sangat kat dia. Entahlah. Eh, jom pesan makanan! Aku lapar." Badriah terus mengangkat tangannya memanggil pelayan restoran.

Murni mengangguk setuju. Dia sempat mengerling memandang Hayati yang masih berdiri termenung di hadapan laluan utama restoran. 

'Kesiannya. Muda-muda macam tu sakit mental.'

Murni mengeluh kecil. Terbit rasa simpati pada wanita yang tidak sengaja dilanggarnya tadi.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: May 29, 2019 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

'AHJUSSI' 아저씨Where stories live. Discover now