Bab 5

10 0 0
                                    

"Kerja kau macam mana, beb?"

Hayati yang sedang tekun meneliti buku menu mula menjelingnya tajam.

"Boleh tak kalau kita order dulu makanan then baru kita sembang? Aku lapar ni. Tadi waktu window shopping , tak pula kau nak tanya aku apa-apa." Nada Hayati mula sudah berubah. Perutnya benar-benar minta untuk diisi.

"Janganlah marah. Okey-okey, kita order makanan dulu ya," balas Fatin, kawan rapat Hayati sejak zaman sekolah lagi.

Lima minit berlalu, Hayati dan Fatin sudah punyai senarai makanan yang ingin dipesannya. Pelayan restoran dipanggil dan terus dinyatakan pesanan setelah berbelas kali membelek buku menu tersebut.

"Kerja kau okey?" soalan yang sama diajukan kembali kepada Hayati. 

"Macamlah aku tak pernah update dengan kau perihal hidup aku ni. Hari-hari kan aku whatsapp kau cerita macam-macam, itu pun nak tanya lagi ke? Kita ni, walaupun kerja lain daerah tapi tiap-tiap minggu kita jumpa dan tiap-tiap hari aku update kau tau!" 

Fatin ketawa kecil mendengar rungutan Hayati yang panjang lebar itu. Ya, benar apa yang dikhabarkan oleh Hayati. Mereka berhubung hampir setiap hari melalui aplikasi Whatsapp serta Instagram. Apa sahaja yang terjadi seharian, Hayati pasti akan cerita kepada Fatin, dan begitu jugalah sebaliknya. Hujung minggu pula, Fatin akan pulang ke rumah ibu bapanya dan waktu itulah juga digunakan untuk meluangkan masa dengan sahabat dunia akhiratnya itu.

"Kau tak nak tukar kerja ke? Kesian aku tengok kau asyik complaint tentang bos dan AJK semua tu."

"Beb, aku baru je kerja sebulan. Tak mencabarlah kalau aku berhenti sekarang. Baru je lagi ni, lama-lama nanti aku akan okey. Ala, aku mengadu kat kau pun sebab aku tak ada sesiapa nak luahkan di ofis tu. Aku kerja sorang. Bos besar aku tu lelaki. Bos kecil a.k.a pengurus aku tu pun lelaki. Mostly AJK yang datang pun lelaki. Aku tak ada sesiapa nak lepaskan geram aku ni. Kau pun tahu yang aku ni cepat gelabah dan stress tapi, aku mudah padamkan semua tu once aku dah mula buat kerja tersebut."

Fatin mengangguk beberapa kali. Faham benar dengan sikap Hayati yang sebegitu. Malah, buat kerja rumah pun dia akan merungut bising letih dan sebagainya, tapi, setiap kerja yang dilakukan dia akan selesaikan dengan baik.

"Manalah tahu kalau-kalau kau dah give up awal. Berdepan dengan ragam orang ni memang boleh buat kepala kita pecah. Tapi aku yakin, banyak perkara yang boleh dipelajari serta diambil iktibar."

Hayati pula menganggukkan kepala beberapa kali. Itu jugalah kata-kata nasihat yang diberikan setiap kali mereka berbual di telefon atau whatsapp bersama. 

"Lepas makan ni, aku ingat nak pergi POPULAR kejap. Aku nak cari beberapa novel, boleh aku baca kalau bosan melangut di ofis tu nanti," Hayati menyampaikan hasrat hatinya sebaik sahaja makanan yang dipesan sudah terhidang di atas meja. Lafaz Bismillah dituturkan sebelum menjamah nasi goreng kampung yang aromanya membuatkan perutnya makin rancak berkeroncong menjerit minta diisi.

"Bereh! Aku pun nak cari novel jugalah. Mana tahu ada novel yang menarik ke." 

Mereka berdua terus senyap menikmati makanan masing-masing. Yang kedengaran hanyalah keriuhan pelanggan yang keluar masuk ke restoran serta hingar-bingar pasar raya yang meriah dengan sambutan hari kanak-kanak sedunia di ruang legar utama. Terdapat banyak aktiviti yang disediakan untuk pengunjung serta  persembahan dari beberapa orang artis jemputan.

Sedang menyuakan suapan terakhir ke dalam mulut, Fatin terlihat susuk seseorang yang amat dikenalinya sedang berjalan menuju ke arah restoran. Fatin membulatkan matanya tanpa berkerdip memandang susuk tersebut. Sesekali, pandangannya akan teralih kepada Hayati yang masih berselera menghabiskan nasi goreng kampungnya itu.

"Kau kenapa, beb? Aku tahu kau lapar juga, tapi tak perlu sampai terbeliak macam nampak hantu je," tegur Hayati yang mula perasan perubahan riak wajah Fatin yang ketara begitu.

"Memang hantu pun. Kau jangan toleh ke belakang." Fatin merendahkan sedikit mukanya seperti sedang menyorok.

"Hantu? Mana?" Hayati tidak mengendahkan kata Fatin dan mula menoleh ke kiri dan kanan mencari-cari kelibat hantu yang dimaksudkan oleh Fatin. Pelik juga dia rasakan kerana dia tidak terlihat sebarang kelibat hantu sepanjang mereka berada di situ.

"Jangan toleh mana-mana! Tunduk kepala kau tu!" Geram pula apabila Hayati tidak mahu mendengar katanya. Hayati berkerut cuba memahami apa yang cuba disampaikan oleh Fatin ketika itu. Sungguhpun begitu, dia juga mula menundukkan kepalanya seperti yang disuruh oleh Fatin.

"Mana hantunya? Aku tak nampak sebarang hantu pun kat sini," soal Hayati separa berbisik.

"Fatin! Eh, Hayati pun ada?!" 

Fatin mengeluh panjang. Taktik menyorok dan meminta Hayati menundukkan kepala tidak berjaya apabila susuk yang dilihatnya itu melangkah masuk ke restoran dan terus berjalan ke arah meja mereka berdua. 

'AHJUSSI' 아저씨Where stories live. Discover now