BAB 1

30 1 0
                                    

"Syarikat saya ni kecil je. Kerja hakiki you sebagai kerani tak banyak pun. Jadi, saya tak kisah kalau you nak mengait ke, jahit baju ke dalam pejabat ni asalkan kerja yang saya berikan, siap!"

Hayati mengangguk beberapa kali. Dia mendengar dengan baik setiap butir kata yang dilafazkan oleh majikannya itu. Hari pertama bekerja, sudah pastinya dia perlu diingat kembali apa yang telah diberitahu sewaktu dia ditemu duga dahulu. 

"Kerja you di sini bukan sahaja kerja-kerja admin, tapi, merangkap tea lady saya, memastikan pejabat ini sentiasa bersih serta teratur, dan, jika ada tugasan kelab komuniti di sini atau orang-orang kampung nak fotostat atau taip surat sebagainya, you  kena handle semua tu," sambung Encik Zubaidi lagi.

Hayati menelan liur. Dia sedia maklum dengan penerangan tugasan yang diberitahunya itu, namun, terbit rasa gusar di hatinya apabila memikirkan dia perlu melakukan begitu banyak kerja seorang diri tanpa ada pembantu pun.

"Nanti anak saya, Azmi akan tunjukkan semua perihal pejabat ni. Belajar elok-elok dan bekerjalah dengan amanah." Encik Zubaidi kembali bersuara.

"Baik, bos. Jika tiada apa-apa lagi, saya minta diri dahulu," pinta Hayati dengan penuh berbudi bahasa. Maklumlah, hari pertamalah katakan, kenalah tunjukkan perilaku yang baik-baik.

***

Hayati duduk di mejanya yang paling hadapan. Syarikat dia bekerja kali ini memang sebuah organisasi yang kecil. Pekerja yang ada dalam pejabat tadbir itu pun hanyalah tiga orang termasuk dirinya.  Syarikat kontraktor yang menerima projek pencucian kawasan serta pejabat dengan badan-badan kerajaan serta swasta. 

Pekerja-pekerja bagi projek tersebut tidak kurang daripada 50 orang, tapi silih berganti kerana pekerjaan mencuci serta membersih kawasan begini tidak berapa diterima dalam masyarakat sekarang. Ada tanggapan yang menyatakan pekerjaan sebegitu hanya untuk golongan bawahan atau golongan yang tidak berada sahaja. Pekerjaan yang sangat lekeh. 

Tapi sebenarnya, tanpa mereka inilah, kawasan bangunan tidak akan bersih. Cermin serta tingkap bangunan akan sentiasa kotor. Kawasan landskap bangunan terabai keadaannya. Begitulah pentingnya tugas mereka dan tidak sepatutnya dipandang remeh.

"Hayati, belakang sana tu ada fail-fail yang boleh awak baca dan fahamkan. Dalam rak tu sudah tersusun fail syarikat tiga ke empat tahun ke belakang. Di meja sebelah tempat awak tu pula segala dokumen tentang pekerja kita, sudah disusun mengikut kawasan masing-masing. Hari ni, awak boleh biasakan diri awak dengan ofis ni. Kalau boleh ambil tahu setiap apa yang ada. Awak adalah first contact person sebelum perkara itu sampai kepada saya atau bos. Faham?"

Hayati terkebil-kebil mendengar segala penerangan yang dikeluarkan oleh Azmi, pengurus operasi syarikat tersebut, merangkap menantu majikannya sendiri. Tiga orang pekerja yang dimaksudkan tadi adalah, Encik Zubaidi, Azmi, dan dirinya sendiri.  Apa sahaja kelulusan dan perkara haruslah dimaklumkan kepada Azmi terlebih dahulu, melainkan perkara tersebut merupakan sesuatu yang begitu penting, barulah dia akan terus rujuk Encik Zubaidi.

"Baik Encik Azmi. Nanti saya belajar sendiri semua yang Encik cakapkan tadi."

"Baguslah macam tu. Saya perlu ke Slim River dan Tapah hari ini. Kalau ada apa-apa, boleh Whatsapp saya terus, ya." Azmi mula berkemas-kemas untuk beredar.

"Baik, Encik Azmi," ringkas sahaja Hayati memberi respons. Ya, apa lagi yang dia boleh katakan? Dia juga ada kerja yang perlu dilakukan sekejap lagi. Banyak fail yang perlu dia selak dan ambil tahu.

'AHJUSSI' 아저씨Where stories live. Discover now